Terlebih aktiviti 'grounding', risiko bayi tantrum, sukar tidur malam, amal 5 tip agar anak tenang


  • Bonda
  • Selasa, 16 Sep 2025

Aktiviti grounding boleh memberi kesan negatif pada bayi jika diberikan berlebihan. — Gambar hiasan/Freepik

AKTIVITI grounding atau membiarkan bayi bermain bebas di atas rumput, pasir atau tanah semakin dipraktikkan ibu bapa kerana dikatakan memberi manfaat pada kesihatan dan perkembangan deria.

Namun, tidak semua ibu bapa sedar bahawa pendedahan berlebihan kepada aktiviti itu juga boleh membawa kesan sampingan, terutama pada golongan bayi dan kanak-kanak kecil.

Di laman Threads baru-baru ini tular perkongsian ibu bapa yang buntu dalam mengatasi masalah tantrum anak usai melakukan sesi grounding.

BACA LAGI: Berkorban besarkan 3 anak sendirian, Haneesya mahu balas budi, gembirakan ibu

BACA LAGI: Cinta merentas budaya, perkahwinan Uncle Roger dan Sabrina berlangsung penuh tradisi di Portugal

Jelas @syzwnur, sesi grounding yang agak lama menyebabkan anaknya menjadi lebih sukar tidur malam, menangis berpanjangan dan enggan dipujuk.

"Kebelakangan ni saya banyak bawa baby grounding atas rumput and saya perasan malam tu mesti dia tidur tak lena, nangis yang susah dipujuk," katanya.

Situasi tersebut dipercayai berpunca daripada keadaan yang dipanggil rangsangan berlebihan (overstimulation).

Apa itu rangsangan berlebihan?

Menurut pakar, situasi sedemikian berlaku apabila tahap rangsangan deria yang diterima kanak-kanak melebihi kapasiti yang mereka mampu tangani dan bayi kecil mempunyai ambang toleransi lebih rendah berbanding kanak-kanak yang lebih dewasa.

Justeru, aktiviti seperti bermain terlalu lama di luar rumah, berada di kawasan bising atau melihat terlalu banyak pergerakan boleh membuatkan mereka terlebih input deria.

Pakar tingkah laku dan kanak-kanak Dr. Kerri Milyko daripada Amerika Syarikat (AS), ia berkemungkinan besar berlaku ketika si kecil kurang tidur atau kelaparan yang akhirnya mencetuskan reaksi berlebihan pada emosi serta fizikal mereka.

Tanda anak terlebih terangsang

Tanda-tanda rangsangan berlebihan berbeza mengikut umur:

Bayi: Menangis tanpa henti, anggota badan tersentak, memalingkan kepala daripada rangsangan.

Kanak-kanak kecil: Mudah merajuk, jatuh ke lantai dan menangis berlebihan.

Kanak-kanak sekolah: Tantrum, keletihan melampau, berkelakuan agresif atau terlebih aktif.

Kadangkala kanak-kanak yang tidak dapat mengawal diri dalam situasi ini akan berasa lemah semangat di mana mereka akan cenderung untuk menangis, menjerit atau mengamuk kerana tubuh mereka tidak lagi mampu mengendalikan rangsangan deria berlebihan.

Bayi berisiko tantrum dan sukar tidur malam jika dibiarkan bermain tanpa henti. — Gambar hiasan/Freepik

Solusi ibu bapa

Sekiranya anak menunjukkan tanda terlalu terangsang, ibu bapa dinasihatkan segera membantu dengan membawa anak ke tempat yang lebih tenang.

Pendekatan dan bantuan ibu bapa:

- Bawa anak ke ruang lebih gelap dan tenteram untuk meredakan kemarahan mereka.

- Peluk erat atau bedung bayi untuk menenangkan mereka.

- Gunakan cahaya malap atau muzik lembut yang menenangkan.

- Alihkan perhatian dengan aktiviti seperti membaca buku atau menyanyi dengan lagu rentak perlahan.

Pakar pediatrik, Dr. Pierrette Mimi Poinsett menegaskan, ibu bapa tidak boleh mengharapkan anak bertahan atau memaksa mereka menerima keadaan tersebut.

Sebaliknya, mereka memerlukan ruang, bantuan dan masa untuk kembali tenang seperti sediakala.

Walaupun grounding terbukti bermanfaat untuk perkembangan bayi, ibu bapa sewajarnya peka dengan had keupayaan deria si kecil bergantung pada tempoh, serta persekitaran anak pada satu-satu masa.

Dengan pemantauan yang bijak, aktiviti sihat seperti itu tetap boleh diamalkan tanpa menjejaskan kualiti tidur dan emosi si kecil. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram