
NIAT asal Dr. Fadzilah Bee Abdul Rahman untuk berkhidmat di sebuah tadika swasta lebih 20 tahun lalu hanyalah supaya dapat memberi perhatian penuh kepada anak-anaknya.
Memiliki tiga anak lelaki yang masih kecil dan lasak ketika itu, Fadzilah nekad meninggalkan kerjaya selesa dalam bidang pengurusan di sebuah syarikat penerbangan.
Bercerita perjalanan awal karier kepada Majoriti, wanita itu pada asalnya menamatkan pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 1988.
Cinta Fadzilah terhadap dunia pendidikan awal kanak-kanak bermula sejak lebih 20 tahun lalu.
Selepas dua dekad, Fadzilah yang berusia 61 tahun masih meneruskan perjuangan mendidik generasi kecil di Tadika Bahtera Ilmu atau juga dikenali sebagai Bahtera Multiple Intelligence Preschool (BMiP).
“Semakin banyak belajar, semakin mendalam saya faham tentang dunia kanak-kanak.
"Tidak hanya memudahkan saya menguruskan mereka, malah berupaya mendidik guru-guru lain supaya lebih memahami jiwa anak-anak.
"Mereka mempunyai kepelbagaian kecerdasan, ada yang cemerlang dalam muzik, seni, alam semula jadi atau pergerakan fizikal. Guru perlu menghormati keunikan itu,” ujarnya.
Fadzilah menekankan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai kekuatan berbeza yang wajar digilap sejak awal.
Kecerdasan pelbagai
Mengulas lanjut, anak bongsu daripada 11 beradik itu berkata, tadika miliknya yang beroperasi di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor itu berkembang dengan kurikulum berasaskan teori kecerdasan pelbagai.
Konsep itu menekankan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai kekuatan berbeza yang wajar digilap sejak awal.
Menurut Fadzilah, sejak awal penubuhan pada 2005, fokus utama tadika itu adalah menyediakan pendidikan asas akademik kepada kanak-kanak.
Namun, pengalaman mendalami bidang pendidikan awal kanak-kanak membawanya memperluas pendekatan dengan memasukkan lapan jenis kecerdasan pelbagai dalam kurikulum.
Muhammad Ridhwan Khan (kanan) kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua pegawai operasi syarikat.
“Setiap kanak-kanak ada kelebihan tersendiri. Ada yang body smart (kinestetik-jasmani,) music smart dan nature smart.
"Jadi, saya ajar guru-guru supaya jangan hanya tengok pencapaian akademik semata-mata.
“Kalau seorang kanak-kanak lebih cenderung pada muzik, pembelajaran perlu diselitkan dengan elemen muzik.
"Jika mereka suka alam sekitar, kita masukkan aktiviti berkaitan tumbuhan atau haiwan. Itulah cara untuk mereka rasa dihargai dan seronok belajar,” jelasnya menambah, pusat itu memiliki lebih 60 pelajar kini.
Selain prasekolah, pihaknya juga bakal membuka Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) bermula tahun depan.
Beliau turut memaklumkan, setiap murid yang mendaftar akan menjalani penilaian Multiple Intelligence (MI) untuk mengenal pasti kecenderungan dan kekuatan diri mereka.
Hasil penilaian jelasnya, akan menjadi panduan dalam penyediaan rancangan pengajaran harian.
“Guru-guru di sini saya latih untuk mengajar dengan langkah khusus, mula dengan pengenalan, penjelasan, disokong dengan aktiviti hands-on, barulah murid dibenarkan mencuba sendiri. Dari situ, kita boleh nilai tahap kefahaman mereka.
“Kalau ada murid yang lemah dalam sesuatu aspek, saya akan pantau rapat dan berbincang dengan guru serta ibu bapa untuk cari jalan penyelesaian,” katanya menambah, kelas dihadkan sekitar 12 hingga 13 murid sahaja bagi memastikan tumpuan optimum.
Selain akademik, Fadzilah juga memperluas pendekatan dengan memasukkan lapan jenis kecerdasan pelbagai dalam kurikulum.
Karakterikstik
Akui Fadzilah, perkembangan teknologi dan gaya hidup moden dilihat memberi kesan ketara terhadap karakter serta tingkah laku kanak-kanak masa kini berbanding generasi terdahulu.
Jelasnya, perubahan paling ketara dapat dilihat dari aspek keterlibatan anak-anak dengan dunia luar dan kemahiran sosial mereka.
“Kalau dulu, anak-anak lebih seronok berada di luar rumah. Mereka tidak banyak merungut walaupun berpanas atau berpeluh.
"Namun kini, ramai yang kurang minat untuk aktiviti luar terutama selepas pandemik Covid-19, apabila mereka terlalu bergantung kepada gajet dan peranti teknologi,” katanya.
Hari ini, kejayaan Fadzilah (belakang, kiri) turut dikongsi bersama keluarganya.
Selain itu ujarnya, faktor cuaca panas melampau dan perubahan iklim turut mempengaruhi tahap keselesaan kanak-kanak.
“Sekarang, kalau bawa keluar untuk aktiviti seperti perarakan sempena Hari Kebangsaan, masa aktiviti perlu dipendekkan.
"Pukul 10 pagi sudah kena masuk dewan kerana cuaca terlalu panas. Pemanasan global juga memainkan peranan,” jelasnya.
Hari ini, kejayaan Fadzilah turut dikongsi bersama keluarganya.
Anak sulungnya, Muhammad Ridhwan Khan Ahmad Badri, 30, kini menggalas tanggungjawab sebagai ketua pegawai operasi, manakala dua lagi anaknya bergelar juruterbang dan jurutera kimia.
“Pada mulanya, tujuan saya hanya mahu dekat dengan anak-anak, tetapi dari situ, lahirlah sebuah legasi yang saya teruskan sehingga kini.
"Pendidikan awal adalah amanah besar, kerana di sinilah akar masa depan dibentuk,” bicaranya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram