[VIDEO] Tiga kali ubah tarikh, cef nikah di ICU hospital Seremban, tunai hasrat terakhir arwah bapa


  • Cinta
  • Jumaat, 12 Sep 2025

Nur Hani Arissa (kanan) bergambar bersama arwah bapanya (tengah) dan suami selepas selesai acara pernikahan pada 29 Ogos lalu.

DEMI memenuhi hasrat bapa yang terlantar sakit, pasangan pengantin baharu memilih melangsungkan akad nikah di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Seremban, Negeri Sembilan pada 29 Ogos lalu.

Pengantin perempuan, Nur Hani Arissa Mohd Ibrahim, 25, berkata, keputusan itu dibuat selepas doktor memaklumkan keadaan bapanya, Mohd Ibrahim Jaal, 52, yang menghidap kanser tiroid anaplastik tahap empat semakin merosot dan tidak mempunyai banyak masa.

Menurutnya, majlis asal dirancang berlangsung pada November depan, sebelum ditukar ke tanggal 29 Ogos 2025.

BACA LAGI: [VIDEO] Guru peluk murid baru kehilangan bapa, kongsi momen sebak ingat pengalaman sendiri

BACA LAGI: Bapa Ayham meninggal dunia beberapa jam lepas anak dibebaskan rejim Israel

“Doktor beritahu keadaan ayah kritikal dan cadangkan kami awalkan tarikh supaya sempat lihat saya nikah.

"Jadi kami ubah tarikh ke awal September, tapi kemudian doktor maklumkan jantung ayah dah tak cantik, sel darah putih naik, bacaan paru-paru pun makin teruk dan ayah mungkin hanya boleh bertahan empat hingga lima hari.

"Saya bincang semula dengan keluarga dan akhirnya buat keputusan untuk majlis diadakan pada 29 Ogos 2025,” katanya ketika dihubungi Majoriti.

Beliau yang ketika itu berada di Langkawi, Kedah segera menempah tiket pulang ke Negeri Sembilan untuk menyelesaikan semua urusan borang nikah.

“Memang masa itu borang pun tak siap lagi sebab asalnya majlis dirancang November. Jadi saya balik pada 26 Ogos, terus uruskan semua dokumen dan akhirnya dapat tarikh 29 Ogos," ungkapnya.

Pernikahan tersebut dijalankan dengan menggunakan khidmat wali wakalah.

Bercerita lanjut, menurut anak sulung daripada dua beradik itu, bapanya disahkan menghidap masalah tiroid sejak dua tahun lalu.

Namun, selepas menjalani pembedahan pembuangan tiroid selepas Aidilfitri tahun ini, keputusan ujian mendapati ia sebenarnya kanser.

Sejak itu ujarnya, arwah menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi hingga antibodinya semakin lemah sebelum paru-paru tiba-tiba sukar berfungsi pada Julai lalu, memaksa beliau dimasukkan ke ICU.

“Ayah boleh buka mata dan respons cuma tak boleh bercakap kerana trakeanya sudah ditebuk akibat masalah tiroid.

"Walaupun sakit, ayah tetap ceria. Doktor pun hairan kerana luarannya nampak positif, sedangkan dalaman tubuh menunjukkan beliau semakin sakit,” katanya yang bekerja sebagai cef di sebuah hotel dekat Langkawi.

Mohd Ibrahim (baring, tengah) ditemani anak-anak dan isteri ketika dimasukkan ke ICU.

Kongsi Nur Hani Arissa, majlis sepatutnya berlangsung dalam keadaan serba sederhana dengan melakukan perkara wajib sahaja.

Bagaimanapun jelasnya, pihak hospital banyak membantu termasuk menyediakan ruang dan kelengkapan ringkas di ICU untuk majlis itu, yang juga pertama kali dianjurkan di hospital berkenaan.

"Ayah tak mampu jadi wali, jadi pernikahan dijalankan dengan wali wakalah.

"Namun sepanjang majlis, wajah ayah tetap senyum, itu sudah cukup menggembirakan saya,” ujarnya sebak.

Arwah Mohd Ibrahim dikebumikan di Tanah Perkuburan Forest Heights, Senawang.

Pun begitu, kegembiraan itu hanya sementara apabila bapanya disahkan meninggal dunia dua hari kemudian, yakni pada 2 September lalu.

“Walaupun sedih, saya tak ralat sebab sempat tunaikan permintaan terakhir ayah untuk melihat anak perempuan tunggalnya bernikah.

"Saya reda, sekurang-kurangnya beliau pergi dalam keadaan gembira,” bicaranya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram