
JENAMA minuman sarang burung walet popular, FG Walet Bird Nest, sekali lagi mencatat kejayaan membanggakan apabila diumumkan sebagai penerima Products Excellence Award di MIHAS Awards 2025.
Pelakon dan usahawan terkenal, Datin Fouziah Gous yang juga pengasas bersama syarikat Zhafou Global Sdn. Bhd., itu meluahkan rasa syukur atas pengiktirafan berprestij tersebut.
BACA LAGI: Ibu bapa mesti galak anak sertai kokurikulum, markah penentu ke sekolah berasrama penuh Tingkatan 1
"Satu pencapaian bermakna buat kami di Zhafou Global Sdn. Bhd., apabila berjaya merangkul Products Excellence Award di MIHAS Awards 2025.
"Terima kasih atas doa, sokongan dan kepercayaan semua. Kejayaan ini menjadi inspirasi untuk kami terus melangkah lebih jauh, membawa produk tempatan ke persada antarabangsa," katanya menerusi perkongsian di media sosial.
Produk kesihatan premium
FG Walet Bird Nest yang diusahakan bersama suami, Datuk Md Zhafran Md Yusof, mula diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu dan mendapat sambutan tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.
Produk itu menampilkan minuman kesihatan berasaskan sarang burung walet asli yang terkenal dengan khasiat untuk kecantikan, tenaga dan sistem imun badan.
Selain menembusi pasaran Malaysia, FG Walet turut dipasarkan ke negara luar, sejajar dengan matlamat Fouziah untuk mengangkat produk kesihatan tempatan ke tahap global.
Sebelum meraih pengiktirafan di MIHAS 2025, FG Walet Bird Nest sebelum ini sudah beberapa kali mencatat rekod cemerlang.
Jenama itu pernah menerima Anugerah Super Health Brand yang mengiktirafnya sebagai salah satu produk kesihatan paling dipercayai di rantau Asia.
Lebih membanggakan, ia juga menjadi produk minuman sarang burung walet pertama di Malaysia yang memperoleh pensijilan Halal JAKIM, di samping mematuhi piawaian antarabangsa termasuk Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).
Popularitinya juga semakin berkembang apabila menjadi pilihan bukan sahaja di kalangan pengguna tempatan, tetapi juga selebriti serta pembeli dari pasaran Asia Tenggara.
Latar belakang
Fouziah dan suami mendirikan rumah tangga pada 2013 dan kini dikurniakan dua cahaya mata.
Sepanjang perkahwinan, pasangan tersebut bukan sahaja dikenali sebagai figura selebriti dan ahli perniagaan, malah sering menjadi inspirasi kerana berjaya membangunkan empayar perniagaan bersama-sama.
Dengan kejayaan terbaharu dikecapi, FG Walet Bird Nest dilihat terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri halal dan kesihatan, seiring aspirasi Malaysia untuk menjadi hab produk halal bertaraf dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram