Bakal nyanyi 4 bahasa sepanjang pertandingan, Yazmin Aziz teruja bawa nama Malaysia ke Kazakhstan, satu-satunya wakil Asia Tenggara


  • Maya
  • Jumaat, 05 Sep 2025

Yazmin merupakan satu-satunya wakil dari Asia Tenggara menyertai Silk Way Star yang berlangsung di Kazakhstan. — Instagram/@yazmin.aziz

PENYANYI muda berbakat, Yazmin Aziz, 24, sekali lagi mengharumkan nama negara apabila terpilih menyertai pertandingan nyanyian antarabangsa Silk Way Star di Kazakhstan.

Menariknya, beliau merupakan satu-satunya wakil dari Asia Tenggara dalam pertandingan yang menghimpunkan peserta dari 12 buah negara termasuk China, Korea Selatan dan Kazakhstan sendiri.

Bagi penyanyi berdarah kacukan Malaysia-Filipina itu, peluang tersebut bukan sekadar cabaran peribadi, malah menjadi platform penting untuk memperkenalkan budaya Asia Tenggara di pentas antarabangsa.

BACA LAGI: Dahulunya graduan, Hawa Rizwana teruja diberi penghormatan sebagai alumni kehormat di istiadat konvokesyen UiTM

BACA LAGI: 'Ibu bapa janganlah ambil kesempatan guna IC anak', wanita dedah kes pelanggan terkejut baki MySARA tinggal 60 sen, rupanya ibu guna senyap-senyap

"Saya rasa sangat terharu dan bangga. Walaupun ini bukan kali pertama saya mewakili Malaysia, kali ini lebih istimewa sebab saya seorang sahaja peserta dari Asia Tenggara," katanya kepada Majoriti.

Menerusi pertandingan berkenaan, Yazmin atau nama sebenarnya Yazmin Aldwin Abdul Aziz bakal mempersembahkan lagu dalam empat bahasa berbeza melibatkan bahasa Inggeris, Melayu, Mongolia dan Kazakhstan.

Meskipun pernah menyanyi dalam pelbagai bahasa sebelum ini, lagu dalam bahasa Mongolia dan Kazakhstan merupakan pengalaman baharu buatnya.

"Kali ini saya akan cuba bawa lagu Mongolia dan Kazakhstan buat pertama kali. Program ini mahu menunjukkan kepelbagaian muzik setiap negara peserta," jelasnya.

Antara cabaran utama buatnya ialah komunikasi seharian memandangkan bahasa utama yang digunakan di Kazakhstan ialah Kazakh dan Rusia.

"Memang susah untuk saya kerana tidak faham sepenuhnya. Setiap hari saya cuba belajar perkataan-perkataan asas supaya lebih mudah berkomunikasi dan faham arahan yang diberi," katanya.

Dari segi persiapan, Yazmin banyak berlatih di belakang tabir, bukan sahaja dari aspek vokal malah emosi bagi memastikan penghayatan setiap lagu lebih tepat.

"Cabarannya adalah memastikan sebutan dan penghayatan setiap bahasa betul. Tapi saya percaya dengan usaha dan doa, saya boleh sampaikan mesej lagu itu dengan ikhlas,” katanya lagi.

Menariknya, Yazmin turut mendapat bantuan penulis lirik terkenal, Shah Shamshiri bagi menterjemahkan salah satu lagu Kazakhstan ke dalam Bahasa Malaysia sebagai sebahagian daripada eksperimennya membawa kelainan di pentas pertandingan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram