Pasar Borneo 'tunai' impian usahawan Sabah, Sarawak kembangkan perniagaan di Semenanjung


  • Massa
  • Isnin, 30 Dis 2024

Pasar Borneo juga menjadi tempat pertemuan komuniti dari Sabah dan Sarawak yang tinggal di Lembah Klang, selain turut menarik minat masyarakat tempatan yang ingin mencuba pengalaman berbeza.

PASAR Borneo MBSJ Seri Kembangan telah menjadi satu destinasi unik bagi pengunjung di kawasan Seri Kembangan, Selangor.

Beroperasi setiap Sabtu sejak lapan tahun lalu, pasar ini bukan sahaja menawarkan barangan harian seperti sayur-sayuran, buah-buahan, dan hasil laut, tetapi juga menonjolkan keunikan produk-produk khas dari Borneo, seperti makanan tradisional, kraf tangan, dan rempah ratus.

Pasar yang lebih dikenali dengan nama Pasar Borneo itu juga menjadi tempat pertemuan komuniti dari Sabah dan Sarawak yang tinggal di Lembah Klang, selain turut menarik minat masyarakat tempatan yang ingin mencuba pengalaman berbeza.

BACA LAGI: [VIDEO] Melawan hukum alam berniaga Nasi Lemak Kangkung RM2 'portion' menimbun, Zila pernah kena 'sapu' PBT tapi kini sudah miliki kedai sendiri

BACA LAGI: [VIDEO] Coklat nise, juadah legenda Kelantan buka rezeki buat Roziah tarik minat warga Brunei, Ireland

Suasana di pasar berkenaan meriah dengan pelbagai aktiviti jual beli, aroma makanan tempatan yang memikat, dan semangat perpaduan antara pelbagai kaum.

Selain itu, kehadiran Pasar Borneo turut membantu mempromosikan budaya dan produk Borneo kepada lebih ramai masyarakat, menjadikannya platform penting untuk pengusaha kecil dari kawasan tersebut untuk memperluaskan pasaran mereka.

Bermula dengan 10 peniaga, pasar itu kini telah mempunyai lebih daripada 50 peniaga yang menjual pelbagai jenis produk makanan dan kraftangan dari kedua-dua negeri tersebut.

IMG_20241214_095513

Nelson (kanan) bersama ahli keluarganya yang turut menjual produk makanan Sarawak di Pasar Borneo.

Presiden Persatuan Peniaga Pasar Borneo Seri Kembangan Nelson Entap Engin berkata, Pasar Borneo, yang mula beroperasi pada tahun 2016, telah memainkan peranan penting dalam memperkenalkan produk tempatan Sabah dan Sarawak ke pasaran luar.

"Dari kraftangan hingga makanan tradisional, pasar ini menjadi medium utama untuk mempromosikan warisan budaya dan keunikan masyarakat Borneo.

"Namun, kejayaan ini tidak datang tanpa cabaran besar yang perlu diatasi oleh penganjur dan peniaga.

"Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi Pasar Borneo ialah kos logistik yang tinggi. Dengan jarak geografi yang jauh antara Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia, penghantaran produk melibatkan kos penerbangan yang mahal.

"Bagi peniaga kecil yang bergantung pada margin keuntungan yang tipis, hal ini menjadi masalah utama sekali gus menyebabkan ramai peniaga kecil yang tidak mampu meneruskan perniagaan mereka," katanya kepada Majoriti.

story translate - 1

Terung Dayak, Buah Dabai dan Buah Bambangan antara buah-buahan eksotik yang dijual di Pasar Borneo.

Susulan itu, Nelson berkata, bagi mengurangkan beban tersebut, strategi kerjasama antara peniaga diperkenalkan.

"Kami membeli bahan secara pukal bagi menjimatkan kos, selain menjalin usaha sama dengan syarikat penghantaran.

"Pendekatan ini membantu mengurangkan kos operasi, namun penyelesaian jangka panjang masih diperlukan bagi memastikan kelestarian usaha ini.

"Selain kos logistik antara masalah lain yang kami hadapi juga bagi memastikan produk buah-buahan atau sayur yang dibawa ke sini kekal segar," katanya lagi.

Jelas lelaki berusia 56 tahun itu lagi, persaingan dengan produk serupa di pasaran menjadi turut menjadi cabaran lain di Pasar Borneo.

"Isu kawalan kualiti sering kali timbul apabila produk dihantar dalam jumlah besar. Untuk menangani masalah ini, Pasar Borneo melantik Jawatankuasa Kualiti Perkhidmatan bagi melakukan audit berkala.

"Kawalan bilangan produk turut diperkenalkan dan hanya peniaga terpilih yang dibenarkan memasarkan barangan mereka. Langkah ini bukan sahaja memastikan keaslian tetapi juga memelihara reputasi Pasar Borneo," ujarnya.

IMG_20241214_100828

Pasar Borneo terus menjadi nadi penting buat perantau Sabah dan Sarawak yang membuka ruang kepada orang ramai untuk mengenali keindahan Borneo dengan lebih dekat.

Keterlibatan generasi muda

Melibatkan generasi muda dalam inisiatif ini juga bukan perkara mudah, menurut Nelson, walaupun Pasar Borneo menawarkan peluang besar dalam bidang keusahawanan, ramai anak muda lebih cenderung kepada pekerjaan konvensional atau bidang lain.

Katanya, untuk mengatasi isu ini, program mentor dan pendedahan keusahawanan dilaksanakan bagi menarik minat mereka. Sokongan teknologi seperti e-dagang turut diperkenalkan untuk memudahkan penglibatan mereka.

Perancangan masa depan

Walaupun menghadapi cabaran yang kompleks, Nelson tetap optimis dalam perancangannya dalam memajukan Pasar Borneo.

"Antara langkah ke hadapan ialah menaik taraf kemudahan asas pasar dan meningkatkan kekerapan operasi. Dalam jangka masa panjang, pasar ini bercita-cita untuk membuka cawangan baharu di Johor, Pulau Pinang, dan bahkan di luar negara seperti Singapura.

"Jika ini berjaya direalisasikan, ia bukan sahaja mengatasi isu logistik tetapi juga meningkatkan visibiliti produk Borneo di peringkat antarabangsa," katanya.

IMG_20241214_094947

Nelson bersama Mohd Nizar ketika ditemui wartawan Majoriti di Pasar Borneo yang berlokasi di Sri Kembangan baru-baru ini.

Sementara itu, Pegawai Majlis Bandaraya Subang Jaya, Mohd Nizar Khalip berkata, Pasar Borneo adalah bukti keupayaan komuniti kecil untuk menghasilkan impak besar.

"Walaupun kejayaan Pasar Borneo ini memerlukan usaha berterusan dalam mengatasi pelbagai cabaran, dari logistik hingga penglibatan generasi muda, ia berpotensi menjadi hab utama bagi produk dan budaya Borneo di Selangor.

"Saya adalah antara mereka yang terlibat dalam penubuhan Pasar Borneo ini pada peringkat awal dan sejujurnya semanat komuniti di Pasar Borneo ini adalah satu contoh yang baik.

"Saya sendiri melihat bagaimana Nelson dan mereka yang terlibat bijak mengatur perancangan dalam memajukan Pasar Borneo. Jika dahulu mereka ada 10 peniaga sahaja, kini pasar ini telah berkembang dan memberi peluang kepada usahawan Sabah dan Sarawak," katanya.

Menutup bicara, Mohd Nizar berharap Pasar Borneo terus menjadi nadi penting buat perantau Sabah dan Sarawak yang membuka ruang kepada orang ramai untuk mengenali keindahan Borneo dengan lebih dekat.

"Pasar Borneo turut mempamerkan budaya dan tradisi dua negeri melalui jualan kraftangan, pakaian tradisional dan rempah-ratus tempatan.

"Penduduk tempatan juga boleh mengambil peluang ini untuk menerokai keindahan budaya Borneo tanpa perlu terbang jauh," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram