
PERTEMUAN yang tidak disengajakan antara Tengku Ariputra Tengku Mohd Saad dengan komuniti Orang Asli suku Batek di Kedah pada 2023 membuka pintu rezeki yang tidak pernah disangka.
Mengimbau kembali detik tersebut, lelaki berusia 29 tahun yang mesra disapa Ari berkata, pada masa itu, dia pulang ke kampung bagi membantu keluarga menguruskan penanaman padi.
Bergelar 'budak bandar', dia meninggalkan kerjaya dalam bidang jualan dan pemasaran yang diceburi sejak usia 18 untuk belajar mengenai agrikultur di Negeri Jelapang Padi itu.
BACA LAGI: Bawa RM10,000 naik Himalaya, 6 beradik asal Penang tak sangka buah eksotik ubah nasib keluarga
Sehinggalah pada suatu hari, dia didatangi sekumpulan Orang Asli dengan kira-kira empat karton madu tualang liar.
"Pelanggan yang sepatutnya beli madu itu tak dapat dihubungi, jadi ada seorang kenalan minta bantuan untuk simpan di kebun saya.
"Tiga bulan kemudian, kenalan itu tanya kalau saya boleh beli madu-madu tersebut.
"Saya sampel rasa madu itu, beri kepada keluarga dan kawan-kawan dan mereka menyukainya.
"Jadi saya ambil keputusan untuk buat crowdfund dan beli madu itu pada harga RM2,500," katanya kepada Majoriti.
Cerita Ari, dia beli sendiri balang kaca, buat label pembungkusan dengan tulisan tangan dan menjualnya di pasar pagi dan pasar malam di sekitar Bangsar, Kuala Lumpur.
"Batch pertama madu yang diperoleh habis terjual dan dari situ saya dapat modal untuk membeli batch seterusnya daripada Orang Asli yang sama," katanya sambil memberitahu, madu itu diperoleh dari Taman Negara Pahang, Kuala Tahan, Pahang.
Bisnes yang dijalankan secara sambilan pada hari minggu itu mula membuahkan hasil apabila jualannya cukup memberangsangkan.
Selepas bergerak solo selama dua tahun, Ari bersama teman wanita dan sepupunya membentuk pasukan dengan masing-masing memiliki kemahiran dalam bidang tertentu.
“Saya menggalas peranan dalam bahagian jualan, manakala teman wanita saya dan sepupunya masing-masing bertanggungjawab dalam aspek pemasaran, penjenamaan, kewangan dan operasi," katanya.
Orang Asli perlu memanjat pokok tualang setinggi lebih 30 meter untuk mendapatkan madu.
Meskipun sudah dijenamakan sebagai Honey I'm Home, Ari berkata, matlamatnya masih sama iaitu memastikan setiap titisan madu yang dijual adalah tulen.
“Madu kami tiada gula, tiada bahan tambahan. Ramuannya hanya satu — madu," katanya.
Menjelaskan lanjut, Ari berkata, berbeza dengan madu lain di Malaysia, madu tualang dianggap lebih eksotik kerana ia sukar diperoleh.
"Di Malaysia sahaja, madu bukannya satu jenis sebaliknya wujud pelbagai variasi yang datang daripada sumber dan habitat berbeza.
"Kita ada madu akasia, madu kelulut yang mana ada kelulut liar dan ternak. Begitu juga tualang yang mana ada tualang gua, tualang batu kapur dan tualang pokok.
"Macam yang dijual ini ialah daripada pokok setinggi 36 meter atau bangunan 12 tingkat. Orang Asli perlu memanjat pokok ini untuk mendapatkannya.
"Lebahnya pula lebih besar dan sangat agresif manakala sengatannya amat menyakitkan. Sebab itu tualang tidak boleh diternak seperti kelulut," ceritanya panjang lebar.
Berikutan sifat madu tualang yang agak reaktif, Ari mengakui dia menghadapi cabaran dari segi logistik.
"Kami ada rancangan untuk mengedarkan ke seluruh negara tapi ia perlu diteliti dengan lebih lanjut memandangkan madu ini boleh mengeluarkan gas.
"Tapi ia tidak bermaksud madu itu sudah tak elok, ia kerana enzim dan nutriennya masih aktif secara semula jadi. Ia juga bermakna madu tempatan bagus dan mampu bersaing dengan yang diimport seperti madu manuka Australia.
"Jadi buat masa ini, kami hanya buat penghantaran di sekitar Lembah Klang dan jual secara fizikal di pasar komuniti serta artisan market," katanya.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, dia berhasrat ‘menjinakkan’ madu tualang tanpa membunuh bakteria baik di dalamnya.
Menjadikan hal itu sebagai perancangan masa depan, Ari berkata, matlamatnya adalah untuk memahami secara mendalam sifat dan komposisi madu.
Justeru, dia mahu menjalinkan kerjasama dengan universiti dan institusi penyelidikan supaya kajian terperinci dapat dijalankan, misalnya mengenal pasti ciri-ciri khas madu berdasarkan jenis bunga yang menjadi sumber nektar.
"Tujuannya ialah untuk memahami bagaimana kami boleh menstabilkan madu ini supaya boleh dihantar ke seluruh negara tanpa menjejaskan kualiti. Itu sasaran utama kami," katanya.
Untuk maklumat lanjut layari laman web Honey I'm Home. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram