
DALAM dunia moden hari ini, ramai ibu bapa semakin memberi penekanan terhadap perkembangan menyeluruh anak-anak sejak usia awal.
Bukan sahaja aspek akademik, malah kesihatan fizikal, emosi dan bakat turut diberi perhatian agar mereka membesar dengan seimbang dan berdaya saing.
Turut bersependapat dengan perkara itu, pelakon terkenal Datuk Mohammad Zalimei Ishak, 43, atau lebih mesra disapa Remy Ishak berkongsi perjalanan membesarkan anak lelakinya, Tuah Alam yang kini mula dihantar ke prasekolah dan mengikuti pelbagai kelas tambahan bagi menyokong tumbesaran sihat.
BACA LAGI: 'Ujian mereka lebih berat', wad pediatrik buka mata, didik erti syukur
Menurutnya, meskipun masih kecil, bintang filem Keluang Man itu percaya pendedahan awal kepada aktiviti berstruktur membantu perkembangan anak dari segi fizikal dan mental.
Remy dan isteri dikurniakan seorang cahaya mata lelaki diberi nama Tuah Alam.
"Saya daftar anak pre school, kelas berenang, muzik, fitness gimnasium pun saya hantar, kita dan bagi dia pressure walaupun dari kecil.
"Saya bukan pakar dalam mendidik, tapi tahu pada usia ini pendedahan apa yang anak perlukan. Isteri dan saya sibuk orangnya, siapa nak menjaga, kalau cuma hantar pada pengasuh biasa apa yang dia dapat.
"Jadi cara terbaik adalah hantar ke tempat sepatutnya iaitu pre school, biar masa yang kami tak dapat nak luangkan dengan dia digunakan ke arah yang bagus," katanya kepada Majoriti pada sidang media pelancaran Duta Rasmi Ali Cafe di Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambahnya lagi, aktiviti berenang bukan sahaja memberi anaknya keyakinan diri, malah melatih daya tahan tubuh dan kemahiran motor halus si kecil.
Akui Tuah mempamerkan banyak peningkatan sejak mendaftar ke kelas-kelas berkenaan, Remy nyata cukup gembira apabila anaknya semakin berkeyakinan tinggi dan berani untuk meneroka perkara baharu setiap hari.
"Saya pun surprise apabila tengok banyak benda dipelajari boleh menari, menyanyi, show emotion berbeza. Kalau dia dengan saya pun mungkin tak dapat ajar sebegitu.
"Memang sangat lain la, kadang-kadang banyak benda baharu juga dia boleh sebut itu semua perkataan yang dia belajar dekat sekolah," ujarnya.
Dalam pada itu, Remy turut menyatakan hasrat berehat seketika dari industri seni negara demi memberikan tumpuan kepada keperluan cahaya matanya.
Akui dirinya terlampau sibuk dan kasih sayang dengan anaknya agak terbatas, anak jati Melaka itu bersyukur kerana isteri cukup memahami dan saling membantu dalam urusan penjagaan keluarga.
"Memang saya pernah cakap nak rest sekejap dalam industri, anak tengah membesar dan perlukan saya, tak nafikan kadang memang kasih sayang saya terhadapnya agak kurang sikit.
"Tapi alhamdulillah isteri banyak membantu, ada masanya akan datang bawa anak ke set penggambaran, kita cuba yang terbaik untuk kepentingan Tuah Aalam," tambahnya.
Sekadar info, Remy mendirikan rumah tangga bersama usahawan Roszaliza Yusof pada Ogos 2021 dan pasangan itu kemudiannya dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Tuah Alam pada 2023.
Sejak bergelar bapa, Remy lebih terbuka berkongsi pengalaman membesarkan anak malah segelintir peminat menggambarkan dia sebagai seorang suami dan bapa penyayang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram