Berkorban besarkan 3 anak sendirian, Haneesya mahu balas budi, gembirakan ibu


  • Cinta
  • Ahad, 14 Sep 2025

Haneesya amat menghargai pengorbanan dan jasa ibunya membesarkan dia dan adik-adiknya.

PENGORBANAN seorang ibu tunggal sering menjadi inspirasi kerana kekuatan mereka membesarkan anak-anak dalam serba kekurangan.

Bagi pelakon dan model Haneesya Hanee, 25, kisah itu bukan sekadar cerita orang lain, sebaliknya realiti hidup yang ditempuh ibunya sendiri.

Menurutnya, pada usia remajanya satu ketika dahulu, dia cukup sukar untuk memahami dan menerima pendekatan didikan ibunya yang tegas.

BACA LAGI: Cinta merentas budaya, perkahwinan Uncle Roger dan Sabrina berlangsung penuh tradisi di Portugal

BACA LAGI: Bapa tunggal hidap bipolar sindrom asperger cekal jaga 2 anak autisme, pernah rasa 'down' tapi...

Namun, semakin meningkat dewasa, bekas finalis Dewi Remaja 2018/2019 itu mula menyedari bahawa ibunya terpaksa mengorbankan banyak perkara demi memastikan tiga anaknya membesar dengan baik walaupun tanpa sokongan pasangan.

"Dulu saya tak faham kenapa ibu gunakan kasih sayang yang sukar.

"Saya rasa dia boleh lakukan dengan lebih baik kerana dia orang dewasa tapi saya lupa ibu juga manusia yang buat silap," katanya di laman Instagram.

 

 

Tambahnya, ibunya sanggup menolak kepentingan diri dan menahan segala tekanan demi memastikan anak-anak tidak kelaparan.

"Dia seorang ibu tunggal dengan tiga anak kecil, tiada siapa untuk membimbing atau menyokong, apa yang buat dia terus hidup hanyalah anak-anaknya," jelasnya.

Kini, sebagai anak sulung, Haneesya percaya tiba masanya untuk dia dan adik-adik membalas segala pengorbanan ibu tercinta.

"Mommy dah lama tak keluar untuk diri sendiri, hidup dia hanya untuk besarkan anak-anak.

"Tapi sekarang kami semua dah besar, tiba masa dia nikmati hidupnya, saya gembira melihat ibu saya lakukan perkara yang tak pernah dibuatnya sebelum ini dan saya sangat bangga," ujarnya.

Haneesya atau nama penuhnya Sharifah Haneesya Sayed Sahlan dilahirkan pada 11 Februari 2000 di Pulau Pinang.

Untuk rekod, wanita berkulit hitam manis itu mula berkecimpung dalam dunia seni seawal usia sembilan tahun melalui teater kanak-kanak Siti di Alam Fantasi sebelum tampil dalam produksi terkenal seperti Lat Kampung Boy Sebuah Muzikal di Istana Budaya pada 2011.

Selain aktif sebagai pelakon, Haneesya juga semakin menyinar dalam bidang peragaan serta pernah menyertai pertandingan antarabangsa seperti Miss Pink Lady Asia pada 2019.

Walaupun memiliki kerjaya seni yang membanggakan, dia juga pernah berdepan cabaran kesihatan termasuk skoliosis atau tulang belakang melengkung pada 2015.

Namun, halangan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus maju.

Perkongsian mengenai pengorbanan ibunya memberi gambaran jelas bagaimana kekuatan seorang wanita mampu mengubah masa depan keluarganya.

Ia juga menjadi peringatan kepada anak-anak generasi kini agar sentiasa menghargai dan membahagiakan ibu mereka, khususnya setelah dewasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram