'Mak Iti tak garang, tegur dengan lembut', Siti Nurhaliza bantu pantau vokal, pelajaran Umai


  • Bonda
  • Jumaat, 19 Sep 2025

Umai bersyukur kerana diberi peluang berguru dengan Biduanita Negara, Siti Nurhaliza yang juga merupakan ibu saudaranya. — Gambar/@umairahofficial

PENYANYI meningkat naik Umai, mengakui dirinya cukup bertuah kerana mempunyai hubungan keluarga dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa TokTi.

Menurut pemilik nama sebenar Ummi Umairah Saiful Anuar, 14, itu TokTi bukan sekadar ibu saudara, tetapi turut 'bertindak' sebagai guru vokal dan pembimbing akademik yang sentiasa mengambil berat mengenai perkembangan dirinya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Pressure dia sejak kecil', Remy Ishak daftar anak prasekolah, kelas renang demi perkembangan sihat

BACA LAGI: 'Ujian mereka lebih berat', wad pediatrik buka mata, didik erti syukur

"Mak Iti bukan sekadar ibu saudara, tapi ibarat guru vokal dan guru akademik. Beliau selalu ingatkan supaya pandai bahagi masa antara pelajaran dan nyanyian.

"Bangga dan happy sebab dapat ilmu daripada Biduanita Negara, Mak Iti memang dah ada pengalaman cukup lama dalam industri, dia inspirasi saya dalam nyanyian dan penghibur profesional.

"Mak Iti tak pernah garang, tapi kalau ada kekurangan dalam nyanyian, dia akan tegur dengan cara lembut, kami juga sering adakan sesi kelas vokal bersama walaupun dia sangat sibuk," jelasnya Umairah atau mesra dipanggil Umai ketika ditemui Majoriti pada Majlis Pelancaran Single Baharu berjudul Sayap di Bukit Bintang Kuala Lumpur.

Mengidolakan pelantun lagu Purnama Merindu tersebut sejak kecil, Umairah mengakui dirinya tidak berani meletakkan sasaran melangkaui pencapaian bintang besar itu.

"Bagi saya, Mak Iti tiada ada pengganti, dia penyanyi nombor satu yang tiada tandingan, saya cuma berusaha ikut jejak langkah beliau," ujar anak sulung tersebut.

Tambah Umairah, kehadiran TokTi sebagai tulang belakang bukan sahaja memberikan kelebihan besar untuk kerjayanya, malah menjadi inspirasi untuk terus melangkah dalam dunia seni.

"Bertuah sangat ada mak saudara macam Mak Iti. Itu adalah kelebihan dalam karier saya dan akan digunakan peluang ini sebaik mungkin," tambah kakak kepada Amad salah seorang peserta rancangan Talk To My Manager (TTMM).

Keluarga berdarah seni, Umai (kiri) bersama ibu saudaranya, Siti Nurhaliza (dua dari kiri) dan ibunya, Siti Sairah.  — Gambar/@umairahofficial

Sekadar info, nama Umairah semakin mendapat perhatian selepas menjuarai kategori Junior Champion Vocalist di pertandingan berprestij World Championships of Performing Arts (WCOPA) ke-27 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Kejayaan di pentas antarabangsa itu sekali gus menjadi bukti kemampuan vokalnya untuk bersaing di peringkat global meskipun masih muda.

Selain kejayaan besar tersebut, Umairah turut aktif menyertai pelbagai pertandingan nyanyian di peringkat tempatan sejak di bangku sekolah, termasuk genre tradisional dan moden.

Untuk rekod, Umai juga menjadi artis pertama di bawah syarikat pengurusan bakat milik Siti Nurhaliza, SN Legacy Sdn. Bhd., pada 20 Januari 2025.  

Kini dengan pelancaran buah tangan terbaharunya berjudul Sayap, anak kepada penyanyi, Siti Sairah itu juga dalam persiapan memperkukuh kerjaya seni dengan bimbingan terus daripada Siti Nurhaliza , selain memberi tumpuan kepada pelajaran agar seimbang kedua-dua bidang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram