‘Nikmatnya dapat tidur malam’, bapa lega 2 anak autisme lebih lena, kurang tantrum kerana serasi ubat


  • Bonda
  • Khamis, 18 Sep 2025

Walaupun menghidap bipolar sindrom asperger, Mohd Syihabuddin cekal membesarkan dua anaknya sebagai bapa tunggal.

BAGI ibu bapa membesarkan anak autistik, rutin harian seperti tidur malam sering menjadi cabaran yang berat.

Seorang bapa yang juga seorang doktor perubatan, berkongsi pengalaman apabila dua orang anaknya kini dapat tidur lebih lena selepas menerima rawatan ubat di bawah pengawasan pakar.

Menurut Dr. Mohd Syihabuddin Mohd, 38, sebelum rawatan dimulakan anak-anak sering mengalami tantrum berpanjangan, kurang fokus dan paling ketara ialah sukar tidur malam.

BACA LAGI: 'Siap ada cabutan bertuah motosikal', majlis kahwin unik sajikan lebih 18 juadah lauk dan 'door gift' anak ayam di Selama

BACA LAGI: Berkorban besarkan 3 anak sendirian, Haneesya mahu balas budi, gembirakan ibu

Dr. Mohd Syihabuddin cekal membesarkan dua cahaya matanya yang didiagnosis autisme.

Situasi itu jelasnya bukan sahaja menjejaskan perkembangan emosi anak-anak, malah memberi tekanan kepada fizikal dan mental dirinya, apatah lagi selepas bergelar bapa tunggal.

"Selepas berjumpa pakar psikiatri kanak-kanak, anak-anak saya mula diberikan dua ubat.

"Anak saya biasa memang tidur pukul 2 pagi, sebelum tu melompat-lompat atas katil walaupun tak diberi air manis atau gula tetapi tetap aktif sepanjang hari, jadi bila first try tu bagi ubat disarankan doktor dia tidur. Saya rasa momen itu lega sangat. Nikmatnya anak aku tidur malam, saya pun dapat rehat sama.

"Alhamdulillah, kini mereka lebih mudah tidur malam, emosi lebih stabil dan tantrum semakin berkurangan," katanya yang memberikan ubat mengikut pemantauan dan dos ditetapkan doktor.

Ubat bawah pemantauan doktor

Apa yang pasti ubat berkenaan diambil atas nasihat doktor dengan kedua-duanya mempunyai kesan sampingan berbeza di mana ubat yang tergolong dalam kumpulan antipsikotik sering digunakan untuk membantu mengawal emosi, mengurangkan agresif, serta menenangkan pesakit. Kesan sampingannya termasuk rasa mengantuk, sebab itu ia turut membantu anak lebih mudah tidur malam.

Selain itu, ubat jenis perangsang (stimulant) pula biasanya diberikan kepada pesakit ADHD atau autisme bermasalah fokus dan hiperaktif. Ia membantu meningkatkan perhatian, mengawal impuls, dan memudahkan pembelajaran harian.

Gabungan kedua-dua rawatan berkenaan dengan pemantauan rapi doktor mampu memberi kelegaan besar kepada keluarga kerana rutin tidur kembali teratur.

Akur dengan persepsi dan pandangan sinis segelintir ibu bapa yang menolak kaedah ubatan tersebut, graduan bidang perubatan Universiti Alexandria, Mesir itu terbuka untuk sebarang jawapan.

Tuturnya, pemberian ubat dan sukatan dos yang betul mampu meninggalkan kesan positif kepada golongan tersebut dan perkara itu adalah antara ilmu dipelajarinya ketika menuntut pengajian dalam bidang perubatan dahulu.

"Saya tak nak berat sebelah dalam soal ni, mana-mana doktor pun mereka akan nilai kebaikan dan risiko, apa-apa yang kesan buruk tu doktor dah fikir dahulu sebelum orang ramai.

"Ada ibu bapa merungut anak lemah, air liur meleleh kesan ubat, tapi yang saya jumpa rupanya dos salah, jadinya memang kesan sebaliknya, kena rujuk pakar juga," tambah beliau lanjut.

Sekadar info, Dr. Mohd Syihabuddin juga pemilik sebuah klinik di Seri Kembangan, Selangor itu berdepan cabaran getir apabila turut disahkan menghidap bipolar sindrom asperger, salah satu bentuk gangguan spektrum autisme (ASD) pada usia 36 tahun.

Berperanan sebagai bapa tunggal kepada dua cahaya mata, anak sulungnya Abdul Basit, 9, didiagnosis severe autisme tahap tiga dan anak kedua, Muhammad Jibreel, 6, pula mild autisme.

Sama sekali tidak terlintas untuk berjauhan dengan anak-anaknya, beliau sebaliknya menganggap keluarganya sebagai satu 'geng' autisme dan akan terus cekal menjaga zuriat dari Sang Pencipta itu sebaiknya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram