
SETIAP ibu bapa pasti mahukan perkembangan fizikal anak-anak berkembang dengan baik, sama ada dari segi pergerakan, postur badan ataupun kesihatan.
Namun, tanpa disedari tabiat kecil seperti cara anak duduk ketika bermain boleh memberi kesan besar terhadap tumbesaran mereka.
Salah satu posisi yang sering diamalkan kanak-kanak adalah dengan duduk kaki membentuk huruf W atau dikenali sebagai W-sitting.
Walaupun kelihatan selesa dan tidak berbahaya, tabiat itu sebenarnya boleh menjejaskan postur serta pergerakan si kecil dalam jangka masa panjang.
Pakar pendidikan awal kanak-kanak, @Aishah menerusi perkongsiannya di " target="_blank">laman sosial menjelaskan bahawa kedudukan tersebut mungkin kelihatan remeh, namun mengundang risiko jika tidak dibendung.
"Kalau nampak anak duduk dengan kaki membentuk huruf W, tolong betulkan kepada posisi bersila atau melunjurkan kaki ke depan.
"Itu body posture yang salah, bila dah terbiasa duduk macam ni, will slowly akan bagi kesan pada perkembangan pergerakan anak kita contoh macam berjalan, lompat atau berlari.
"Posisi ni juga akan buat anak kita kurang exercise dekat otot kaki, punggung dan buku lali which can lead to hips dislocation and at the same time anak boleh hilang keseimbangan badan," ujarnya.
Posisi kaki melunjur ke depan lebih selamat berbanding kedudukan menyerupai huruf W. — Gambar hiasan/Agensi
Apa itu W-sitting
Dalam posisi itu, kanak-kanak duduk dengan punggung di antara kaki, lutut menghala ke depan dan kaki terlipat keluar ke sisi.
Dari pandangan atas, bentuknya kelihatan menyerupai huruf W.
Kebanyakan kanak-kanak memilih duduk dengan posisi tersebut kerana ia memberi kestabilan semasa bermain, mengurangkan keperluan otot teras dan faktor selesa.
Namun, pakar Obstetrik dan Ginekologi Dr. Vaishalee Patil menegaskan bahawa tabiat sedemikian tidak seharusnya dibiarkan berterusan.
Menurutnya menerusi kenyataan agensi, duduk dalam posisi tersebut secara kerap boleh mengundang pelbagai risiko pada tumbesaran si kecil antaranya:
Lemah otot dan keseimbangan
Kanak-kanak kurang menggunakan otot perut dan belakang yang penting untuk kawalan postur.
Gangguan koordinasi dan postur
Mengganggu lintasan garis tengah badan, menyukarkan aktiviti seperti menulis atau berlari.
Tekanan pada sendi
Memberi beban serta tekanan luar biasa pada pinggul, lutut dan buku lali terutama pada kanak-kanak yang mempunyai masalah pada bahagian pinggul.
Kekejangan otot
Berisiko menyebabkan otot hamstring dan pinggul menjadi pendek, sekali gus menjejaskan fleksibiliti si kecil.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar ibu bapa perlu membiasakan anak dengan kedudukan lain yang lebih sihat seperti bersila, melunjurkan kaki atau duduk di atas kerusi kecil.
Jika tabiat duduk posisi W berterusan tanpa pantauan, pemeriksaan awal kanak-kanak dengan pakar fisioterapi pediatrik amatlah digalakkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram