Filem Dasim buka mata ramai pasangan, wujudnya jin perosak rumah tangga, 3 cara hindari jin Dasim


  • Cinta
  • Jumaat, 19 Sep 2025

FILEM seram terbaharu berjudul Dasim yang kini ditayangkan di Netflix bukan sahaja mencetuskan debaran buat penonton, malah turut membuka mata ramai tentang kewujudan jin pengganggu rumah tangga.

Dalam satu perkongsian di platform Threads, seorang pengguna, Ameera Zaini meluahkan keterujaannya selepas menonton filem tersebut.

“Saya bagi 8.5/10. Pasal rumah tangga pasangan suami isteri tu diganggu oleh jin Dasim. Saya pun buat kajian, rupa-rupanya memang ada jin bernama Dasim yang tugasnya merosakkan rumah tangga. 

"Dia hasut kita supaya bergaduh pasal hal-hal kecil. Tapi memang best, plot twist dia terbaik la,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Di luar negara dah popular', graduan USM abadi momen indah majlis perkahwinan, lukis secara 'live'

BACA LAGI: [VIDEO] Lukisan inai Maisarah penyeri tangan pengantin, motif flora simbolik mekarnya cinta rai hari bahagia

Jin perosak rumah tangga ini bukanlah sekadar fiksyen filem semata-mata.

Dalam Islam, jin Dasim disebut sebagai salah satu bala tentera iblis yang ditugaskan khusus untuk mengganggu keharmonian rumah tangga.

Menurut sebuah hadis riwayat Muslim, iblis menyanjung tenteranya yang berjaya memisahkan suami dan isteri, malah menganggapnya sebagai kejayaan terbesar. 

Justeru, tidak hairanlah mengapa gangguan jin ini sering dikaitkan dengan perbalahan kecil yang akhirnya boleh membawa kepada perceraian.

Penulis Abu Muhammad Rafif Triharyanto dalam bukunya Syariat Cinta Menuju Surga turut menjelaskan bahawa jin Dasim sentiasa cuba menyalakan api perselisihan, memancing emosi dan menjadikan pasangan suami isteri tidak sehaluan.

Lebih menarik, penulis Ahmad Zacky el-Syafa dalam karyanya Awas, Ada Setan di Rumah Anda! menyenaraikan dua peranan utama jin Dasim. 

Pertama, ia membuat penghuni rumah lupa memberi salam dan menyebut nama Allah SWT ketika melangkah masuk. 

Kedua, ia menghasut pasangan supaya bergaduh sehingga akhirnya bercerai.

Cara menghindari jin Dasim

Untuk melindungi rumah tangga daripada gangguan jin Dasim, beberapa amalan berikut boleh diamalkan:

1. Menjauhi syirik dan perbuatan yang dilarang

Hindari perkara yang boleh membawa kepada kesyirikan atau membuka pintu kepada gangguan makhluk halus.

2. Memperbanyakkan doa dan memohon perlindungan ALLAH SWT

Seperti firman ALLAH dalam Surah Al-A’raf ayat 200:

Dan jika engkau diganggu oleh sesuatu hasutan syaitan, maka berlindunglah kepada ALLAH. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

3. Ikhlas dalam beribadah

Hamba yang ikhlas menjadi benteng utama daripada gangguan syaitan. Surah Al-Hijr ayat 39-40 menyebut:

Iblis berkata: Wahai Tuhanku, kerana Engkau telah menyesatkanku, pasti aku akan jadikan segala yang ada di bumi indah pada pandangan mereka, dan aku akan menyesatkan mereka semua. Kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di kalangan mereka.”

Amalan seperti membaca al-Quran, berzikir, berdoa dan melakukan amal baik secara konsisten dapat mengekalkan keharmonian rumah tangga dan melindungi diri daripada gangguan makhluk halus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram