
DALAM siasatan kes-kes berprofil tinggi, pemeriksaan dokumen menjadi kunci utama bagi merungkai persoalan tentang keaslian sesuatu catatan atau tulisan tangan.
Pakar forensik dalam bidang ini berperanan memastikan setiap helaian bukti diteliti secara saintifik dan telus, agar keputusan mahkamah dapat dibuat berasaskan fakta yang sahih.
Antara nama kini mendapat perhatian ialah Dr. Linthini Gannetion, pakar pemeriksaan dokumen forensik yang menjalankan analisis awal terhadap dokumen dan catatan tulisan tangan didakwa milik Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
BACA LAGI: 'Mak Iti tak garang, tegur dengan lembut', Siti Nurhaliza bantu pantau vokal, pelajaran Umai
Kepakaran beliau dalam bidang itu diyakini mampu memberi dimensi penting kepada prosiding inkues yang sedang berlangsung.
Hadir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini, beliau bersama pasukan peguam mewakili ibu arwah, difahamkan memasuki bilik persediaan lelong bersama barisan peguam keluarga.
Dr. Linthini (tengah) diraikan seisi keluarganya pada majlis graduasi USM sekitar tahun lalu.
Latar belakang
Dr. Linthini bukanlah nama asing dalam bidang forensik dokumen di Malaysia. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Forensik (Kepujian) daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, beliau meneruskan pengajian sehingga berjaya menamatkan doktor falsafah (PhD) dalam Pemeriksaan Dokumen Forensik pada 2023.
Lima fakta menarik Dr. Linthini:
1. Wanita pertama bergelar PhD dalam Pemeriksaan Dokumen Forensik di Malaysia
Beliau mencipta sejarah apabila tersenarai dalam Malaysian Book of Records (MBOR) sebagai wanita pertama memperoleh PhD khusus dalam bidang pemeriksaan dokumen forensik.
2. Ahli persatuan profesional antarabangsa
Selain itu, Dr. Linthini aktif dalam pelbagai persatuan profesional, antaranya Chartered Society of Forensic Sciences (UK), Association of Certified Fraud Examiners (ACFE), International Association of Document Examiners (IADE) dan diiktiraf sebagai Ahli Kimia Bertauliah oleh Institut Kimia Malaysia.
Selain pengalaman luas di mahkamah, Dr. Linthini turut diiktiraf Pakar Tulisan Tangan Bertauliah oleh International Forensic Sciences.
3. Pengalaman luas dalam kes mahkamah
Beliau berpengalaman lebih enam tahun mengendalikan kes forensik dokumen melibatkan tandatangan, dakwat dan penulisan.
Kepakarannya sering digunakan dalam prosiding mahkamah di seluruh negara termasuk di Sabah dan Johor, malah turut terlibat dalam beberapa kes antarabangsa.
4. Pakar tulisan tangan bertauliah
Selain latar akademik dan pengalaman luas di mahkamah, Dr. Linthini turut diiktiraf sebagai Pakar Tulisan Tangan Bertauliah oleh International Forensic Sciences (IFS).
Pensijilan tersebut memperkukuh kredibilitinya sebagai saksi pakar, khususnya apabila berdepan kes yang memerlukan analisis mendalam terhadap tulisan tangan, tandatangan dan dokumen.
5. Penerbitan dan sumbangan akademik
Selain bertugas sebagai pemeriksa dokumen, beliau aktif menerbitkan kajian akademik mengenai perbezaan dakwat, jenis pen serta ciri tulisan tangan pelbagai etnik dan hasil penyelidikannya kini menjadi rujukan dalam bidang forensik di Malaysia.
Peranan dalam Inkues Zara Qairina
Dalam inkues Zara Qairina, dokumen yang diperiksa termasuk cebisan nota, buku teks dan diari milik arwah.
Analisis forensik dokumen itu dijangka memainkan peranan besar untuk menentukan keaslian catatan dan sama ada ia benar-benar ditulis oleh arwah ataupun tidak.
Dengan kepakaran Dr. Linthini, hasil pemeriksaan bukan sahaja akan membantu mahkamah membuat keputusan, tetapi juga memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa siasatan dijalankan secara saintifik dan profesional.
Dengan gabungan kelayakan akademik, pengalaman praktikal serta pengiktirafan antarabangsa, Dr. Linthini Gannetion muncul sebagai antara pakar forensik dokumen paling berprofil tinggi di Malaysia sekali gus memastikan keadilan ditegakkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram