'Tahun pertama, keluarga, kawan tanya betul ke?' jarak usia 18 tahun Dr. Zahida, suami bukan penghalang, usia perkahwinan lebih sedekad


  • Cinta
  • Rabu, 17 Sep 2025

Jarak usia 18 tahun tidak menghalang Mohd Shahril dan isterinya mengecapi kebahagiaan dalam rumah tangga.

SETIAP pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga pasti berdepan cabaran tersendiri, terutama apabila wujud perbezaan ketara dari segi usia.

Begitu juga dengan pasangan Dr. Zahida Mohamad, 56, dan Mohd Shahril Tuah, 38, yang pada awalnya menerima pelbagai persoalan daripada keluarga dan rakan-rakan sebelum mendirikan rumah tangga.

Menurut Dr. Zahida, tiga tahun perkenalan mereka bukanlah tempoh mudah dan pada awalnya, ramai meragui keserasian mereka kerana faktor usia yang agak jauh.

BACA LAGI: Anak 'naik pelamin', berarak sama, serikan majlis perkahwinan baharu ayah, ibu, gembira berganda

BACA LAGI: 'Siap ada cabutan bertuah motosikal', majlis kahwin unik sajikan lebih 18 juadah lauk dan 'door gift' anak ayam di Selama

"Dalam tahun pertama, keluarga dan kawan-kawan banyak tanya, betul ke ni? Ramai juga tak percaya.

"Tapi bila mereka lebih kenal siapa Aril (suami) dan personaliti dia, saya selalu bawa jumpa kawan-kawan, akhirnya tak ada masalah lagi," katanya menerusi satu temu ramah di laman sosial baru-baru ini.

Berbeza dengan suaminya, soalan daripada keluarga jejaka yang juga pengasas jenama pakaian Aril Tuah Scarves itu lebih kepada sejauh mana kesediaannya untuk mendirikan rumah tangga.

Jelasnya, umurnya yang pada ketika itu 27 tahun menurutnya dikatakan terlalu muda dan belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga apatah lagi bersama pasangan yang 18 tahun lebih berusia daripadanya.

"Family saya ada bertanya betul ready dah ke nak kahwin? Kawan pun ada yang terkejut tapi bagi saya, perkahwinan ini yang lalui adalah kami suami isteri.

"Jadi saya tolak tepi saja kata-kata negatif daripada orang sekeliling, tak kira usia pun kita kena la faham pasangan kita tu,” ujarnya.

Tambahnya, apa sahaja cabaran yang datang mereka sepakat memilih untuk berbincang dan bertenang sebagai jalan terbaik mengukuhkan hubungan.

Pertemuan bermula di klinik

Kisah cinta pasangan itu bermula secara tidak dirancang apabila Aril membawa ibunya mendapatkan rawatan di klinik Dr. Zahida di Kajang.

Sikap tenang dan penuh kelembutan dipamerkan ketika memberi nasihat kesihatan membuatkan Aril tertarik untuk lebih mengenalinya.

Sekadar info, Dr. Zahida sebelum ini pernah melalui fasa duka apabila suami pertamanya meninggal dunia selepas sembilan tahun perkahwinan manakala Aril pula difahamkan pernah putus tunang.

Selepas tiga tahun berkenalan, mereka akhirnya disatukan pada 2014 dengan restu kedua-dua belah pihak keluarga.

Walaupun pada awalnya menerima pandangan sinis masyarakat termasuk tuduhan mahligai dibina hanya berlandaskan faktor harta dan kekayaan, pasangan tersebut memilih untuk mengabaikan tanggapan negatif.

Kini selepas lebih satu dekad melayari bahtera rumah tangga, hubungan mereka semakin kukuh dan komunikasi, toleransi, serta sikap saling menghormati menjadi asas kekuatan perkahwinan mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram