[VIDEO] Willy Wonka versi Malaysia, Auntie Ja sanggup ikat perut tiap bulan demi beli resipi PJJ berharga lebih RM100


  • Bizz
  • Selasa, 17 Dis 2024

Percaturan untuk membuka perusahaan sendiri mendapat sokongan penggemar hidangan manisan berasaskan coklat.

KEMUNCULAN kafe Suka Dessert (SD), membawa kembali kenangan menonton filem Inggeris bertajuk Charlie and the Chocolate Factory popular sekitar 2000.

Filem popular lakonan Johnny Depp arahan Tim Burton itu mengisahkan tentang pemilik kilang Willy Wonka yang obses dengan coklat.

Karakter itu turut ditonjolkan oleh tauke manisan coklat, dikenali sebagai Auntie Ja, yang menawarkan hampir 100 manisan di kafe SD terletak di Selayang, Selangor.

BACA LAGI: Dulu suka main 'buat kuih' dalam bilik air, kini Nurul Hazwana mahu empayar kek kuasai seluruh Perak

BACA LAGI: 'Tauke tak malu lap meja makan', bekas kontraktor terokai sektor F&B lepas hampir 3 dekad dalam dunia pembinaan

Cita rasa Aunty Ja, atau empunya nama, Siti Hajar Mohd Razali, 37, terhadap kelazatan coklat membuatkan setiap menunya tular sehingga pelanggan sanggup beratur panjang demi mendapatkan produk manisan yang ditawarkan.

Sejak diperkenalkan pada 2013, pelbagai menu pemanis mulut direka menggunakan kreativiti dan minat pengusahanya.

Dia juga pernah mencatat rekod peribadi apabila mampu menjual 1,000 balang Pistastick Cookies kurang 20 saat menerusi jualan secara langsung dalam talian.

Mendapat ilham daripada situasi semasa, kata Auntie Ja, antara menu mencetuskan fenomena ialah Chopstick Cookies. Sehingga hari ini manisan tersebut masih mendapat tempat dalam kalangan penggemar dan 29,500 pengikut laman sosial Instagram.

Snapinsta.app_139566125_1965506373590002_925925210730003573_n_1080

Antara menu pemanis mulut direka menggunakan kreativiti dan minat Auntie Ja.

Ilham

“Chopstick Cookies diperkenalkan sekitar 2019 dan nama itu diberi kerana saya mahu pelanggan menikmati biskut dengan menggunakan kayu penyepit makanan.

“Trend itu diketengahkan supaya tangan mereka tidak comot ketika menikmati biskut coklat yang dituang dengan coklat cair,” katanya.

Jelasnya, tanpa diduga percaturan kreatif diketengahkan mencuri perhatian pengguna media sosial apabila dia memuat naik video tentang sajian itu.

Biarpun ada mempertikaikan konsep mencampurkan biskut bersama coklat cair itu teknik yang salah, namun ramai menggemarinya.

“Ada yang komen, biskut dibiarkan bersama limpahan coklat cair akan lemau dan tidak enak sedangkan perkara sebaliknya berlaku.

“Biskut dicampur dengan coklat cair itu diadun menggunakan resipi khusus agar kerangupannya kekal,” ujar bekas eksekutif akaun di sebuah syarikat swasta itu.

SD turut menawarkan pelbagai pilihan pemanis mulut lain seperti Golden Lotus Cheese iaitu empat lapis sapuan jem biscoff bersama krim keju, kek mini SD dan Pizza Choc Caramel menggabungkan pilihan kek coklat bersama sos karamel.

Mendap

Kongsinya, selain biscoff, SD turut dikenali menerusi manisan tular seperti Mountain Lava Browniess. Manisan tersebut antara menu awal yang diperkenalkan kepada pelanggan.

Katanya, setiap menu SD mempunyai kisah tersendiri sama seperti Mountain Lava Browniess gabungan brownies lembut dan gebu dengan siraman coklat cair.

"Menu tersebut terhasil atas kesilapan sendiri yang mahu menghasilkan brownies gebu tetapi permukaannya menjadi mendap.

"Situasi itu menyebabkan saya rasa cemas kerana perlu menghantar brownies kepada seorang pempengaruh makanan, jadi saya terpaksa memikirkan strategi baharu.

“Saya tidak mempunyai masa untuk menghasilkan brownies baharu kerana kesuntukan masa. Jadi, untuk menutup cela saya tuang coklat Cadbury cair di atas permukaan mendap itu.

sd3

Auntie Ja menawarkan hampir 100 manisan di kafe SD terletak di Selayang.

Kualiti

“Bagi menampakkan brownies cantik dalam gambar, saya hiasa dengan coklat gelap dan putih agar kelihatan lebih menarik,” ujarnya sambil menambah bahawa menu itu turut mendapat perhatian umum.

Selain itu, biskut Choc Chip Crunchy juga antara digemari oleh penggemar coklat. Biskut rangup itu sarat dengan cip coklat memberikan pengalaman menikmati kaya dan memuaskan.

Browniess Choc Crowd pula adalah brownies bersaiz kecil dihidangkan bersama aneka coklat premium.

Begitu juga dengan Chocolate Cookiesland, pilihan pemanis mulut itu diibaratkan syurga coklat buat penggemarnya.

“Setiap menu dihasilkan dengan sendiri kerana saya cepat bosan dengan sajian sama. Namun, saya masih mengutamakan penggunaan coklat premium dan import untuk kepuasan pelanggan,” jelasnya yang menggunakan hampir dua tan coklat cair setiap minggu.

Coklat berkualiti akan memberikan rasa berlemak dalam setiap suapan.

Ditanya tentang pemilihan menu, katanya sejak dulu lagi dia menggemari manisan daripada rantaian kedai coklat, Dipndip.

Setiap kali gaji, wanita ini akan ketepikan sedikit wang saku untuk mencuba hidangan baharu.

Jadi, katanya resipi SD terhasil menerusi inspirasi dan pengalamannya menikmati keenakan juadah manisan menggunakan coklat import dari Eropah itu.

Snapinsta.app_139566125_1965506373590002_925925210730003573_n_1080

Setiap koleksi menitikberatkan keselesaan pelanggan untuk menjamu manisan yang disediakan secara bergerak.

“Sehingga hari ini, saya masih menggemari menu di Dipndip. Saya mahu pelanggan yang menikmati SD mendapat rasa sama.

“Namun, untuk SD saya cipta resipi sendiri dan mengurangkan rasa manis supaya selari dengan cita rasa tempatan,” ujarnya yang kini sibuk mengendalikan program jelajah SD ke serata negeri termasuk Melaka, Johor dan Pulau Pinang.

Auntie Ja turut mengehadkan beberapa jenis manisan khusus seperti Crunchpy, Bucket Cookies dan Cake in Bowl untuk program jelajah yang disertai.

Setiap koleksi juga menitikberatkan keselesaan pelanggan untuk menjamu manisan yang disediakan secara bergerak.

“Crunchpy adalah hidangan ala wafer rangup di luar dan dalamnya berinti coklat, sementara itu Bucket Cookies pula biskut coklat diperbuat daripada mentega premium yang dijual di dalam bekas.

“Buat pencinta kek coklat, boleh mencuba Cake in Bowl dihidangkan bersama cairan coklat dan taburan bebola coklat enak,” katanya yang turut menggunakan perkataan darlings untuk memikat pelanggan.

Ujarnya, bagi membekalkan rasa mewah, penggunaan bahan premium seperti coklat dan mentega sangat dititikberatkan.

Sebagai seorang yang agak cerewet, Auntie Ja memberitahu, SD tidak lokek melabur bagi mendapatkan produk asas berkualiti.

Usahawan tersebut yakin, penggunaan produk berkualiti tinggi dapat menghasilkan rasa biskut, kek dan pastri yang enak, lembut dan segar dalam setiap gigitan.

Owner Suka Dessert, Siti Hajar Mohd Razali for KULINARI. —YAP CHEE HONG/The Star

Aunty Ja memberitahu, SD tidak lokek melabur bagi mendapatkan produk asas berkualiti.

Artisan

“Apabila berdepan dengan isu boikot, SD turut terjejas. Namun, untuk mengekalkan kualiti produk saya cuba mencari solusi dengan menggantikan bahan lain.

“Saya akan cari produk yang sama nilainya agar pastri, kek dan biskut kekal sama rasanya,” katanya yang menggunakan coklat import dari beberapa negara pengeluar terbaik.

Berkongsi perjalanan perniagaan, bicara Auntie Ja, dia tidak mempunyai sebarang kelayakan baik dalam dunia kulinari mahupun pastri.

Namun, dek minat terhadap manisan, dia memberanikan diri berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Berbekalkan ilmu diperoleh daripada kelas pembelajaran jarak jauh (PJJ) dikendalikan dalam talian, dirinya komited menghasilkan biskut, kek dan coklat dari rumah.

“Setiap bulan saya ikat perut untuk membeli beberapa resipi PJJ berharga antara RM60 hingga RM150.

“Saya cuba gabungkan resipi dipelajari dengan cita rasa sendiri dan menitikberatkan soal pemilihan coklat.

“Syukur, percaturan untuk membuka perusahaan sendiri mendapat sokongan penggemar hidangan manisan berasaskan coklat,” ujarnya SD dalam perancangan membuka kedai coklat artisan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram