Ramai kanak-kanak obesiti hidap diabetes 'orang dewasa', perhati tanda-tanda ini


  • Bonda
  • Selasa, 12 Ogos 2025

Gaya hidup tidak sihat mendorong peningkatan kes diabetes jenis dua dalam kalangan kanak-kanak.

PADA usia 12 tahun, Adam gemar bersarapan roti bakar disalut susu pekat dan taburan coklat.

Di sekolah pula, dia kerap membeli nasi ayam goreng untuk makan tengah hari dan minuman manis semasa perjalanan pulang.

Waktu petang masa dihabiskan di depan telefon pintar sambil mengunyah biskut coklat.

BACA LAGI: Skil bukan setakat hias ruang, pilih warna langsir, berikut panduan untuk jadi pereka dalaman profesional

BACA LAGI: [VIDEO] Matcha, manfaat atau risiko untuk kesihatan haid wanita?

Namun, kebelakangan ini ibu bapanya mula perasan Adam cepat penat, kerap bangun malam untuk membuang air kecil dan sering meminta air.

Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan Adam menghidap diabetes jenis 2.

Ia merupakan sejenis penyakit (diabetes) yang lazimnya dialami golongan dewasa.

Menurut Malaysian Journal of Nutrition (2022), hampir satu daripada tiga kanak-kanak di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula melaporkan seorang daripada lima kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 19 tahun di seluruh dunia mengalami masalah berat badan berlebihan, dengan lapan peratus dikategorikan sebagai obes.

Pakar Perunding Pediatrik dan Endokrinologi Pediatrik, Dr. Jeanne Wong Sze Lyn berkata, peningkatan kadar obesiti ini turut menyumbang kepada kes diabetes jenis dua di usia muda.

"Faktor utama termasuk pemakanan tidak sihat, gaya hidup sedentari (tidak bersenam) dan rutin tidur tidak teratur.

"Semua ini boleh menyebabkan rintangan insulin yang akhirnya membawa kepada diabetes jenis 2," jelasnya.

Dr. Jeanne turut menjelaskan, obesiti terutamanya lemak berlebihan pada bahagian perut menjadi punca tubuh tidak memberi tindak balas baik terhadap insulin.

"Pada mulanya, pankreas cuba menghasilkan lebih banyak insulin untuk mengatasi rintangan ini, tetapi lama-kelamaan ia letih dan paras gula darah meningkat.

"Kanak-kanak dengan diabetes jenis 2 bukan sahaja berisiko komplikasi jangka panjang seperti kerosakan saraf, mata, buah pinggang, penyakit jantung dan strok, malah juga boleh mengalami keadaan akut berbahaya seperti diabetic ketoacidosis (DKA) atau hyperosmolar hyperglycaemic state (HHS) yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera," katanya.

Antara tanda-tanda awal perlu diberi perhatian:

  • Kerap haus dan kencing.
  • Cepat letih walaupun cukup tidur.
  • Perubahan berat badan mendadak.
  • Tompokan kulit gelap di leher, ketiak atau siku (acanthosis nigricans).
  • Luka lambat sembuh atau kerap dijangkiti penyakit.
  • Perubahan emosi seperti mudah marah.

Walaupun diabetes jenis 2 boleh dirawat, Dr. Jeanne menegaskan pencegahan adalah langkah terbaik.

Beliau menyarankan beberapa perubahan kecil tetapi konsisten seperti:

Kurangkan minuman bergula secara berperingkat dan jadikan air kosong sebagai pilihan utama.

Tukar cara masakan, contohnya ayam panggang berbanding goreng, beras perang menggantikan beras putih dan tambah sayur dalam masakan.

Galakkan aktiviti fizikal menyeronokkan seperti berbasikal, bermain congkak atau galah panjang.

Hadkan masa skrin dan wujudkan zon bebas gajet ketika makan atau sebelum tidur.

Libatkan seluruh keluarga dalam amalan gaya hidup sihat supaya anak-anak lebih mudah mengikut.

"Jangan panik atau menyalahkan diri jika anak mengalami berat badan berlebihan atau pradiabetes.

"Paling penting ialah langkah yang kita ambil hari ini. Mulakan kecil-kecilan, lakukan secara konsisten dan kekalkan suasana positif," katanya.

Dr. Jeanne mengingatkan, ibu bapa yang bimbang dengan berat badan atau risiko diabetes pada anak harus mendapatkan pemeriksaan awal di klinik atau berjumpa pakar endokrinologi pediatrik.

"Intervensi awal adalah pencegahan terbaik," tegasnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram