
MESKI tidak membesar dari latar belakang keluarga yang menjalankan bisnes, jiwa keusahawanan Nuraini Sedek sudah sebati dengannya sedari kecil.
Langkahnya bermula dengan menjual hasil kraftangan ketika berusia 11 tahun.
Kini bersama pasukannya, wanita berusia 30 tahun itu berjaya membantu lebih 4,000 pengasas perniagaan termasuk jenama-jenama terkenal, menerusi platform Business Synergy.
BACA LAGI: [VIDEO] Guru peluk murid baru kehilangan bapa, kongsi momen sebak ingat pengalaman sendiri
BACA LAGI: [VIDEO] Guru peluk murid baru kehilangan bapa, kongsi momen sebak ingat pengalaman sendiri
Berperanan sebagai pengarah pembangunan perniagaan di syarikat berkenaan, Nuraini berkata, entiti itu bertindak sebagai konsultan untuk membantu perniagaan berdasarkan masalah khusus dihadapi usahawan.
Menurutnya, sehingga kini, mereka telah membantu pengasas perniagaan menguruskan aliran bernilai kira-kira RM40 juta.
Bercerita perjalanan awalnya, anak jati Selangor itu memberitahu, selepas menamatkan sekolah, beliau pernah mencuba jurusan perubatan di sebuah universiti swasta, namun mengambil keputusan untuk berhenti selepas mendapati bidang itu bukan minatnya.
“Saya bermula semula dari kosong. Gaji pertama hanya RM890 ketika bekerja di sebuah kedai buku sekitar 2016.
"Kemudian dengan gaji kecil itu saya bayar sendiri pengajian ijazah dalam bidang pengurusan,” katanya kepada Majoriti.
Ayam halal
Pada 2019, pemilik nama lengkap Nuraini Maulat Ahmat Sedek itu bekerja di sebuah syarikat ayam halal yang membawanya meneroka operasi dari kilang hingga ke stokis seluruh negara.
Kemudian pada 2021, beliau menceburi perniagaan sendiri bersama rakan kongsi dalam bidang pertanian dengan jualan mencecah hampir RM2 juta setahun.
Nuraini pernah menceburi perniagaan dalam bidang pertanian sekitar 2022.
“Saya minat pertanian dan bagi saya, makanan adalah tanggungjawab kerana ia membentuk peribadi dan keluarga.
"Konsep halal bukan sekadar sijil, tapi merangkumi kebersihan, layanan pelanggan dan cara urus niaga,” ujarnya yang menganggap bisnes sebagai salah satu ibadah.
Selepas menjual pegangan dalam syarikat pertanian itu pada 2022, Nuraini bertemu usahawan yang juga mentor perniagaan, Aiman Hakim ketika menyertai Connected, platform acara perniagaan yang kini menjadi sebahagian daripada operasi Business Synergy.
“Saya jumpa Aiman Hakim dan berkongsi visi serta hala tuju yang saya impikan.
"Beliau kata, ‘awak adalah orang yang kami cari’,” ceritanya.
Roadmap
Menyedari kebanyakan pemilik perniagaan masih kurang mahir menggunakan alatan asas seperti Excel, mereka tampil dengan inisiatif membangunkan sistem Roadmap, platform membantu usahawan merancang strategi, memantau pelaksanaan dan menganalisis prestasi perniagaan secara lebih teratur.
Menurut Pengasas Bersama Roadmap itu, sembilan daripada 10 pemilik perniagaan tiada perancangan bisnes yang jelas.
Ujar Pengasas Bersama Roadmap itu, sembilan daripada 10 pemilik perniagaan tiada perancangan bisnes yang jelas.
“Ramai usahawan ada idea yang bagus, tetapi tanpa perancangan yang jelas, idea itu hilang begitu sahaja.
"Sebab itulah kami wujudkan Roadmap sebagai sistem yang boleh dijadikan panduan strategik,” katanya menambah, sehingga kini, lebih 700 usahawan sudah menggunakan sistem Roadmap.
Selain di Malaysia, maklum Nuraini, sistem itu dalam perancangan untuk dipasarkan di Indonesia melalui kerjasama dengan Kementerian Usaha Mikro Kecil dan Menengah (UMKM) dan Kedutaan Malaysia.
“Matlamat kami bukan sekadar menjual sistem, tetapi memahami keperluan sebenar pasaran dan memberi sokongan yang disesuaikan kepada setiap pemilik perniagaan,” jelasnya yang kini dalam perancangan membawa satu jenama kartun popular ke Asia Tengah.
Nuraini bersama pasukannya berjaya membantu lebih 4,000 pengasas perniagaan menerusi platform Business Synergy.
Pilih circle betul
Namun tidak semuanya indah bagi anak bongsu daripada lima beradik itu.
Mengimbas kembali detik sukar, beliau pernah berdepan situasi getir sehingga menyebabkan wang simpanan habis sepenuhnya dan terpaksa meminjam wang rakan untuk kelangsungan hidup.
“Waktu itu saya langsung tiada duit, terpaksa pinjam RM100 daripada kawan semata-mata untuk sertai satu sesi networking.
“Kawan saya beritahu, kalau nak bangkit semula, carilah circle (rangkaian sokongan) yang betul kerana ia sangat penting dalam perniagaan,” ujarnya.
Namun, pengalaman itu membuka matanya bahawa sistem dan struktur organisasi yang longgar boleh mengundang kerugian.
Kini, beliau lebih jelas bahawa pemilihan rakan kongsi yang tepat dan saling melengkapi adalah kunci kelangsungan sesebuah perniagaan.
“Apabila buat bisnes, jangan buat bersendirian. Perlu ada sistem sokongan dan circle yang betul.
“Zaman sekarang bukan lagi masa untuk bersaing di bawah. Sebaliknya, kolaborasi yang akan bawa kita lebih jauh,” tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram