
MENJAGA kesihatan fizikal dan mental selepas melalui fasa kehamilan dan kelahiran merupakan aspek penting sering diabaikan oleh wanita.
Ironinya, gaya hidup aktif mampu membantu ibu-ibu mengembalikan tenaga, menstabilkan emosi serta meningkatkan keyakinan diri.
Seiring dengan pandangan itu, model antarabangsa kelahiran Indonesia Sawitri Khan tampil berkongsi pengalaman dan tip penjagaan diri melalui olahraga, khususnya untuk para ibu selepas bersalin.
BACA LAGI: Berkorban besarkan 3 anak sendirian, Haneesya mahu balas budi, gembirakan ibu
BACA LAGI: Cinta merentas budaya, perkahwinan Uncle Roger dan Sabrina berlangsung penuh tradisi di Portugal
Menurutnya yang kini bergelar ibu kepada dua orang cahaya mata, olahraga bukan semata-mata bertujuan mengekalkan bentuk tubuh, sebaliknya menjadi salah satu aktiviti untuk kekal sihat, kuat dan bahagia.
"Bentuk tubuh yang saya miliki sekarang selepas melahirkan dua anak bukan hanya kerana faktor genetik.
"Ada kerja keras, konsistensi dan komitmen untuk mencintai diri sendiri di dalamnya," katanya di laman Instagram.
Jelasnya, perubahan bentuk tubuh selepas berkahwin atau bersalin adalah sesuatu yang normal dan wajar diraikan.
"Tubuh kita sudah melalui banyak hal luar biasa, termasuk menghadirkan kehidupan ke dunia, itu adalah keajaiban yang patut kita syukuri," tambahnya.
Sawitri dalam masa sama turut berkongsi beberapa tip untuk para ibu yang ingin kembali aktif selepas bersalin:
1. Mulakan dengan aktiviti ringan seperti berjalan kaki, yoga atau senaman singkat selama 15 minit.
2. Utamakan konsistensi berbanding tempoh masa panjang, sedikit tetapi rutin lebih berkesan.
3. Jadikan olahraga sebagai me time, hadiah untuk tubuh, bukan hukuman.
4. Libatkan anak atau pasangan agar lebih menyeronokkan.
5. Fokus kepada manfaat kesihatan dan emosi, bukan semata-mata angka di timbangan.
Baginya, kekuatan seorang wanita tidak hanya diukur daripada penampilan fizikal, tetapi daripada keteguhan hati untuk terus maju dan merawat dirinya sendiri.
"Perubahan memerlukan masa, yang penting bukan cepat atau lambatnya hasil, tetapi keberanian kita untuk terus bergerak dan tidak menyerah," katanya.
Latar belakang Sawitri
Dilahirkan pada 23 Jun 1996, pemilik nama lengkap Sawitri Khan berdarah campuran India-Indonesia sebelah bapa dan Bali sebelah ibu itu, dibesarkan di Jembrana, Bali sejak berusia tiga tahun.
Demi membantu keluarga, dia sebelum ini pernah bekerja sambilan menjual bunga, mengendalikan acara dan melakukan kerja-kerja peragaan kecil usai tamat persekolahan.
Dorongan daripada bapa saudaranya membawa Sawitri ke sekolah peragaan meskipun ketika itu sering berdepan penolakan kerana warna kulit dan bentuk badannya yang dikatakan terlampau kurus.
Kesungguhan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Sawitri menandatangani kontrak dengan agensi luar negara dan namanya mula menyinar di peringkat antarabangsa selepas tampil di Lisbon Fashion Week dan Portugal Fashion Week.
Lebih membanggakan, model setinggi 175 sentimeter dengan kulit sawo matang itu turut menghiasi muka depan majalah fesyen ternama seperti Vogue Portugal dan Maxima.
Selain bergiat aktif dalam industri fesyen, Sawitri juga menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Perniagaan di Binus University pada tahun 2024, membuktikan keupayaannya menyeimbangkan dunia akademik, kerjaya dan keluarga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram