Wanita maut lepas bersalin akibat alami pendarahan kerana pakar 'pergi minum', keluarga terima pampasan RM5.9 juta


Norliza berkata, semasa prosiding, mahkamah diberitahu selepas melahirkan anak keduanya, M Punita mula mengalami pendarahan teruk selepas plasenta dikeluarkan. — Gambar hiasan

TINDAKAN dua pakar obstetrik meninggalkan pesakit hanya untuk minum sehingga menyebabkan wanita tersebut mengalami pendarahan kritikal sebelum meninggal dunia membawa padah selepas Mahkamah Tinggi di Petaling Jaya, Selangor memerintahkan pusat bersalin itu membayar pampasan hampir RM6 juta kepada keluarga si mati.

Hakim Norliza Othman menyampaikan keputusan itu selepas mendapati Dr M Shanmugam, Dr A Ravi, dan jururawat Izaniey Nataliah Jukimin, Nur Aida Mat Isa, serta Nessy Yasah bersalah atas kesalahan kecuaian perubatan, yang mengakibatkan kematian pesakit semasa di bawah jagaan mereka.

Dalam penghakiman dimuat naik ke sistem kehakiman pada Khamis seperti dilaporkan media tempatan, Norliza berkata, semasa prosiding, mahkamah diberitahu selepas melahirkan anak keduanya, M Punita mula mengalami pendarahan teruk selepas plasenta dikeluarkan.

BACA LAGI: Masa kecil sanggup jalan jauh ke perpustakaan di Kelantan, Abdul Halim tak sangka 'abdi diri' beri kehidupan kedua buat buku terpakai

BACA LAGI: 'Kami macam ibu bapa mereka', warden Rumah Aman belajar selami kehidupan kanak-kanak tiada keluarga

Tambahnya, jaminan diberikan bahawa pesakit dalam keadaan stabil, berikutan kedua-dua doktor itu meninggalkan bilik bersalin dan meletakkan si mati di bawah jagaan tiga jururawat tidak berdaftar.

Hakim menyatakan bahawa walaupun jururawat terbabit tidak berkelayakan di bawah Kementerian Kesihatan, mereka ditugaskan memantau keadaan pesakit.

2856198

Pada 9 Januari 2019, Punita, berusia 36 tahun ketika itu, meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Bersalin dan Obstetrik Shan milik Dr Shanmugam kerana PPH. — Gambar hiasan

“Ibu si mati mendapati anak perempuannya mengalami pendarahan yang banyak, dan jururawat cuba menahannya dengan menggunakan kapas.

“Pesakit kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) dalam keadaan kritikal.

“Walaupun menjalani pembedahan kecemasan dan pemindahan darah, Punita meninggal dunia akibat kehilangan darah yang banyak dan penyebaran pembekuan intravaskular (DIC),” katanya.

Hakim menyatakan bahawa walaupun doktor mempunyai pengalaman luas dalam bidang obstetrik, mereka gagal mempertimbangkan komplikasi biasa berkaitan dengan bersalin, seperti eklampsia dan isu berkaitan plasenta yang membawa kepada pendarahan selepas bersalin (PPH).

Dia juga mengkritik doktor kerana mengabaikan keadaan pesakit.

“Kejadian tragis ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua doktor itu bertindak pantas dengan memindahkannya ke HTAR dan memantau dengan teliti keadaan pesakit, bukannya meninggalkannya di bawah jagaan jururawat manakala Dr Ravi keluar minum.

"Tahap pengabaian ini tidak boleh dimaafkan kerana ia menyumbang kepada kematian ibu yang sihat," katanya.

Susulan keputusan itu, mahkamah mengarahkan bayaran pampasan kepada keluarga si mati sebanyak RM5,993,936 sebagai ganti rugi.

Ini termasuk RM500,000 untuk kesakitan dan penderitaan si mati, RM1 juta untuk setiap dua anaknya, dan RM300,000 untuk setiap ibu bapanya.

Kos lain termasuk ganti rugi teruk daripada Dr Ravi (RM1.5 juta) dan Dr Shanmugam (RM700,000), serta ganti rugi punitif daripada klinik (RM100,000).

Pada 9 Januari 2019, Punita, berusia 36 tahun ketika itu, meninggal dunia beberapa jam selepas bersalin di Pusat Bersalin dan Obstetrik Shan milik Dr Shanmugam kerana PPH.

Dalam kes ini, keluarga si mati diwakili peguam K Renuka dari firma guaman V Samy Renu & Co. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram