
PERKAHWINAN kali kedua sering hadir dengan pengalaman berbeza, terutamanya apabila kedua-dua pasangan sudah mempunyai anak masing-masing.
Bagi seorang wanita, perkahwinan dengan lelaki yang pernah berkeluarga bermakna dirinya bukan sahaja menjadi seorang isteri, malah terus memikul peranan sebagai ibu tiri.
Begitu juga sebaliknya, apabila lelaki yang berkahwin dengan wanita bergelar ibu tunggal, serta-merta bergelar bapa tiri dengan tugas 'berat' perlu dipikul sebagai ketua keluarga.
BACA LAGI: Berkorban besarkan 3 anak sendirian, Haneesya mahu balas budi, gembirakan ibu
Bukan perkara asing, malah dalam kebanyakan majlis perkahwinan, anak-anak sering menjadi sebahagian daripada momen indah pada hari bahagia itu sekali gus mengukuhkan lagi simbolik penyatuan keluarga.
Kisah sama turut dikaitkan dengan penyatuan dua jiwa selebriti terkenal, Fattah Amin dan pilihan hati, Amira Othman yang selamat melangsungkan majlis pernikahan di Sepang, Selangor pada Ahad.
Momen paling istimewa, sekali gus mencuri perhatian apabila anak perempuannya, Nur Fatima Aisya turut dibawa naik ke pelamin bersama pasangan pengantin bagi acara pembatalan air sembahyang.
Berkongsi pengalaman sama, beberapa individu di laman Threads mengimbau detik perkahwinan yang disifatkan mirip sepanjang berlangsungnya majlis pasangan selebriti tersebut.
1. Nikahi lelaki status 'papa'
Akui bukan perkara mudah mendirikan rumah tangga bersama jejaka berstatus bapa, @nurhaniothman bagaimanapun bersyukur kerana dikurniakan dua cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu suaminya.
"Bukan mudah semalam bergelar isteri dan esoknya terus kena belajar menjadi ibu. Moga ALLAH pelihara hati ini dengan sabar, kasih dan syukur.
"Tak tahu nak describe feeling waktu tu cuma kena terima yang ini ialah sebahagian dalam hidup kita bila hari pertama kita setuju untuk menikahi lelaki yang status papa," katanya.
2. Lima anak atas pelamin
Jika Fattah dan Amira berkongsi pentas pelamin dengan seorang anak, pasangan ini lebih meriah apabila diiringi kelima-lima cahaya mata.
Seorang pengguna laman sosial @sofianna911 berkongsi momen bahagia itu bersama anak-anaknya yang nyata cukup ceria dengan kehadiran adik-beradik tirinya yang lain.
"Fattah Amin dan Amira Othman bawa seorang anak naik pelamin, kami bawa lima orang, apa ada hal," ujarnya ringkas.
Kedua-dua pasangan tersebut dipercayai sudah memiliki anak hasil perkahwinan terdahulu dan kini menjadikan keseluruhan cahaya matanya seramai lima orang.
3. Hadiahkan anak cincin
Tidak hanya mencuri hati pasangannya, seorang bapa mempamerkan sifat romantisnya apabila turut menghadiahkan sebentuk cincin buat kedua-dua anak tirinya.
Situasi itu kekal dalam ingatan @fizazasmi yang nyata amat mengagumi usaha dan kesungguhan suaminya dalam memujuk anak-anaknya.
"Mujur daddy dulu stanby siap-siap cincin untuk the girls, dah tahu perempuan ni dia memang kuat cemburu. Tapi nikah je dia elok, masa sanding dia moncong baik sebab semua ambil gambar mama, bertuah la anak," katanya.
4. Bawa anak setiap masa
Kehadiran si kecil saat perkahwinan kali kedua lazimnya dipandang serong dan dianggap situasi janggal di kalangan masyarakat.
Namun, lain pula ceritanya bagi pasangan romantis ini yang lebih terbuka dan bangga untuk membawa anak bersama dalam apa jua majlis dihadiri.
Segak berpakaian sut persis 'James Bond', @ayinafendi kelihatan manis dan bahagia meraikan perkahwinannya di samping anak dan suaminya dalam setiap acara berlangsung termasuklah sesi potong kek dan salam restu keluarga.
Kehadiran si kecil di sisi ayah dan ibu baharunya bukan sahaja mengundang senyuman, tetapi juga menjadi detik penuh makna menyentuh hati ramai.
Saat permata hati duduk di atas pelamin sambil tersenyum, ia menambah seri majlis, membuatkan semua yang hadir merasai kegembiraan berganda.
Perkahwinan baharu dengan adanya anak-anak di sisi, membuktikan bahawa cinta dan kebahagiaan boleh berkembang dalam bentuk yang lebih luas bukan sahaja untuk pasangan, tetapi buat seluruh keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram