Dulu suka main 'buat kuih' dalam bilik air, kini Nurul Hazwana mahu empayar kek kuasai seluruh Perak


  • Bizz
  • Rabu, 28 Ogos 2024

Nurul Hazwana menawarkan variasi kek berkualiti premium dengan harga yang mampu milik.

KECENDERUNGAN terhadap dunia pastri menguatkan azam usahawan yang hanya ingin dikenali sebagai Nurul Hazwana untuk mengusahakan perniagaan pencuci mulut secara kecil-kecilan bermula dari rumah.

Minat yang ditanam sedari usia sembilan tahun itu bermula selepas sering melihat ibunya membuat kuih di rumah mereka yang terletak di Subang Jaya, Selangor.

Berkongsi kisah lucu tentang permulaan cintanya dalam dunia pembuatan kek, usahawan berusia 28 tahun itu berkata, dia pernah mencuri tepung dari dapur untuk 'membuat' kuih di dalam bilir air.

BACA LAGI: Lebih separuh sekolah usang di Sabah siap dipulihkan — Fadhlina

BACA LAGI: Farina sanggup tinggalkan kerjaya wartawan demi pendidikan anak Sabah

WhatsApp Image 2024-08-27 at 17.09.14

Usahawan itu banyak menerima tempahan untuk membuat kek bagi acara tertentu.

"Saya ingat lagi semasa kecil saya suka curi-curi tepung dan main buat kuih di dalam bilik air bersendirian.

"Masa itu mama memang rajin buat kuih untuk minum petang dan jamu kepada saudara mara. Jadi dari situ timbul minat untuk turut sama membuat kuih.

"Namun sebaliknya saya dimarahi kerana penuh ketulan-ketulan tepung yang terkena air di atas lantai," katanya kepada Majoriti, dalam nada berseloroh.

Berkongsi perjalanannya dalam dunia perniagaan pula, ibu kepada tiga putera, masing-masing berumur lima, dua tahun dan lapan bulan itu memberitahu, dia mula mengambil tempahan pelbagai jenis kek sejak Februari 2021.

Ketika itu ujarnya, antara yang mendapat sambutan termasuk kek tapak kuda, kek keju, tart keju, menara brownies.

"Selain itu, saya juga banyak menerima tempahan untuk membuat kek bagi acara tertentu seperti pertunangan, perkahwinan dan majlis hari jadi," jelasnya yang kini menetap di Kampar, Perak.

Graduan lulusan Diploma Pengurusan Hotel dari Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) itu turut mengikuti kelas secara dalam talian bagi menambah baik kemahirannya dalam membuat kek.

WhatsApp Image 2024-08-28 at 15.18.21

Nurul Hazwana mula meletakkan beberapa pencuci mulut di Cafe Awesome Of Art sejak Jun lalu.

Sokongan keluarga

Nurul Hazwana meluahkan rasa bersyukur kerana keluarganya banyak memberi bantuan dan sumbangan untuk dirinya melebarkan sayap dalam bidang pastri.

Malah wanita itu memberitahu, idea untuk menamakan awesometaste sebagai jenamanya juga disumbangkan oleh bapa tercinta.

Tambahnya lagi, bermula Jun lalu, dia memutuskan untuk meletakkan aneka pencuci mulut hasil air tangannya di sebuah kafe bagi membantu meningkatkan hasil jualan.

"Selepas membuat perbincangan, saya meletakkan produk antaranya cake in box, kek keju, japanese creampuff, kek cawan dan burnt cheese cake di Cafe Awesome Of Art, sebuah restoran yang terletak di Bandar Agacia Kampar.

"Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat baik, sehingga ada beberapa pelanggan yang mengunjungi kedai semata-mata mahu mendapatkan kek ini, terutamanya cake in box.

"Cake in box ialah kek tiga lapisan meliputi kek coklat kukus, krim keju dan coklat ganache premium yang dijual dengan harga RM13 sahaja," katanya yang pernah bekerja dalam sektor makanan dan minuman (F&B) sebelum benar-benar fokus dalam bisnes pastri sejak tiga tahun lalu.

Ditanya antara cabaran dalam menelusuri perniagaan tersebut, Nurul Hazwana mengakui, menjalankan perniagaan sememangnya mempunyai risiko tersendiri yang perlu ditanggung.

WhatsApp Image 2024-08-27 at 17.31.30

Cake in box antara yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan pembeli ketika ini.

Selain memahami dan melayani sikap pelanggan yang bermacam ragam, usahawan tersebut juga terpaksa menanggung hakikat bahawa harga bahan membuat kek meningkat hampir setiap bulan.

Justeru, dia perlu bijak dan berhati-hati dalam menguruskan kewangan agar tidak menjejaskan perniagaannya dalam jangka masa panjang.

"Sekarang harga barang kek boleh dikatakan setiap bulan naik, misalnya krim keju, bulan lepas harga bagi satu kilogram adalah RM37.90, tetapi bulan ini naik kepada RM38.90.

"Jadi kita perlu jelaskan kepada pelanggan bahawa bahan-bahan yang digunakan semuanya premium. Jika nak harga bajet, bahan yang digunakan mesti dalam harga bajet juga.

"Ada juga jenis pelanggan yang suka bertanya itu ini, tetapi bila tanya harga, mereka terus senyap," katanya yang turut menginspirasikan pengasas jenama pencuci mulut popular, Suka Dessert, Siti Hajar Mohd Razali sebagai idola dalam dunia perniagaan bakeri.

Nurul Hazwana dalam pada itu turut menyuarakan harapan agar dapat membuka kedainya sendiri, bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk menikmati pencuci mulut yang berkualiti dengan harga berpatutan.

"Dalam masa sama saya juga berharap dapat menjadi antara pembuat kek paling dipercayai dan dikenali bukan hanya di sekitar Kampar, malah seluruh Perak," bicaranya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram