[VIDEO] Rumah nyaris terbakar ketika masak lilin, kini 2 beradik semakin rancak pasarkan produk 'waxing'


  • Sukses
  • Isnin, 22 Sep 2025

Gambar kiri: Naqiah (kiri) dan Najwa Fadhilah kini memfokuskan perancangan untuk melangkah ke pasaran antarabangsa di Indonesia dan Thailand.

SIAPA sangka idea kecil yang tercetus daripada pengalaman peribadi akhirnya membuka jalan kepada lahirnya satu jenama produk pelilinan (waxing) yang dikenali sebagai Wawawax.

Segalanya bermula pada awal 2016 apabila Naqiah Othman menyokong adiknya, Najwa Fadhilah Othman, 33, yang ketika itu menjual produk pelilinan panas. 

Namun pengalaman pertama menggunakan alat pembuangan bulu tersebut berakhir dengan kulit melecur. 

BACA LAGI: [VIDEO] Pernah 'terduduk', wang simpanan licin, kini Nuraini bantu lebih 4,000 usahawan rancang strategi perniagaan

BACA LAGI: Pasar Borneo 'tunai' impian usahawan Sabah, Sarawak kembangkan perniagaan di Semenanjung

Dari situlah timbul idea untuk menghasilkan produk berasaskan lilin (wax) yang tidak perlu dipanaskan.

“Lilin panas agak berisiko, jadi saya cadangkan kepada adik kenapa tidak buat versi lebih mudah?

"Namun sebab ketika itu, adik masih bekerja di pelantar minyak, jadi saya ambil tanggungjawab untuk teruskan idea tersebut," katanya kepada Majoriti.

Naqiah (kiri) dan Najwa Fadhilah memulakan perniagaan Wawawax pada awal 2016.

Dengan modal hanya RM500, wanita berasal dari Sungai Petani, Kedah itu memulakan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dari dapur rumah kos rendahnya. 

Menurut Naqiah yang berusia 37 tahun itu, lebih 30 kali percubaan dalam tempoh kurang dua minggu dilakukan, sebelum berjaya menghasilkan formula wax yang sesuai yakni tidak cair, tidak terlalu pekat dan selamat digunakan.

"Saya belajar Youtube sahaja. Saya tengok bahan dari situ dan daripada wax yang adik jual dan cuba buat sendiri," ujarnya.

Walaupun ketika itu masih bekerja tetap sebagai pembantu arkitek di organisasi kerajaan, minatnya terhadap perniagaan tidak pernah pudar. 

Malah beliau sudah berpengalaman mencuba pelbagai jenis bisnes, dari menjual makanan ringan, butik tudung sehingga membuka restoran francais. Namun semua itu punya cabaran tersendiri.

Menurutnya, jadual kerja sepenuh masa dari pukul 7 pagi hingga 6 petang membuatkan masa untuk menguruskan bisnes amat terhad. 

Jenama itu pada awalnya memulakan segala operasi dari rumah.

Ibu kepada lapan cahaya mata termasuk empat anak tiri itu hanya berpeluang menumpukan perhatian pada waktu malam, termasuk berjumpa pihak berkaitan untuk memohon geran bagi mengembangkan bisnesnya.

“Keputusan untuk berhenti kerja tetap bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya sudah lama menyimpan hasrat tersebut.

"Kalau masih bekerja dalam sektor kerajaan, agak sukar untuk saya keluar menghadiri program atau memohon bantuan. 

"Wawawax bukan seperti produk penjagaan kulit yang orang beli setiap bulan. Ada pelanggan hanya membeli sekali pada harga RM35. 

"Jadi, untuk berkembang kami perlukan sokongan seperti geran kerajaan, terutama bagi modal mesin dan kilang,” jelasnya.

Berkongsi cabaran awal, beliau mengakui menjual produk seperti alat pembuangan bulu bukan sesuatu yang mudah kerana ia berkait rapat dengan isu peribadi dan dianggap agak sensitif.

“Ada orang segan nak cerita pasal bulu-bulu, tapi bagi saya kalau nak berjaya, kita kena buang rasa malu. Saya tak malu untuk bermula,” katanya.

Hasil usaha gigih, Wawawax kini beroperasi di sebuah kilang rasmi di Kedah Halal Park sejak Oktober 2022, selepas sebelum ini beroperasi dari rumah dan premis kedai. 

Kini, syarikat tersebut menghasilkan lima variasi produk termasuk produk wax dalam dua saiz, sekerap badan dan gel penenang (soothing gel) sebagai set lengkap untuk penjagaan kulit selepas rawatan pelilinan.

Gel penenang antara produk yang ditawarkan Wawawax sebagai set lengkap untuk penjagaan kulit selepas rawatan pelilinan.

Restu ibu bapa

Naqiah mengakui, sokongan keluarga menjadi tonggak utama keputusannya untuk menamatkan perkhidmatan sebagai arkitek. 

Sebelum berhenti kerja pada 2021, penerima Diploma Senibina daripada Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan, Pahang itu terlebih dahulu memohon restu daripada kedua ibu bapa.

“Mak ayah awalnya kurang bersetuju kerana mereka datang daripada latar belakang kerja tetap, sebagai guru dan pensyarah. 

"Mereka lebih berpengalaman, jadi mereka risau tentang kestabilan hidup saya. Namun selepas membentangkan perancangan bisnes dengan jelas, akhirnya mereka merestui,” katanya yang turut mendapat sokongan suami.

Rumah hampir terbakar

Mengenang kembali perjalanan awal, Naqiah memberitahu, usai waktu kerja, beliau mengambil anak-anak dan memastikan mereka tidur awal sebelum dirinya menyambung tugasan menyediakan wax pada waktu malam.

“Semua saya buat sendiri termasuk masak wax dan potong kain. Selalunya hanya dapat tidur tiga jam sahaja, pukul 3 pagi baru tidur, kemudian bangun semula 6 pagi,” ungkapnya.

Namun, kesibukan itu pernah mengundang detik cemas apabila beliau tertidur ketika sedang memasak lilin di dapur kira-kira pukul 3 pagi.  

Tanpa disedari, asap tebal memenuhi ruang rumah sehingga hampir mengundang kebakaran.

Bicara Naqiah, perkara pertama yang terlintas di fikirannya ketika itu adalah menyelamatkan anak-anak masing-masing berumur setahun dan sebulan, yang sedang tidur lena.

"Saya angkat mereka keluar, letak dalam kereta sebelum kembali ke dapur. Wax yang saya masak dah hangit, sehinggakan bekas berlubang terbakar. 

"Saya buka cermin dan kipas untuk keluarkan asap,” jelasnya yang masih sebak saat mengenang kembali kejadian pada tahun pertama berniaga.

Keadaan periuk milik Naqiah yang terbakar ketika sedang memasak lilin di dapur pada 2016.

Kejadian berbahaya itu hampir meragut nyawa, namun menjadi titik kekuatan buatnya untuk terus berusaha demi mengubah kehidupan keluarga.

Mengulas mengenai titik tolak sebenar kejayaan Wawawax, akui Naqiah, ia hadir ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020, selepas orang ramai tidak dapat ke spa lalu mencari alternatif rawatan pelilinan di rumah. 

Jualan ketika itu ujarnya, meningkat berganda, ditambah pula dengan promosi daripada selebriti dan pempengaruh. 

Kini, Wawawax bukan lagi sekadar produk 'dapur rumah'. Lebih membanggakan, Wawawax kini memfokuskan perancangan untuk melangkah ke pasaran antarabangsa di Indonesia dan Thailand.

Bagi Naqiah dan adiknya, kejayaan itu bukanlah tiket untuk mendabik dada. Malah beliau lebih selesa meletakkan nama jenama di hadapan berbanding dirinya. 

“Saya bukan jenis suka ke depan. Saya lebih hargai privasi dan mahu orang kenal produk, bukan saya,” ujarnya tertawa.

Mengakhiri perkongsian, Naqiah turut menitipkan pesanan buat wanita khususnya suri rumah yang ingin memulakan bisnes dari rumah.

Beliau berkata, ramai yang masih ragu-ragu untuk melangkah kerana terlalu memikirkan pandangan orang lain, sedangkan tindakan pertama itulah yang paling penting.

“Jangan tunggu, mulakan sahaja walaupun kecil. Jika gagal, cuba lagi dengan cara lain. Itulah perjalanan sebenar seorang usahawan," ungkapnya menambah, pengalaman jatuh bangun dalam pelbagai bidang itu menjadi guru yang membentuk keyakinannya hari ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram