'Siap ada cabutan bertuah motosikal', majlis kahwin unik sajikan lebih 18 juadah lauk dan 'door gift' anak ayam di Selama


  • Maya
  • Isnin, 15 Sep 2025

Sebuah majlis perkahwinan di Selama, perak berlangsung meriah dengan lebih 18 juadah hidangan makan tersedia.

MAJLIS perkahwinan sememangnya menjadi acara penuh bermakna bukan sahaja buat pasangan pengantin, malah keluarga serta para tetamu yang hadir meraikan hari bahagia tersebut. 

Di Malaysia, kenduri kahwin sering diraikan dengan pelbagai cara daripada jamuan tradisional, persembahan muzik hingga ke konsep moden yang lebih kreatif. 

Namun, sebuah majlis perkahwinan berlangsung di Kampung Sungai Malau Luar, Selama, Perak baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila diraikan dengan suasana cukup luar biasa dan unik.

BACA LAGI: Berkorban besarkan 3 anak sendirian, Haneesya mahu balas budi, gembirakan ibu

BACA LAGI: Cinta merentas budaya, perkahwinan Uncle Roger dan Sabrina berlangsung penuh tradisi di Portugal

Berbeza dengan hidangan nasi minyak dan lauk-pauk pengantin seperti kebiasaan, majlis tersebut menyajikan lebih 18 juadah makanan, 10 jenis manisan dan 10 balang minuman yang nyata membuatkan tetamu rambang mata dalam membuat pilihan.

Difahamkan, kesemua persiapan majlis tersebut dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk kampung bagi meraikan meraikan pasangan pengantin Nikman dan Anis.

Paling mencuri tumpuan apabila setiap tetamu pulang dengan door gift unik berupa anak ayam, arnab dan itik hidup sebagai tanda penghargaan atas kesudian hadir pada majlis tersebut.

Kelainan itu membuatkan suasana kenduri berkenaan dipenuhi gelak tawa dan kejutan, apatah lagi ada yang membawa pulang hadiah cabutan bertuah berupa motosikal dan lembu.

Antara hadiah lain yang turut disediakan ialah kerusi urut elektrik moden, kambing serta beberapa hamper barangan harian. 

Detik pengumuman nombor bertuah menjadi kemuncak acara apabila sorakan, tepukan dan kegembiraan jelas terpancar pada wajah tetamu yang membawa pulang hadiah berharga itu.

Majlis yang berlangsung penuh warna-warni itu membuktikan bahawa kenduri kahwin bukan sahaja sekadar menyatukan dua hati, tetapi juga mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan, jiran tetangga serta sahabat handai dalam suasana meriah. 

Keunikan itu sekali gus menjadikan kenduri tersebut sebagai buah mulut masyarakat dan kenangan indah yang sukar dimiliki pada mana-mana majlis lain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram