Ibu bapa mesti galak anak sertai kokurikulum, markah penentu ke sekolah berasrama penuh Tingkatan 1


  • Bonda
  • Ahad, 21 Sep 2025

Aktiviti kokurikulum sekolah memainkan peranan penting terhadap pemarkahan dan kelayakan murid ke sekolah menengah. — Gambar hiasan/Janaan AI

KEBANYAKAN ibu bapa hari ini lebih memberi tumpuan terhadap pencapaian akademik anak-anak berbanding penglibatan dalam kokurikulum.

Hakikatnya, kedua-duanya saling melengkapi dalam sistem pendidikan negara, malah markah kokurikulum turut diambil kira sebagai syarat penting ketika murid membuat permohonan ke peringkat menengah, terutamanya sekolah berasrama penuh.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) sudah mula direkodkan seawal murid berada di tahun empat.

BACA LAGI: 'Hormati budaya, jangan takut ilmu', Dr. Amalina tegaskan bertangas punca luka bersalin lambat sembuh

BACA LAGI: Tak salah amal budaya Hadramaut cukur 40 hari, sunah hari ke-7 dan aqiqah tetap utama — Mufti Kelantan

Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada pemarkahan kokurikulum pelajar yang perlu dititkberatkan ibu bapa khususnya anak di peringkat sekolah rendah.

Justeru, ibu bapa yang mempunyai anak di tahun tiga disarankan bersiap sedia kerana bermula tahun empat, segala aktiviti kokurikulum akan direkod secara rasmi dan memberi kesan kepada penilaian anak-anak menjelang ke tingkatan satu kelak.

1. Kehadiran GERKO penentu markah tertinggi

Markah paling besar dalam PAJSK datang daripada kehadiran aktiviti Gerak Kerja Kokurikulum (GERKO).

Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan untuk memastikan anak hadir setiap kali perjumpaan kelab, persatuan, sukan atau badan beruniform.

Alasan seperti menghadiri kenduri atau percutian keluarga boleh dielakkan kerana jadual aktiviti biasanya sudah ditetapkan sejak awal tahun.

2. Penyertaan dan wakil sekolah

Tidak semua yang mewakili sekolah akan mendapat markah tinggi, kerana ia bergantung kepada tahap pertandingan disertai.

Sekiranya anak tidak berpeluang mewakili sekolah, ibu bapa boleh menggalakkan mereka menyertai pertandingan atau program luar yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Penting untuk menyemak terlebih dahulu sama ada program itu mendapat pengiktirafan rasmi kerana sijil daripada penganjur yang tidak berdaftar akan ditolak dalam penilaian.

3. Jawatan dalam kelab, sukan atau badan beruniform

Memegang jawatan seperti pengerusi, setiausaha atau bendahari dalam persatuan sekolah juga menyumbang markah yang tinggi.

Ibu bapa boleh melatih anak agar berani mencalonkan diri ketika sesi pemilihan jawatan dengan walaupun hanya memegang satu jawatan, ia tetap memberi kelebihan dalam rekod PAJSK.

4. Program NILAM

Program galakan membaca Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) sering kurang disertai murid, sedangkan ia memberi markah tambahan yang signifikan.

Sokongan ibu bapa sangat penting untuk mendorong anak-anak menyertai aktiviti membaca itu agar rekod kokurikulum mereka lebih kukuh.

5. Sumbangan dan pengiktirafan di sekolah

Selain itu, jawatan seperti pengawas, ketua kelas atau pustakawan turut dikira dalam penilaian.

Anugerah khas misalnya Tokoh Sahsiah atau Olahragawan juga memberikan markah tambahan dan sangat penting untuk memastikan setiap sumbangan murid mempunyai bukti rasmi seperti sijil penyertaan.

6. Aktiviti khidmat masyarakat

Penyertaan dalam aktiviti sukarelawan seperti gotong-royong, program kebajikan, kem kerohanian atau ceramah juga dikira sebagai markah kokurikulum.

Murid hanya perlu membuat laporan ringkas untuk diserahkan kepada guru kelas atau Penolong Kanan Kokurikulum.

Justeru, ibu bapa seharusnya tidak terlalu tertumpu kepada pencapaian akademik anak semata-mata kerana aktiviti kokurikulum juga memainkan peranan besar terhadap kejayaan mereka kelak.

Banyak aktiviti kokurikulum kini boleh disertai secara percuma, malah sebahagiannya dijalankan secara dalam talian di bawah seliaan KPM.

Apa yang penting ialah kesedaran dan usaha berterusan ibu bapa dalam memantau penglibatan anak-anak sejak di sekolah rendah agar mereka lebih bersedia melangkah ke alam persekolahan menengah dengan rekod kokurikulum yang kukuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram