
BENAR kata orang, jika ada rezeki lebih, sebaiknya dikongsi kembali bersama masyarakat.
Itu yang dilakukan usahawan wanita Orang Asli yang lebih dikenali dengan gelaran 'Jungle Girl'.
Menerusi perkongsian di TikTok miliknya, Nur Rafidah Man, 27, difahamkan menghulurkan sumbangan bernilai RM100,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau di Temerloh, Pahang.
Tajaan tersebut turut disertakan dengan pemberian beberapa unit televisyen pintar bersaiz 43 inci untuk kegunaan pelajar dan pihak sekolah.
BACA LAGI: Sanctuary Akekchep Kelah buka bisnes Orang Asli menerusi destinasi pelancongan baharu
Tidak hanya itu, beliau turut menyalurkan sumbangan khas kepada sekumpulan pelajar pendidikan khas dari sekolah sama yang bakal berangkat ke Abu Dhabi.
“Saya mungkin tak mampu nak taja semua, tapi saya ada buat tajaan sedikit untuk mereka.
"Saya taja budak-budak yang istimewa untuk ke Abu Dhabi,” katanya menerusi hantaran video pada Isnin.
Menurut Nur Rafidah, bantuan yang disalurkan itu adalah hasil sokongan orang ramai yang tidak putus-putus membeli produk keluarannya sejak mula berniaga.
“Semua ini hasil daripada orang ramai yang sokong produk saya dari dulu. Terima kasih sokong saya.
"Rezeki bukan hanya untuk dinikmati tapi untuk kita kongsi. Semoga jadi motivasi untuk semua,” ujarnya.
Untuk rekod, Nur Rafidah pernah tular di media sosial dan mendapat jolokan 'Jungle Girl' selepas kerap muncul di For You Page (FYP) TikTok menjual produk keluarannya, termasuk minyak 1001 Khasiat Jungle Girl.
Mula berniaga sejak November tahun lalu, beliau menghasilkan produk sendiri berasaskan sumber hutan seperti kacip fatimah, tongkat ali dan madu, selain berkongsi rutin harian, adat resam Orang Asli serta pemandangan suasana di kampungnya menerusi aplikasi tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram