Pukul 10 pagi tertidur di dalam kelas, padah kerap 'berjaga' malam gara-gara video 'game'


  • Bonda
  • Ahad, 21 Sep 2025

Tabiat bermain permainan video sehingga lewat malam menyebabkan murid kerap mengantuk dan hilang fokus. — Gambar janaan AI

TABIAT bermain permainan video sehingga lewat malam dikenal pasti sebagai antara punca sesetengah murid gagal memberikan tumpuan di dalam kelas.

Perkara itu dikongsikan seorang guru menerusi hantaran video di aplikasi TikTok Cikgu Online, berdasarkan pengalamannya sendiri.

BACA LAGI: Kelas terapung bukan tak okey tapi tengok kesesuaian fasiliti elak mudaratkan murid — KGMMB

BACA LAGI: Ramai kanak-kanak obesiti hidap diabetes 'orang dewasa', perhati tanda-tanda ini

“Kalau dalam kelas, kita boleh tahu murid yang malam tadi tidur lambat sebab main permainan video.

"Ada seorang murid saya, pukul 10 pagi sudah tertidur di kelas, bangun balik pukul 10.30 pagi, dia jaga waktu rehat. Lepas itu segar dan pukul 12 tengah hari tidur balik.

"Dia akan tergesa-gesa nak balik sebab penat ataupun nak kejar main permainan video," katanya.

Katanya lagi, tabiat tersebut menyebabkan murid berkenaan kerap mengantuk dan hilang fokus.

Guru itu menjelaskan, selepas sebulan memerhati tingkah laku murid, beliau menghubungi ibu pelajar tersebut dan mendapati aktiviti utama pada waktu malam adalah bermain permainan video.

Tambah beliau, penggunaan gajet yang berlebihan, selain waktu tidur tidak teratur bukan sahaja menjejaskan mata, malah turut memberi kesan kepada fungsi otak kerana tenaga kognitif digunakan secara berlebihan.

“Kalau murid datang tuisyen dengan saya dalam keadaan lesu, kabur fikiran dan tidak faham pelajaran, soalan pertama saya ialah tadi main game tak?

"'Ya cikgu'. Ia jelas sekali mengganggu fokus dan juga kesihatan mata, ini berdasarkan kajian saintifik,” ujarnya.

Kesan tidur lewat

Sementara itu, menurut laporan National Sleep Foundation, remaja yang tidur kurang daripada lapan jam sehari lebih cenderung mengalami masalah tumpuan, penurunan prestasi akademik dan emosi tidak stabil.

Kajian itu turut menjelaskan, tidur mencukupi amat penting bagi memastikan otak berfungsi dengan baik, selain membantu proses pembelajaran dan pengukuhan memori.

Kekurangan tidur secara berterusan bukan sahaja menjejaskan prestasi di sekolah, malah boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kesihatan mental serta perkembangan remaja.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) pula mendapati, kekurangan tidur boleh mengganggu perkembangan otak remaja, melemahkan sistem imunisasi dan meningkatkan risiko kemurungan.

Justeru, pakar kesihatan mengesyorkan pelajar mendapatkan sekurang-kurangnya lapan hingga 10 jam tidur berkualiti setiap malam bagi memastikan otak berada dalam keadaan optimum untuk pembelajaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram