Ganjaran RM11,000 buat pasangan berjaya hamil lepas bercuti di Hotel Arche, galak kadar kelahiran


  • Bonda
  • Isnin, 22 Sep 2025

Syarikat hartanah Arche menjalankan program Arche Generations bagi menggalakkan kadar kelahiran di Poland.

POLAND kini berdepan krisis demografi yang semakin meruncing apabila kadar kelahiran negara itu terus merosot sejak lebih 12 tahun lalu.

Situasi tersebut bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan penduduk, malah menimbulkan kebimbangan besar terhadap masa depan tenaga kerja dan kestabilan ekonomi negara berkenaan.

Dalam usaha menangani masalah berbangkit, sebuah kumpulan hartanah terkemuka, Arche tampil inisiatif luar biasa apabila menawarkan ganjaran kewangan kepada pasangan yang berjaya hamil selepas bercuti di rangkaian hotel milik mereka.

BACA LAGI: Produk sarang walet Fouziah Gous, suami terus 'terbang' tinggi ke persada antarabangsa, terima pengiktirafan di MIHAS Awards 2025

BACA LAGI: 'Hormati budaya, jangan takut ilmu', Dr. Amalina tegaskan bertangas punca luka bersalin lambat sembuh

Kumpulan yang memiliki lebih 23 buah hotel dan beberapa bangunan di seluruh Poland itu melancarkan program dinamakan Arche Generations.

Menerusi inisiatif berkenaan, pasangan yang disahkan hamil usai menginap di mana-mana rangkaian hotel mereka akan diberikan ganjaran istimewa termasuklah bonus bernilai 10,000 zloty (RM11,000) sekiranya membeli rumah daripada syarikat berkenaan.

Wanita yang hamil di salah sebuah hotel penginapan rangkaian syarikat Arche bakal diberikan ganjaran istimewa. — Agensi

Program tersebut terbuka kepada pasangan lelaki dan wanita, dengan syarat sekurang-kurangnya salah seorang daripadanya merupakan warganegara Poland dan menetap di negara itu.

Populasi berkurang

Setakat Jun 2025, populasi Poland direkodkan sekitar 37.4 juta orang, iaitu kurang sejuta berbanding 2015 menurut data Pejabat Statistik Nasional (GUS).

Kebimbangan terhadap penurunan kadar kelahiran bukan sahaja memberi implikasi kepada struktur sosial, malah turut menjejaskan pertumbuhan ekonomi jangka panjang serta pasaran buruh.

Dengan pelaksanaan program Arche Generations, syarikat itu berharap dapat menyumbang secara kecil namun signifikan dalam menggalakkan pertambahan keluarga sekali gus membantu Poland menghadapi cabaran demografi yang semakin mencabar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram