
SETIAP kehamilan membawa erti kebahagiaan buat pasangan suami isteri, namun pada masa sama ia datang dengan cabaran besar kepada kesihatan seorang ibu.
Proses mengandung dan melahirkan bukan sekadar detik menanti kelahiran cahaya mata, tetapi melibatkan perubahan fizikal dan emosi yang boleh mendatangkan risiko jika tidak dipantau dengan teliti.
Ramai mungkin menyangka ia sekadar perjalanan semula jadi, namun realitinya terdapat komplikasi serius yang boleh mengancam nyawa ibu dan bayi.
Pakar perubatan wanita, Dr. Raihana Ismail menerusi perkongsian di laman Threads tampil menjelaskan beberapa komplikasi dan risiko kesihatan yang boleh membawa kepada isu kematian ketika bersalin.
1. Tekanan darah tinggi (Preeclampsia/Eclampsia)
Tekanan darah tinggi ketika hamil merupakan komplikasi yang kerap berlaku.
Ia boleh memberi kesan kepada organ penting seperti buah pinggang, hati serta otak dan sekiranya tidak dikawal, ia boleh menyebabkan sawan (eclampsia) yang sangat berisiko kepada nyawa ibu dan bayi.
2. Tumpah darah (Postpartum Hemorrhage)
Selepas melahirkan, sesetengah ibu sering mengalami pendarahan berlebihan.
Kehilangan darah dalam tempoh singkat boleh membawa maut sekiranya tidak ditangani segera dan ia dikategorikan antara penyebab utama kematian ibu bersalin di hospital.
3. Jangkitan (Sepsis)
Jangkitan selepas bersalin boleh berlaku akibat luka atau kuman yang masuk melalui rahim.
Jika bakteria merebak ke dalam saluran darah, ia boleh menyebabkan sepsis yang membawa kepada kegagalan organ dan kes kematian.
4. Anemia (Hb Rendah)
Ibu hamil yang mengalami kekurangan zat besi akan mempunyai tahap hemoglobin (Hb) rendah.
Apabila kehilangan darah semasa bersalin, tubuh tidak mempunyai bekalan mencukupi, sekali gus meningkatkan risiko komplikasi serius.
5. Darah beku dan masalah jantung
Selain itu, kes darah beku di paru-paru (pulmonary embolism), komplikasi pembedahan caesarean, serta masalah jantung sedia ada pada ibu turut menjadi faktor penyumbang.
Maka, Dr. Raihana menasihatkan ibu hamil supaya menjalani pemeriksaan berkala, memantau tekanan darah, tahap Hb dan mengambil suplemen yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Jelasnya, tanda-tanda awal seperti sakit kepala luar biasa, bengkak teruk, penglihatan kabur atau pendarahan tidak boleh diambil mudah.
Wanita hamil perlu segera menjalani pemeriksaan sekiranya mengalami komplikasi kesihatan. — Gambar hiasan
Ganjaran syahid wanita meninggal ketika bersalin
Meskipun dari sudut perubatan komplikasi itu boleh membawa maut, Islam memandang tinggi pengorbanan seorang ibu yang melahirkan anak.
Rasulullah SAW bersabda bahawa wanita yang meninggal dunia ketika melahirkan anak tergolong sebagai syahid dan mereka dijanjikan ganjaran istimewa oleh ALLAH termasuk diampunkan dosa, dijamin syurga serta diberikan syafaat untuk ahli keluarga mereka.
ويجار من عذاب القبر, ويأمن من الفزع الأكبر, ويوضع على رأسه تاج الوقار, الياقوتة منها خير من الدنيا وما فيها, ويزوج اثنتين وسبعين زوجة من الحورِ العِين, ويشقع في سبعين من أقاربه
Maksudnya: "Bagi orang yang mati syahid ada enam keistimewaan iaitu: 1) diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar, 2) melihat tempatnya di dalam syurga, 3) dilindungi daripada azab kubur, 4) terjamin keamanannya daripada malapetaka besar merasakan kemanisan iman, 5) dikahwinkan dengan bidadari, 6) diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya".
Kematian ketika bersalin adalah tragedi yang boleh dicegah dengan pemeriksaan awal, rawatan tepat dan kesedaran tinggi ibu serta keluarga.
Namun, bagi individu yang ditakdirkan pergi ketika melahirkan zuriat, kedudukan mereka di sudut Islam dimuliakan dengan pahala syahid yang cukup besar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram