
WAKIL Thailand, Bangkok United akan menjadi cabaran pertama Selangor FC dalam perlawanan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/26 pada Khamis di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor.
Sebagai rekod, naib juara Liga 1 Thailand musim lalu itu mendapat tiket untuk bersaing di ACL2 selepas tewas pada peringkat 'play-off' kelayakan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di tangan Chengdu Rongchen.
Skuad dengan gelaran Bangkok Angel itu dijangka hadir dengan reputasi sebagai salah satu pasukan elit dari Thailand selepas tampil cemerlang dalam saingan domestik musim lalu.
BACA LAGI: Kunjungan terakhir kelab Thailand ke MBPJ ranapkan misi Selangor di Asia, rencat permulaan Kino
BACA LAGI: [VIDEO] Makin tajam depan gawang, striker Sabah-Selangor pimpin senarai penjaring hatrik Liga Super
Bukan itu sahaja, pasukan kendalian Totchtawan Sripan juga mempunyai barisan pemain berkualiti dengan campuran beberapa pemain terkenal Thailand dan tonggak import yang mampu menjadi ujian berat untuk Gergasi Merah.
Namun, pasukan kendalian Katsuhito Kinoshi apa kurangnya yang tampil dengan semangat tinggi selepas turut cemerlang dalam saingan tempatan dan kini mahu membuktikan kemampuan di pentas Asia.
Menjelang perlawanan pertama Kumpulan G ACL2 itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang akan memberi cabaran hebat buat skuad Gergasi Merah pada aksi berkenaan;
1) Teerasil Dangda
Teerasil pemain berpengalaman dalam bola sepak Thailand. — Instagram/Teerasil
Siapa yang mengikuti bola sepak Asia Tenggara, pasti mengenali Teerasil Dangda iaitu salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman di rantau ini apabila sudah memenangi tiga kejuaraan Piala AFF bersama Thailand.
Teerasil yang juga merupakan penjaring terbanyak sepanjang sejarah kejohanan itu dengan 25 gol itu pernah berkelana di England dengan menyertai Manchester City dan Manchester United serta kelab di negara Switzerland, Sepanyol dan Jepun.
Kini, pemain berusia 37 tahun itu kini menduduki tangga ketiga penjaring terbanyak sepanjang zaman Thai League 1 dan merupakan penjaring tempatan paling prolifik dengan 143 gol.
Selepas hampir lima musim bersama BG Pathum, penyerang tengah berkenaan disuntik Bangkok United pada awal musim ini dengan dia sudah tampil dalam empat perlawanan dan menyumbang satu gol untuk pasukan baharunya itu.
Dengan pengalaman luas serta ketajaman penyudah yang dimilikinya, penyerang veteran Thailand itu dilihat berupaya menghadirkan ancaman berbahaya di barisan serangan pasukannya dan akan mengugat Selangor FC.
2) Richairo Zivkovic
Zivkovic boleh beraksi sebagai penyerang tengah dan pemain sayap. — Instagram/Zivkovic
Masih bercakap dalam konteks penyerang, Richairo Zivkovic yang merupakan bintang import Bangkok United sejak musim 2024 juga dianggap antara ujian terbesar Gergasi Merah untuk mendapatkan tiga mata pada perlawanan esok.
Pemain skuad Bawah-18 tahun Belanda berkenaan mula menjadi watak utama bahagian serangan Bangkok Angel sejak 2024 dengan setakat ini, Zivkovic sudah mencetak 17 gol dan 11 bantuan jaringan dalam 45 perlawanan diturunkan.
Zivkovic juga tidak kekok beraksi di pentas ACL susulan lima daripada golnya untuk Bangkok United hadir ketika aksi ACL2 musim lepas dan satu ketika pusingan kelayakan ACLE.
Bekas pemain yang pernah beraksi di liga-liga Eropah itu memiliki pakej lengkap sebagai penyerang moden dengan kepantasan, kekuatan fizikal serta kemampuan menjaringkan gol dari pelbagai sudut.
Selangor dijangka berdepan tugas sukar jika gagal mengekang pengaruh penyerang berusia 28 tahun itu, yang sering menjadi penggerak utama dalam mencipta peluang gol dengan menggunakan kebolehannya beraksi sebagai pemain sayap.
3) Pratama Arhan
Arhan sebelum ini pernah menjadi bintang buruan Selangor. — Instagram/Arhan
Nama Pratama Arhan baru-baru ini terpalit dengan isu luar padang apabila dia difahamkan memfailkan cerai terhadap isterinya, Azizah Salsha yang didakwa wujud orang ketiga dalam rumah tangga mereka.
Bagaimanapun, isu luar padang itu seolah-olah tidak menganggunya apabila Pratama masih cemerlang beraksi sebagai bek kiri Bangkok United dengan berhasil tampil dalam dua perlawanan domestik.
Sejak menyertai Bangkok United pada musim 2024/2025, pemain berusia 23 tahun berkenaan sudah tampil dalam 17 perlawanan dengan dia juga berkesempatan mencetak empat bantuan jaringan untuk Bangkok Angel.
Pemain kebangsaan Indonesia berkenaan terkenal dengan lontaran jauh yang mampu mencetuskan gol, selain sepakan percuma Arhan juga berpotensi menggoncang gawang pemain lawan.
Diramal beraksi di posisi bek kiri, skuad Gergasi Merah perlu bekerja keras mengawal Arhan agar tidak membuka ruang kepada jentera serangan Bangkok United di Stadium MBPJ esok. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram