Bapa besarkan 6 anak cara hidup 'rumah panjang', tak lupa asal usul Iban walau menetap di KL


  • Bonda
  • Rabu, 17 Sep 2025

Semua anak Joseph perluĀ fasih berbahasa Iban walau di sekolah lebih banyak bertutur bahasa Malaysia dan Mandarin.

HIDUP di tengah kota metropolitan bukan alasan untuk seorang bapa asal Miri, Sarawak ini melupakan budaya asal usulnya.

Meskipun lebih dua dekad menetap di ibu negara, Joseph Ninting Janting, 47, tetap memastikan keenam-enam anak perempuannya membesar dengan nilai dan amalan masyarakat Iban yang diwarisinya sejak kecil.

Menurutnya, cara hidup di 'rumah panjang' banyak mempengaruhi gaya mendidik anak-anak, terutama dalam aspek kebersamaan, gotong-royong dan rasa hormat kepada keluarga dan komuniti.

BACA LAGI: Bapa tunggal hidap bipolar sindrom asperger cekal jaga 2 anak autisme, pernah rasa 'down' tapi...

BACA LAGI: Anak 'naik pelamin', berarak sama, serikan majlis perkahwinan baharu ayah, ibu, gembira berganda

Menurut Joseph cara hidup di 'rumah panjang' banyak mempengaruhi gayanya mendidik anak-anak terutama dalam aspek kebersamaan.

"Saya memang jujur dengan anak-anak, kita asal orang kampung, Iban dari rumah panjang dan itu dijadikan asas dalam didikan, paling senang kita kenalkan dengan makanan.

"Saya kenalkan makanan yang senang tengok di hutan Sarawak, tumbuhan liar buah letup tetapi tumbuh di pasu bunga saya, saya tanam dan bila dah subur petik jadikan masakan, bagi anak-anak makan.

"Bila pertama kali mereka tahu itu buah letup makanan di kampung, automatik dah tanam jiwa menghormati adat kampung dan rumah panjang, walaupun di bandar tapi biar mereka tahu itu asal usul kami dari orang yang susah," katanya kepada Majoriti.

Pendekatan itu jelasnya bukan sahaja sekadar memperkenalkan identiti, malah membentuk jati diri anak-anak untuk sentiasa menghargai adat serta budaya di Sarawak.

Fasih bahasa Iban

Sementara itu, graduan Sarjana Business Administration University of Sunderland, United Kingdom itu turut memastikan anak-anaknya fasih berbahasa Iban, walaupun di sekolah mereka lebih banyak menggunakan bahasa Malaysia dan Mandarin.

"Anak-anak memang saya amalkan bahasa Iban sebab apa bila datuk dan nenek mereka telefon mereka boleh berbual bahasa Iban, daripada situ sebenarnya telah menekankan sikap mereka ini lebih hormat kepada orang tua.

"Mereka memang minat bahasa Korea, Jepun dan terbaharu Perancis, tapi saya pesan mereka paling utama adalah bahasa ibunda kita, pertama bahasa Iban, kedua mandarin dan paling utama bahasa kebangsaan.

Joseph dan isteri sentiasa menerapkan budaya Sarawak dan konsep 'rumah panjang' dalam mendidik anak-anak.

"Kalau kita bermegah dengan bahasa asing dan berbalik kepada ekonomi, siapa yang akan support kita kalau bukan rakyat kita," tambahnya.

Bercerita lanjut soal kecemerlangan dan pencapaian akademik anak-anaknya, Joseph berbangga apabila cahaya matanya sentiasa mempamerkan keputusan positif dalam setiap bidang diceburi.

Baru-baru ini, anaknya Brenda Shu Quan mencatat sejarah sebagai anak jati Sarawak pertama yang berjaya mara ke pertandingan akhir pidato peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Johor Bahru, Johor Oktober depan.

Terlebih dahulu menjuarai tempat pertama di peringkat negeri, Brenda secara tidak langsung mewakili Selangor dan Sarawak pada pertandingan tersebut susulan asal-usulnya dari negeri bumi kenyalang itu.

Persatuan TRADA

Selain memikul tanggungjawab sebagai bapa, Joseph turut berperanan sebagai pengasas Persatuan Transformasi Dayak (TRADA) yang terlibat secara langsung terhadap pembangunan di Sarawak.

"Walaupun saya berada di Semenanjung, namun ia tidak menghalang TRADA untuk membangunkan kawasan pedalaman di Sarawak terutamanya menaik taraf rumah panjang termasuklah pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

"Pada masa sama, penubuhan TRADA ini juga sedikit sebanyak menyelesaikan Konflik Tanah Adat (NCR) serta membantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang dalam pentadbiran.

"Fokus TRADA ialah Pembangunan Pendidikan, sosioekonomi, kepentingan adat asal, kepentingan undang-undang adat istiadat dan kepentingan kebudayaan asal," katanya.

Usaha dijalankan membuktikan bahawa walaupun berhijrah ke bandar besar demi kerjaya dan pendidikan, warisan budaya Iban tetap boleh dipelihara.

Dengan keseimbangan antara kehidupan moden dan tradisi, generasi muda khususnya bukan sahaja dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu, malah terus berakar pada identiti asal mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram