'Bukan sekadar penghormatan biasa, tapi satu amanah ALLAH SWT', Angeline Tan tak jemu kongsi ilmu bersama rakan bukan Islam


  • Sukses
  • Ahad, 07 Sep 2025

Sejak memeluk Islam pada 26 September 2023, Angeline secara semula jadi gemar berkongsi ilmu dan menjawab pertanyaan daripada rakan-rakan bukan Islam.

PELAKON, Ardini Angeline Tan melakar detik bermakna apabila menerima pengiktirafan bagi kategori Saudara Baru Cemerlang (Mualaf) sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M yang berlangsung pada Jumaat.

Tidak menyangka akan menerima penghormatan sebesar itu, Angeline memberitahu, beliau beberapa kali menangis selepas diumumkan pihak penganjur tentang anugerah tersebut, beberapa hari sebelum majlis.

Menurut Angeline, pada awalnya beliau kurang memahami skala besar anugerah berkenaan, sehinggalah melangkah masuk ke dewan penuh gilang-gemilang di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Sepang District, Selangor, dengan dihadiri Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

BACA LAGI: Belum mahir masakan Melayu, Angeline Tan hidang menu dim sum, mi wantan khas buat Sabri Yunus sefamili di pagi Syawal

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Tunggulah 2-3 minggu sebelum belanjakan MyKasih’, tinggalkan saja barang angkara sistem tergendala cetus polemik

“Baru saya sedar, ini sesuatu yang sangat besar dan penuh makna. 

"Ia bukan sekadar penghormatan biasa, tapi juga satu amanah ALLAH SWT pilih saya, jadi saya perlu teruskan misi sebagai seorang Muslim untuk memberi manfaat kepada orang lain,” katanya kepada Majoriti.

Berkongsi ilmu

Sejak memeluk Islam pada 26 September 2023, wanita berusia 58 tahun itu berkata, beliau secara semula jadi gemar berkongsi ilmu dan menjawab pertanyaan daripada rakan-rakan bukan Islam termasuk persoalan mengenai ibadah solat, pemakaian tudung dan konsep aurat.

Angeline berkata, beliau lebih selesa berkongsi tentang Islam dengan menggunakan bahasa mudah difahami sebagai pendekatan, khususnya apabila berinteraksi dengan rakan-rakan bukan Islam.

“Saya tidak anggap ia sebagai berdakwah sebab sifat saya memang suka berkongsi.

"Kalau ada benda baik, kita kongsi. Ada berita gembira pun kita kongsi. Itu memang sifat saya.

"Apabila saya jawab dengan cara mudah, mereka akhirnya faham. Dari satu pertanyaan, ia boleh berkembang kepada pemahaman lebih luas tentang Islam,” jelasnya yang popular menerusi watak Lucy dalam drama komedi Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada era 1990-an.

Angeline mendirikan rumah tangga bersama Sabri Yunus pada 14 Oktober 2023.

Kongsi anak sulung daripada tujuh beradik itu lagi, tidak dinafikan ramai dalam kalangan rakan bukan Islam yang cenderung bertanyakan soalan mengenai amalan dan hukum-hakam dalam Islam.

“Mereka selalu tanya kenapa kena solat lima waktu sehari, kenapa perlu bertudung tutup aurat.  

"Ada juga bertanya kenapa lelaki Islam boleh kahwin empat atau kenapa perempuan seolah tidak penting? 

"Saya akan jawab setakat yang tahu dan selepas dengar penjelasan betul, barulah mereka faham.

“Ramai kata, kalau saya tak jelaskan, mereka tak akan tahu. Selama ini apa yang mereka dengar tentang Islam sebenarnya tidak tepat,” ujarnya yang mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan pengarah Sabri Yunus, 65 pada 14 Oktober 2023.

Salah faham

Katanya, beliau tidak gemar melihat masyarakat berdebat mengenai isu-isu yang boleh menimbulkan salah faham, termasuk perkara berkaitan adat atau amalan dalam Islam.

Angeline turut memberi contoh mengenai kontroversi tular membabitkan isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang elak berjabat tangan dengan Presiden China, Xi Jinping pada pertemuan rasmi baru-baru ini. 

“Orang kena faham, sebagai wanita Islam, kita tidak sepatutnya bersentuhan dengan lelaki bukan mahram. 

"Itu sebabnya jangan cepat salah faham. Kalau kita faham, kita akan lebih jelas dan tidak timbul isu,” katanya.

Angeline (tudung putih, tengah) gemar menimba dan berkongsi ilmu bersama rakan-rakannya.

Bagi Angeline, perkongsian kecil bersama rakan-rakannya mampu menjadi benih yang berkembang luas apabila mereka pula menyampaikannya kepada keluarga dan kenalan masing-masing.

“Saya rasa usaha ini walaupun kecil, ia boleh membesar. Apabila orang faham Islam, salah faham akan berkurangan. 

"Maka pergaduhan juga akan berkurang. Negara pula akan jadi lebih harmoni dan berjaya,” tuturnya.

Pelakon dan pelawak senior itu menambah, setiap umat Islam mempunyai tanggungjawab sama untuk menyampaikan kefahaman yang betul agar Islam tidak lagi dipandang sempit atau salah faham dalam kalangan masyarakat majmuk.

Didik diri

Ditanya mengenai cabaran sebagai mualaf, Angeline bercerita, halangan terbesar sebenarnya adalah untuk mendidik dirinya agar sentiasa menimba ilmu agama.

Ilmu itu ujar beliau, seluas langit dan sedalam lautan. 

Beliau juga kini masih dalam proses mempelajari tulisan Jawi, selain menghadiri kelas fardu ain bagi menambah ilmu.

“Setakat ini saya belum boleh membaca sendiri tanpa bantuan. Kadang-kadang rasa pening sebab sebutannya hampir sama, huruf pun nampak serupa. 

"Titik atas, titik bawah, tiada titik pun boleh jadi keliru,” ujarnya,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut menekankan kepentingan menuntut ilmu daripada guru yang benar dan saluran sahih supaya tidak tersalah faham.

“Bagi saya, peluang ini adalah rezeki daripada ALLAH. Apa jua kesempatan yang ada, saya akan gunakan untuk berkongsi kebaikan,” tuturnya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram