
KASIH ibu bawa ke syurga. Bagi individu yang pernah merasai kehilangan insan tersayang itu, doa dan kenangan bersama tetap menjadi penguat semangat walaupun berpuluh tahun berlalu.
Nilai itulah yang cuba disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika menziarahi mangsa tanah runtuh di Sabah baru-baru ini.
Dalam kunjungannya ke kawasan bangunan kuarters Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Sabah, Anwar bukan sahaja meninjau kesan kejadian, malah sempat bertemu dengan seorang remaja yang dikhabarkan baru kehilangan ibunya seminggu lalu.
Remaja berkenaan, anak sulung daripada tiga beradik kehilangan ibunya yang berusia 49 tahun akibat penyakit kanser.
Pertemuan penuh emosi itu lebih menyentuh hati apabila Anwar menitip beberapa pesanan tentang pentingnya doa seorang anak buat ibu yang telah meninggal dunia.
"Kalau ibu, you jangan lupa setiap hari kena doakan, because no amount doa orang lain akan sama, remember that," katanya.
Beliau kemudiannya sempat mengimbau kisah peribadi pemergian ibunya, Che Yan Abdul Hamid Hussein yang dijemput Ilahi pada tahun 2001.
Pun begitu, sehingga kini Anwar tetap tidak pernah lupa untuk menghadiahkan doa setiap hari yang menurutnya sangat diperlukan arwah di sana.
"My mother dah meninggal puluh tahun dah, four weeks and months tak lepas satu hari saya doa kat Tuhan, it means a lot, please remember that," ujarnya.
Perkongsian itu bukan sahaja memberi kekuatan kepada remaja terbabit, tetapi juga menjadi peringatan kepada orang ramai tentang betapa besarnya nilai doa seorang anak untuk ibu bapa, terutama selepas pemergian mereka.
Dalam pada itu, Anwar Ibrahim turun ke beberapa kawasan di Sabah bagi meninjau sendiri kerosakan akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa daerah di negeri terbabit.
Terkesan dengan bencana yang melanda IPG Kampus Gaya dan pangsapuri Country Heights Penampang, PMX telah mengarahkan agensi Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk menyegerakan proses baik pulih serta meneliti keperluan peruntukan tambahan.
Jelasnya, keutamaan ketika ini adalah memulihkan tempat tinggal serta barangan keperluan asas mangsa selain satu rundingan khas akan diadakan dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan sebuah kawasan baharu untuk dibangunkan semula bangunan kuaters guru tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram