
DALAM rumah tangga, peranan suri rumah sepenuh masa sering dipandang rendah dan dianggap perkara mudah oleh sebilangan masyarakat.
Namun, hakikatnya ia menuntut komitmen sangat tinggi dari segi masa, tenaga dan emosi individu yang mungkin boleh terpalit isu tekanan jika tidak dikawal.
Ironinya, ramai wanita hari ini membuat keputusan meninggalkan kerjaya bukan kerana pilihan mutlak, tetapi dek terhimpit dengan kos penjagaan anak yang tinggi, gaji rendah serta waktu kerja tidak menentu.
BACA LAGI: 'Ujian mereka lebih berat', wad pediatrik buka mata, didik erti syukur
Walaupun tidak bergaji, status suri rumah sering digambarkan sebagai pekerja buruh tanpa henti dan kadangkala membuatkan golongan terbabit berasa seolah-olah tidak wujud dalam sistem sosial masyarakat hari ini.
Bagi Zalinawati Arif, 37, keputusan berhenti kerja diambil usai kelahiran anak keduanya ekoran kos taska yang menurutnya jauh lebih tinggi berbanding pendapatan bulanannya.
"Pekerjaan terakhir saya dibayar kurang daripada RM1,500, jadi sebahagian besar gaji saya akan pergi ke kos bayaran taska.
"Pada mulanya, saya fikir ia pilihan yang tepat tetapi kini saya rasa buntu kerana tidak mempunyai pendapatan sendiri.
"Setiap kali saya memerlukan sesuatu walaupun sekecil tuala wanita saya perlu bertanya kepada suami," katanya.
Merupakan suri rumah sepenuh masa, Azza Azrin Juri berdepan kekangan masa dalam menyiapkan kelengkapan rumah dan tanggungjawab menjaga anak-anak. — The Star
Tambahnya, tanggapan orang ramai bahawa suri rumah mempunyai banyak masa terluang jauh terpesong daripada realiti sebenar.
"Hari saya dipenuhi dengan aktiviti memasak, mengemas rumah dan menjaga anak-anak.
"Kadang-kadang saya tertanya-tanya sama ada masyarakat akan melihat ini sebagai kerja ataupun tidak," ujarnya.
Dalam pada itu, sesetengah wanita khususnya generasi kini semakin bijak mencari sumber pendapatan baharu melalui inisiatif berasaskan komuniti.
Haliza Husaini, 48, misalnya menyertai program latihan pemasaran digital dan mula membina perniagaan kecil-kecilan dari rumah.
"Saya pernah fikir sebaik sahaja meninggalkan tenaga kerja, mustahil untuk kembali. Tetapi selepas menyertai program latihan pemasaran bersama komuniti, saya sedar bahawa kami sebenarnya boleh mulakan sesuatu dari rumah," jelasnya.
Kini, Haliza menjalankan perniagaan secara atas talian dengan menjual makanan ringan buatan sendiri dan menyifatkan pengalaman itu sebagai satu perkara menakjubkan.
"Saya masih menjaga anak-anak dan rumah, tetapi sekurang-kurangnya sekarang saya juga berasa bangga untuk mengatakan saya memperoleh pendapatan sendiri. Ia bukan hanya tentang wang, tetapi mengenai keyakinan yang diberikan kepada saya," katanya lagi.
Namun, lain pula ceritanya bagi Faizah Mohamed Azhar, 46, yang menyifatkan cabaran utama dihadapi ialah persepsi masyarakat.
Bekas pekerja runcit itu meninggalkan kerjayanya kerana jadual kerja yang panjang serta keinginan untuk lebih dekat dengan anak-anak.
Tetapi, sebaik sahaja menjadi suri rumah, dia menyedari peranan itu semakin kurang dihormati di kalangan orang ramai.
"Saudara-mara kadang-kadang kata macam 'wah sangat bagus, awak tidak perlu bekerja', seolah-olah hari saya mudah bagi mereka.
"Mereka tidak nampak saya berulang-alik ke sekolah, memasak dan menjaga ibu mentua yang sudah tua, kadang-kadang terasa seperti tak penting dan menyumbang walaupun keluarga banyak bergantung kepada saya," jelasnya.
Baginya, cabaran paling menyakitkan ialah faktor kesunyian kerana ketiadaan sistem sokongan moral yang membuatkan ramai suri rumah menanggung bebanan itu sendirian.
Walaupun tidak diiktiraf sebagai satu pekerjaan, sumbangan suri rumah sepenuh masa jelas memainkan peranan penting dalam kestabilan rumah tangga, pendidikan anak-anak serta kesejahteraan masyarakat.
Seharusnya masyakarat tidak memandang rendah apatah lagi melemparkan persepsi sinis terhadap golongan terbabit kerana tanggungjawab dipikul sebenarnya lebih berat daripada apa yang dilihat. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram