
DALAM era media sosial hari ini, perkongsian detik istimewa sepanjang kehamilan menjadi trend dalam kalangan pasangan suami isteri.
Trend gender reveal dan memuat naik gambar imbasan ultrasound bayi antara yang paling menjadi ikutan generasi Gen Z sebagai kenangan yang diabadikan menerusi platform sosial.
Tidak dinafikan, tindakan itu sebagai salah satu cara berkongsi kegembiraan dengan keluarga dan rakan-rakan sepanjang proses kehamilan.
BACA LAGI: Berkorban besarkan 3 anak sendirian, Haneesya mahu balas budi, gembirakan ibu
BACA LAGI: Cinta merentas budaya, perkahwinan Uncle Roger dan Sabrina berlangsung penuh tradisi di Portugal
Namun, baru-baru ini timbul pertikaian di kalangan warga maya berhubung hukum dari sudut Islam bagi golongan yang mempraktikkan amalan tersebut.
Ada mendakwa ia dikategorikan sebagai haram kerana secara tidak langsung menayangkan aurat wanita di khalayak umum.
Malah, segelintir daripadanya juga berpendapat ia boleh mengundang fitnah dan persepsi buruk masyarakat serta mengundang bahaya kepada janin dalam kandungan.
Menjawab persoalan dan isu berbangkit, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi kenyataan menegaskan bahawa, foto imbasan janin tidak termasuk dalam kategori aurat.
Walau bagaimanapun, ia tetap tidak digalakkan untuk dipamerkan secara terbuka apatah lagi depan khalayak yang berlainan jantina.
Jelasnya, istilah janin dalam bahasa Arab membawa maksud perkara yang tersembunyi.
Justeru, perbuatan memaparkan gambar janin secara umum tidak menepati maksud asal dan dikhuatiri boleh mengundang fitnah, aib serta tanggapan negatif daripada orang lain.
Perkongsian imej ultrasound janin boleh mengundang fitnah dan aib bagi ibu hamil. — Gambar hiasan/Freepik
"Walaupun gambar tersebut bukanlah aurat fizikal yang diharamkan untuk dilihat secara langsung, ia tetap boleh menimbulkan syahwat dan fitnah sekiranya tidak ditangani dengan berhati-hati," ujarnya.
Penjelasan itu turut menambah bahawa organ dalaman manusia seperti hati, jantung dan rahim juga tidak dianggap aurat kerana ia bukan perhiasan tubuh sebagaimana diterangkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.
Mufti Wilayah dalam kenyataan itu menasihatkan masyarakat agar lebih bijak mengawal perkongsian di media sosial, terutama apabila melibatkan isu berkait dengan maruah dan sensitiviti agama.
Sehubungan itu, ibu bapa disaran untuk meraikan momen kehamilan dengan cara yang lebih selamat dan sederhana, seperti berkongsi doa serta kata-kata syukur berbanding menayangkan imej janin.
Langkah itu bukan sahaja menepati adab Islam, malah dapat mengelakkan sebarang fitnah atau tanggapan negatif yang mungkin timbul di kemudian hari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram