Dahulunya graduan, Hawa Rizwana teruja diberi penghormatan sebagai alumni kehormat di istiadat konvokesyen UiTM


  • Maya
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Hawa Rizwana diundang sebagai jemputan alumni pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102.

PENGACARA dan personaliti popular, Hawa Rizwana Ahmad Redzuan diberikan penghormatan istimewa sebagai alumni yang dijemput hadir ke Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-102.

Penglibatannya sebagai wakil alumni menandakan pengiktirafan terhadap sumbangan dan pencapaiannya dalam dan luar bidang pendidikan usai bergiat aktif dalam industri hiburan tempatan.

Berkongsi perkara itu di laman Instagram, Hawa menyifatkan ia sebagai satu momen bersejarah dan penghargaan besar diberikan kepadanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Dari makanan ke tarian, wartawan China kongsi persamaan Hainan dan Malaysia

BACA LAGI: Wanita berhijab pertama di pentas gusti, Nor 'Phoenix' Diana dinobatkan pencabar nombor 1 kejuaraan WWE ID

"Back where it all started, tahniah buat semua graduan, proud of you, really.

"Terima kasih UiTM atas jemputan sebagai Alumni di Istiadat Konvokesyen UiTM ke-102, satu penghormatan mutlak untuk berada di sini," katanya.

 

 

Merupakan graduan bidang pengajian Ijazah Sarjana Komunikasi Massa (Kewartawanan) di UiTM, keputusan cemerlang dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.78, bukti dedikasi akademik luar biasa diperolehnya walaupun sibuk dengan kerjayanya.

Sebagai graduan dalam bidang kewartawanan, Hawa memulakan kerjaya sebagai wartawan penyiaran dan penyampai berita untuk TV9 dari 2016 hingga 2018, sebelum menyertai TV3 sebagai penyampai Buletin Utama dari 2019 hingga 2022.

Selain penyiaran, Hawa kini aktif sebagai pengacara program seperti Meletop di Astro Ria serta penglibatan dalam dunia lakonan dan radio.

Terdahulu, Hawa turut melibatkan diri dalam kursus Entrepreneurship Acceleration Programme selama 10 hari di Universiti Oxford, United Kingdom, sebagai sebahagian daripada penglibatan dirinya dalam bidang perniagaan.

Selain itu, anak kedua daripada tiga beradik tersebut pernah tampil dalam temu bual konvokesyen UiTM ke-95 sebagai graduan cemerlang, memperkukuh reputasinya sebagai figura yang bukan sekadar menarik dari sudut rupa, tetapi juga kecemerlangan akademik.

Pemilihan Hawa sebagai alumni kehormat pada istiadat konvokesyen tersebut secara tidak langsung mengiktiraf sumbangannya dalam dunia media, sekali gus menjadi simbol inspirasi kepada pelajar dan graduan-graduan lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram