
ISU kewangan, pekerjaan dan masalah peribadi sering kali dianggap sebagai ujian dan dugaan getir dalam kehidupan seharian.
Namun, hakikatnya isu kesihatan berada di kedudukan paling teratas dalam setiap masalah dihadapi dan lebih menyedihkan apabila ia membabitkan insan tersayang ataupun ahli keluarga sendiri.
Berkongsi lanjut berkaitan hal terbabit, seorang pengguna laman sosial @irahx di Threads menyifatkan pengalaman menziarah ke wad pediatrik sebuah hospital kerajaan baru-baru ini benar-benar membuka matanya terhadap kesusahan dihadapi golongan kurang bernasib baik.
BACA LAGI: 'Sayang kawan kena berpada, keep your circle small', Shila Amzah mahu hidup tenang pada usia 30-an
"Kalau tidak tahu bagaimana mahu meningkatkan rasa syukur, saya cadangkan anda pergi ke hospital kerajaan, terutama bahagian pediatrik.
"Bila melihat anak-anak kecil yang diuji sakit, kita akan sebak dan sedar betapa besar nikmat kesihatan yang ada," katanya.
Jelasnya, ramai ibu bapa dan kanak-kanak di wad berkenaan berdepan cabaran kesihatan jauh lebih hebat daripada apa dialami kebanyakan orang.
Ia secara tidak langsung memberi perspektif baharu dan menyedarkan bahawa setiap dugaan hidup hadir dengan hikmah tersendiri.
Tidak hanya dengan singgah ke wad, sekadar berada di kawasan persekitaran hospital menurutnya sudah cukup memberi kesan mendalam kepada mereka yang hadir.
"Paling ramai tengok anak-anak dengan sakit yang kita tak sangka pun, saya pun seorang mak kepada anak yang setiap bulan ada check up, terus rasa sikit je ujian untuk anak saya, nak dibanding dengan kawan dia kat sini, sayu sangat hati," tambahnya di ruangan komen.
Malah, kecekalan ibu bapa menemani anak-anak yang sedang bertarung melawan penyakit memberi gambaran jelas tentang ketabahan, pengorbanan dan nilai kasih sayang dalam keluarga.
Tidak dinafikan, setiap individu berdepan masalah dan dugaan hidup yang berbeza-beza namun sikap empati serta kesedaran sosial diyakini mampu dipupuk melalui pendedahan sedemikian.
Melihat realiti dilalui orang lain akan membantu individu menilai semula cabaran peribadi dengan lebih rasional, sekali gus membentuk masyarakat lebih prihatin, saling menyokong dan menghargai nikmat kesihatan dimiliki. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram