Titik mulanya dengan panjat tebing, Normalia buktikan wanita mampu kuasai kerja ekstrem di ketinggian


  • Sukses
  • Ahad, 14 Sep 2025

Normalia berpendapat bahawa wanita perlu berani keluar daripada zon selesa. — Instagram/normalia_sidek

MINAT terhadap aktiviti lasak sejak zaman sekolah mendorong Normalia Sidek menongkah arus apabila memilih kerjaya yang jarang diceburi wanita.

Anak jati Nilai, Negeri Sembilan itu sebelum ini tidak mempunyai latar belakang teknikal, malah pernah juga bekerja di butik fesyen dan sebagai anggota polis.

Namun, kecenderungannya terhadap aktiviti memanjat, mendaki gunung dan sukan lasak membuka jalan untuk menceburi bidang akses tali hampir sedekad lalu.

BACA LAGI: Menara Eiffel bakal ukir nama 72 tokoh wanita berjasa dalam bidang sains, teknologi

BACA LAGI: 'Bukan sekadar penghormatan biasa, tapi satu amanah ALLAH SWT', Angeline Tan tak jemu kongsi ilmu bersama rakan bukan Islam

“Dari kecil memang aktif dalam sukan. Apabila sudah bekerja dan ada pendapatan sendiri, saya lebih bebas mencuba perkara yang mencabar.

"Minat panjat tebing akhirnya membawa saya berkhidmat sebagai juruteknik akses tali,” katanya kepada Majoriti.

Sejak itu, wanita berusia 33 tahun tersebut terlibat dalam pelbagai projek mencabar termasuk kerja pemeriksaan, pembaikan, pembersihan, mengecat dan menukar cermin bangunan tinggi.

Selain memanjat bangunan pencakar langit, Normalia juga terlibat dalam bidang penyelenggaraan paip di platform pelantar minyak di pesisir pantai (onshore) dan laut dalam (offshore) yang memerlukan dirinya berjauhan dengan keluarga dalam tempoh panjang.

Beliau yang mesra disapa Maya kini bertugas di Sarawak manakala suami, Abdul Hazim Abdul Rashid, juga bekerja dalam bidang sama menetap di Kuala Lumpur bersama anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun.

Sokongan keluarga

Mengulas mengenai penerimaan keluarga, anak kelima daripada enam beradik itu berkata, keluarganya tidak pernah menghalang meskipun bidang diceburi berisiko tinggi.

“Mereka tahu saya lasak sejak kecil. Asalkan jaga keselamatan, mereka sokong.

"Walaupun tiada ahli keluarga lain dalam bidang ini, mereka tetap percaya dengan pilihan saya,” ujar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia itu.

Normalia (kanan) mendapat sokongan penuh daripada suaminya yang juga bekerja dalam bidang sama. — Instagram/normalia_sidek 

Bercerita mengenai tugasan melibatkan bangunan pencakar langit, bagi Normalia, kerja tersebut memerlukan disiplin tinggi dan keberanian mengawal perasaan gayat serta berdepan cabaran cuaca, khususnya angin kuat.

Ketika dirinya tular saat dirakam sedang bertugas di puncak Menara Berkembar Petronas (KLCC) pada November 2023, Normalia telah memberi inspirasi kepada ramai wanita.

Menurutnya, perasaan takut berada di ketinggian ekstrem adalah sesuatu yang normal, namun ia perlu dikawal agar tidak menjejaskan tumpuan ketika bertugas.

“Kalau kata langsung tak gayat, itu mustahil. Rasa takut penting supaya kita lebih berhati-hati.

"Bezanya, kami dilatih untuk kawal rasa itu dan menyeimbangkannya dengan tugas yang perlu diselesaikan. Yang penting, ikut prosedur keselamatan, percaya sistem dan yakin pada pasukan,” katanya yang digelar .

Ujar Maya (kanan) semakin ramai golongan wanita memilih untuk menceburi kerjaya lasak. — Instagram/normalia_sidek 

Ditanya antara cabaran terbesar, cerita 'Iron Lady' itu lagi, faktor cuaca dan teknikal begitu mempengaruhi gerak-geri beliau.

“Bila di atas, angin kuat dan faktor cuaca boleh jadi penghalang. Kalau panik, memang sukar nak fokus.

"Namun apabila berjaya atasi rasa takut, kita akan rasa kekuatan luar biasa dan lebih yakin dengan kerja yang dibuat,” tegasnya yang juga gemar mendaki gunung.

Mengimbau antara tugasan paling mencabar, Maya menyifatkan kerja pemasangan bendera gergasi di bangunan Kompleks Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, Kuala Lumpur sebagai pengalaman tidak boleh dilupakan.

“Bayangkan bendera seberat hampir 300 kilogram perlu diangkat dan dipasang betul-betul di bangunan tinggi.

"Kalau silap pasang, bendera boleh koyak, malah angin berpusing boleh melipatkan kain bersama badan kita sekali. Itu bahaya dan perlu kawalan penuh," ceritanya.

Normalia (duduk) bersama anak dan suaminya. — Instagram/normalia_sidek 

Wanita dalam akses tali

Jika dahulu jumlah wanita yang terlibat dalam bidang kerja akses tali boleh dibilang dengan jari, kini situasinya jauh berbeza apabila semakin ramai memilih untuk menceburi kerjaya lasak itu.

Akui Normalia, pada awal penglibatannya kira-kira sembilan tahun lalu, tidak sampai 10 wanita dapat dilihat melakukan kerja-kerja menggunakan teknik akses tali seperti mencuci bangunan pencakar langit, mengecat atau melakukan pemasangan struktur di kawasan tinggi.

“Waktu awal-awal dulu, memang jarang nampak wanita buat kerja ini.

"Namun sekarang makin ramai kerana kesedaran tentang bidang ini sudah meluas dan kerajaan juga banyak memberi peluang melalui tawaran lesen percuma untuk kursus akses tali,” katanya.

Bagaimanapun tambahnya, meskipun lebih ramai wanita sudah mempunyai lesen sah, sebahagian besar hanya mengambil kesempatan itu untuk menimba ilmu dan pengetahuan, bukan benar-benar turun bekerja di lapangan.

“Kalau dulu hanya sekitar 10 peratus wanita terbabit secara langsung, kini peratusannya boleh dikatakan meningkat kepada hampir 50 peratus.

"Cuma, tidak semua yang ada lesen betul-betul bekerja di atas tali, sebahagian besar hanya untuk pengetahuan,” jelasnya.

Normalia berhasrat menjadi tenaga pengajar dalam bidang akses tali. — Instagram/normalia_sidek 

Bebas stereotaip

Mengulas persepsi bahawa kerja sebegini hanya untuk lelaki, Normalia berpendapat wanita perlu berani keluar daripada zon selesa.

Jelasnya, dalam bidang itu, lelaki dan perempuan sama sahaja, tiada beza dari segi beban kerja.

"Wanita perlu yakin dengan kemampuan sendiri, jangan terlalu terikat dengan pandangan orang.

"Bagi saya, merdeka itu bebas memilih jalan hidup kita,” tuturnya yang berhasrat menjadi tenaga pengajar dalam bidang itu.

Walaupun sibuk dengan kerjaya, Normalia tetap mengekalkan gaya hidup lasak dengan membawa anak kecilnya menyertai aktiviti luar seperti berkhemah dan mendaki bukit.

“Bagi saya, penting untuk dedahkan anak dengan aktiviti luar sejak kecil.

"Sama ada dia mahu ikut jejak langkah saya atau tidak, saya akan terus menyokong minatnya,” bicaranya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram