
SUASANA hiba menyelubungi sebuah keluarga apabila seorang wanita Nuraderrah Hasnul Hafidzan, 31, disahkan meninggal dunia beberapa jam selepas melahirkan bayi perempuan yang dikatakan tidak bernyawa pada 19 Ogos lalu.
Berdasarkan perkongsian di hantaran Threads milik kakak kepada arwah, bayi diberi nama Nyra disahkan meninggal dunia dalam kandungan pada usia tujuh bulan pukul 4.40 pagi.
Beliau berkata, ramai menyangka Nyra lahir pramatang sebelum menghembuskan nafas terakhir, namun hakikatnya bayi itu sudah meninggal dunia di dalam rahim (stillborn).
BACA LAGI: Awas risiko kematian ketika bersalin, 5 komplikasi kesihatan sering diabai ibu hamil
"Pukul 3 petang, ibunya pula yang menyusul," tulisnya menerusi akaun attiliahasnu pada Sabtu.
Difahamkan, arwah yang bekerja sebagai pegawai tadbir di sebuah universiti awam itu sebelum ini tidak menghadapi masalah kesihatan serius sepanjang kehamilan.
Pada 15 Ogos, beliau menjalani pemeriksaan di sebuah hospital pakar swasta dan doktor mengesahkan keadaan dirinya serta bayi berada dalam keadaan baik.
Tambah @attiliahasnu, sehari selepas itu, Nuraderrah yang memiliki seorang anak lelaki bernama Noah sempat bermain pickleball bersama keluarga sebelum mengadu kurang sihat pada 17 Ogos.
Keesokan harinya, beliau mengalami demam dan didiagnosis menghidap jangkitan saluran kencing (UTI), lalu dirujuk ke sebuah hospital wanita dan kanak-kanak di Kajang, Selangor.
"Malam itu, keadaan Aderrah dan Nyra masih stabil. Pada 19 Ogos 2025 (Selasa), doktor maklumkan Nyra dah meninggal dunia di dalam perut.
"Sekitar pukul 7.30 hingga 8 pagi, Aderrah mengalami kontraksi dan bersalin secara normal," jelasnya.
Bercerita lanjut mengenai keadaan Nuraderrah, beliau berkata, adiknya mengalami pendarahan serius selepas bersalin secara normal.
Jelas @attiliahasnu, keadaan kesihatannya merosot dengan cepat sehingga semua organ gagal berfungsi sebelum disahkan meninggal dunia di unit rawatan rapi (ICU) pada hari sama.
“Dua kali jantung Aderrah berhenti depan mata kami. Trauma itu tak akan kami lupakan.
"Hati berbelah bahagi, nak kena kebumikan Nyra atau teman Aderrah di ICU buat kali terakhir,” katanya.
Ujarnya lagi, meskipun masih menunggu keputusan penuh bedah siasat, mereka sekeluarga reda dengan kehilangan berganda itu.
“Jangan risau dik, kami akan jaga Noah di sini. Bermainlah di sana dengan Nyra.
"Bersalin di dunia, berpantang di sana,” tulisnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram