
PEMAIN kebangsaan Indonesia, Pratama Arhan dilepaskan secara rasmi oleh Suwon FC selepas kelab Korea Selatan berkenaan mengumumkannya menerusi media sosial mereka pada Rabu (1 Januari).
Suwon FC telah membuat rombakan besar skuad pasukannya pada 2025 dengan melepaskan 13 pemain termasuk tiga pemain import mereka iaitu Lachlan Jackson (Australia), Eljon Sota (Albania) dan Arhan.
Selepas Arhan selesai memperkuatkan Tokyo Verdy di Jepun sebelum ini, bekas bek kiri PSIS Semarang berkenaan menyertai Suwon FC pada 16 Januari 2024 dengan kontrak selama setahun.
BACA LAGI: Umarbek tinggalkan Selangor, peluang cerah buat Kinoshi contohi stail Terengganu FC
Arhan hanya beraksi sebanyak dua perlawanan sebagai pemain gantian sepanjang bersama Suwon. Pemain berusia 23 tahun itu turut merekodkan kad merah ketika beraksi menentang Jeju United pada 26 Mei lalu.
Situasi menimpa Arhan itu bukan hanya membuka pintu peluang kepada kelab Liga 1 Indonesia untuk mendapatkan khidmatnya, malah kelab Liga Super juga sebenarnya boleh mencuba nasib mereka.
Seperti maklum balas yang membanjiri media sosial, penyokong Selangor FC menunjukkan minat mereka untuk melihat Arhan menyertai Gergasi Merah bagi membantu memperkuatkan benteng pertahanan kelab.
Bukan itu sahaja, penyokong Gergasi Merah juga sudah lama mengidamkan kembali untuk melihat legasi Indonesia kembali hidup di Selangor FC seperti ketika zaman legenda kelab iaitu Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy.
Bambang boleh dianggap sebagai seorang legenda Selangor berdasarkan sumbangannya bersama kelab Lembah Klang itu. — Agensi
Ketika beraksi dengan Selangor, Bambang mencipta gandingan mantap bersama Elie sehingga mereka mendapat gelaran 'The Indonesian Connection' oleh penyokong-penyokong Gergasi Merah.
Bukan sekadar gelaran, duo tersebut turut membantu Gergasi Merah muncul juara Liga Perdana Malaysia sekali gus melayakkan Selangor untuk beraksi di Liga Super pada musim berikutnya.
Selain muncul juara Liga Perdana, duo Indonesia tersebut juga membantu Gergasi Merah menjuarai Piala Malaysia dan juga Piala FA pada musim pertama mereka di Selangor pada 2005.
Oleh itu, sejarah mempunyai pemain import Indonesia cemerlang seperti Bambang dan Elie pasti membuatkan penyokong Gergasi Merah percaya bahawa Arhan boleh menjadi watak untuk menghidupkan kembali zaman kegemilangan Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram