
TIDAK perlu terbang jauh ke Sabah atau Sarawak untuk menikmati keunikan makanan dan produk tradisi Borneo.
Di Seri Kembangan, Selangor, Pasar Borneo menjadi tumpuan warga tempatan untuk merasai sendiri pelbagai sajian asli dari tanah kelahiran masyarakat di Malaysia Timur.
Bermula sejak 2016, pasar yang dibuka setiap Sabtu itu menawarkan aneka sajian seperti kompia, penyaram, laksa Sarawak, mi kolok, ayam pansuh, ngiucap sehinggalah hasil hutan seperti umbut tepus yang jarang ditemui di Semenanjung.
BACA LAGI: Pasar Borneo 'tunai' impian usahawan Sabah, Sarawak kembangkan perniagaan di Semenanjung
BACA LAGI:10 bahan unik Sabah dan Sarawak termasuk latok dan tuhau serta cara penggunaannya
Pasar Borneo menjadi lokasi pertemuan komuniti dari Sabah dan Sarawak yang menetap di Lembah Klang.
Bermula dengan 10 peniaga, pasar itu kini telah mempunyai lebih daripada 50 peniaga yang menjual pelbagai jenis produk makanan dan kraftangan dari kedua-dua negeri tersebut.
Jika dahulu pelanggan majoritinya terdiri daripada warga Sabah dan Sarawak yang merindui makanan kampung halaman, kini masyarakat Semenanjung juga semakin mengenali Pasar Borneo.
Berkongsi pengalaman berniaga di pasar berkenaan, Malu Anak Kelabu, 34, berkata, beliau kini membantu seorang rakan dan keluarganya mengusahakan perniagaan makanan yang beroperasi sejak lebih lima tahun lalu.
Menyediakan hidangan tradisi masyarakat Sarawak, antara produk yang dijual mereka termasuk kompia, penyaram, karipap dan umbut tepus.
“Makanan seperi kompia memang terkenal di Sibu, di sini kami buat secara homemade.
"Penyaram pula paling laris, selalu cepat habis kerana menggunakan gula apong khas dari Sarawak,” katanya kepada Majoriti.
Malu (kiri) membantu keluarga rakannya mengusahakan perniagaan makanan tradisi Sarawak.
Malu yang berasal dari kaum iban memberitahu, umbut tepus atau juga dikenali sebagai tuhau turut menarik perhatian pembeli kerana khasiatnya yang dikatakan membantu kesihatan darah dan mengurangkan tekanan darah tinggi.
Ujarnya, bahan itu diperoleh daripada pembekal tetap masyarakat Orang Asli.
Sepanjang berniaga, Mula yang sudah 14 tahun menetap di ibu kota tidak menafikan cabaran pengunjung berkurangan terutama pada musim hujan.
"Namun, syukur sebab kini bukan sahaja pelanggan dari Sabah dan Sarawak, malah ramai juga masyarakat Semenanjung mula mengenali dan menghargai makanan tradisi Borneo," jelas pekerja swasta itu.
Ulat sagu
Pasar Borneo turut menarik perhatian pengunjung dengan jualan ulat sagu, sajian eksotik yang popular di Sabah dan Sarawak.
Kongsi Phoebe Amber Pereir, 18, yang membantu keluarganya berniaga, ulat sagu didatangkan khas dari Sabah dengan penghantaran terus menggunakan kapal terbang.
Tambahnya, sekali penghantaran boleh mencecah sehingga lima kilogram, merangkumi kira-kira 600 hingga 800 ekor ulat sagu.
Ujar Phoebe (kanan), bekalan ulat sagu tidak sentiasa ada kerana ia bergantung pada musim.
Akui gadis berusia 18 tahun itu, keunikan rasa makanan eksotik yang tinggi protein dan vitamin itu sering mencetuskan reaksi berbeza dalam kalangan pelanggan.
“Kalau orang Sabah dan Sarawak, mereka biasa makan mentah, tapi pelanggan dari Semenanjung lebih suka goreng dan makan bersama pucuk ubi atau dijadikan umpan memancing.
"Rasanya unik ada yang kata macam kulit ayam, keju dan ikan,” ujarnya yang berniaga sejak usia lapan tahun.
Beliau tidak menafikan, ulat sagu menimbulkan rasa pelik dalam kalangan sebahagian pengunjung dari Semenanjung.
“Orang Semenanjung ada yang tertanya-tanya, apa ini? Kenapa makan ulat? Namun bila diterangkan, ramai yang faham dan ada juga yang berani mencuba.
"Sambutan juga sangat memberangsangkan. Biasanya kita boleh habis jual dalam tempoh kira-kira tiga jam,” ujarnya yang berbangsa Kadazan Dusun.
Jelas penuntut institusi pengajian tinggi swasta dalam bidang pemasaran digital itu lagi, bekalan ulat sagu tidak sentiasa ada kerana ia bergantung pada musim.
Kata beliau, lazimnya hasil tuaian lebih mudah diperoleh sekitar September, Jun atau Mei iaitu musim perayaan Kaamatan di Sabah.
"Ulat yang masih kecil perlu menunggu beberapa bulan untuk membesar sebelum boleh dituai dari batang pokok sagu," bicaranya yang turut mengambil tempahan secara dalam talian.
Bagi peniaga itu, Pasar Borneo bukan sekadar tempat mencari rezeki tetapi juga wadah memperkenalkan budaya dan makanan tradisi Borneo kepada masyarakat Semenanjung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram