
PERKAHWINAN selebriti sering menjadi tumpuan apabila ia bukan sahaja meraikan penyatuan dua hati, tetapi turut menampilkan keunikan budaya serta lokasi eksklusif yang dipilih.
Begitu juga dengan personaliti komedi popular kelahiran Malaysia, Nigel Ng dan pasangannya Sabrina Ahmed yang baru-baru ini disatukan dalam sebuah majlis perkahwinan penuh meriah di Sintra, Portugal pada 17 Julai lalu.
Majlis perkahwinan itu berlangsung selama tiga hari dengan kehadiran keluarga dan kenalan rapat.
BACA LAGI: Bapa tunggal hidap bipolar sindrom asperger cekal jaga 2 anak autisme, pernah rasa 'down' tapi...
Kisah pertemuan mereka bermula secara kebetulan ketika Sabrina menghadiri sebuah persembahan Nigel di Miami satu ketika dahulu.
Akui pada awalnya tidak tertarik dengan figura komedi dan pelawak tersebut, Sabrina walau bagaimanapun tidak menafikan bahawa pandangannya berubah selepas mengenali sisi sebenar pemilik restoran FUIYOH! It's Uncle Roger itu.
"Pada mulanya saya fikir dia hanya bergurau tentang nasi, tetapi selepas menonton lebih lama saya sedar dia sebenarnya sangat kelakar dan comel," katanya.
Lamaran di bawah pohon sakura Tokyo
Nigel memilih Taman Inokashira, Tokyo, Jepun sebagai lokasi lamaran kerana mengetahui pasangannya amat menggemari bunga dan memasang impian untuk bertunang di bawah pohon sakura.
Dengan bantuan abangnya Gary, serta rakan baiknya Leong, segala persiapan dibuat rapi sebelum Nigel melutut menghulurkan cincin dan sejambak bunga pada momen penuh romantik itu.
"Sepanjang perhubungan kami, saya belajar betapa Sabrina suka dengan bunga, saya tahu itu detik paling istimewa untuknya," ujarnya.
Perkahwinan di Portugal
Pasangan dua sejoli itu memilih Sintra, Portugal, sebagai lokasi perkahwinan yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 Julai 2025 lalu.
Destinasi tersebutdipilih kerana keindahan landskap serta warisan budaya yang mencerminkan identiti mereka.
Acara akan dimulakan dengan majlis tertutup bersama 70 kenalan rapat masing-masing diikuti dengan acara 'sangeet' pada hari berikutnya bagi menghormati adat dan budaya Bengali Sabrina.
Hari kemuncak pada Sabtu menyaksikan upacara minum teh tradisional Cina, disusuli majlis perkahwinan serta resepsi ala Barat yang nyata menjadi momen manis buat kedua pasangan romantis tersebut.
Cinta merentas budaya
Walaupun datang daripada latar belakang berbeza, Nigel dan Sabrina percaya persamaan nilai hidup menyatukan mereka.
"Dia serius, berdedikasi dan sangat mengambil berat terhadap keluarga, itu yang membuatkan saya rasa dekat dengannya," kata Sabrina.
Usai beberapa bulan majlis perkahwinannya berlangsung, Nigel Ng dan Sabrina Ahmed kini memulakan fasa baharu dalam kehidupan berumah tangga.
Tidak sekadar meraikan cinta, tetapi mereka juga berjaya menggabungkan dua latar budaya yang berbeza dalam sebuah majlis penuh simbolik dan bermakna sekali gus menjadi bukti bahawa cinta mampu merentasi sempadan geografi, budaya dan perbezaan adat. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram