
SEBUAH bengkel kereta di Gombak, Selangor mencuri perhatian ramai apabila pemiliknya menyediakan hidangan percuma kepada pelanggan yang menunggu kenderaan mereka siap dibaiki.
Bengkel yang mula beroperasi sejak 2013 itu diusahakan oleh pasangan suami isteri, selepas si isteri, yang berpengalaman mengusahakan kedai makan dan perkhidmatan katering sebelum ini, mencetuskan idea menyediakan makanan sebagai nilai tambah untuk pelanggan.
Berkongsi kepada Majoriti, Nazneera Ahmad Najib, 50, memberitahu, hidangan percuma itu bukan sekadar mengisi perut pelanggan yang menunggu, tetapi juga menjadi sebahagian daripada amal jariah dan kepuasan peribadi.
Menurutnya, ia juga tercetus apabila beliau membayangkan kesukaran pelanggan menunggu lama di bengkel, lebih-lebih lagi jika hadir bersama anak kecil.
"Saya memang suka masak, macam-macam jenis masakan saya sediakan antaranya nasi kerabu, nasi daging, laksa, bihun sup dan banyak lagi, ikut menu pada hari berkenaan.
"Bukan sekadar makan di bengkel, kadang-kadang saya bungkuskan untuk mereka bawa pulang.
“Saya memang ada dapur khas di bengkel untuk masak, tapi kalau tak sempat, saya tempah makanan. Semua ini percuma untuk pelanggan, bukan berniaga,” katanya yang berpengalaman dalam bidang perniagaan dan masakan selama lebih 18 tahun.
Antara menu hidangan yang dimasak oleh Nazneera untuk pelanggannya.
Keunikan itu menjadikan bengkel berkenaan sentiasa dikunjungi pelanggan tetap, malah ada yang datang dari luar Lembah Klang untuk merasai kelainan.
Wanita berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu sebelum ini pernah mengusahakan kedai makan di Danau Kota, Kuala Lumpur sejak 2003 sebelum menutupnya pada 2012 untuk memberi tumpuan kepada perniagaan bengkel bersama suami.
Suaminya yang juga seorang mualaf, Mohd Suhaimi Chong, 50, berpengalaman luas dalam bidang mekanik sejak remaja, sebelum mereka bersama-sama membuka bengkel selepas berkahwin.
Meskipun ada pelanggan pada awalnya terkejut dan menolak pemberian makanan, kini hampir semua pelanggan tetap sudah terbiasa dengan layanan istimewa itu.
Tambahnya, pelanggan yang datang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan India, yang semuanya diraikan sama rata.
“Kadang ada yang tanya, untuk apa ini? Saya cuma jawab ambil sahaja,” jelasnya.
Pencipta kandungan, Agy (dua dari kiri) antara pelanggan yang berkunjung ke bengkel tersebut.
Duit gaji
Ujar Nazneera, walaupun ada yang menyangka ia sebahagian strategi perniagaan, hakikatnya pemberian makanan itu dilakukan ikhlas sebagai sedekah.
Beliau menjelaskan, modal bagi menyediakan makanan percuma itu datang daripada gajinya sendiri.
“Duit gaji yang ada, saya gunakan untuk beli bahan masakan atau bungkuskan makanan untuk pelanggan.
"Sampai sekarang, ALLAH balas dengan rezeki yang tidak pernah putus-putus,” ujar ibu kepada enam cahaya mata itu.
Bengkel Amin Speed Workshop itu pada awalnya dibuka setiap hari tanpa cuti selama hampir tiga tahun, sebelum kini menetapkan hari rehat bergantung pada jumlah tempahan pelanggan.
Ujar Nazneera, pemberian makanan itu dilakukan ikhlas sebagai sedekah.
“Kalau pelanggan hubungi dan minta buka sebab ada kereta yang perlu dibaiki segera, kami tetap akan usahakan.
"Kadang-kadang panggil pekerja sambilan untuk bantu,” katanya.
Selain itu, anak-anaknya turut membantu menguruskan bengkel mengikut kemampuan masing-masing, termasuk menghasilkan kandungan promosi di media sosial.
Kongsinya lagi, meski sebagai ibu bapa, beliau dan suami tetap menekankan disiplin seperti pekerja biasa.
“Dalam waktu kerja, mereka pekerja. Di luar waktu kerja, barulah mereka anak saya.
"Kalau datang lewat, gaji dipotong. Kalau tidak ikut peraturan, tetap dibuang kerja,” jelasnya.
Nazneera percaya, sikap tegas itu penting untuk mendidik anak-anak tentang nilai tanggungjawab, selain memastikan operasi bengkel berjalan lancar.
Nazneera juga akan membungkuskan makanan kepada pelanggannya untuk dibawa pulang.
'Kenduri'
Tidak hanya itu, Nazneera dan suaminya akan menganjurkan majlis makan-makan untuk pelanggan dan orang ramai kira-kira tiga hingga empat kali setahun.
Ujarnya, setiap kali majlis diadakan, beliau akan memasak sehingga 20 jenis menu untuk dihidangkan, lengkap dengan khemah.
"Saya jemput semua pelanggan, walaupun ada yang datang servis sekali sahaja tetap akan saya ajak.
"Kami pasang enam kanopi di belakang bengkel, suasananya memang meriah macam kenduri,” katanya.
Kini hampir semua pelanggan tetap sudah terbiasa dengan layanan istimewa itu.
Menurutnya, inisiatif itu dilakukan bukan sahaja untuk menghargai pelanggan, tetapi juga sebagai cara meraikan rezeki yang dikurniakan ALLAH SWT.
“Kalau ada yang kata itu kerja membazir, biarlah. Saya yakin rezeki ini milik ALLAH.
"Bagi saya, kegembiraan itu apabila dapat beri orang makan. Walaupun mereka pernah kata servis di sini mahal, tetap ada yang datang balik sebab rasa dihargai,” ujarnya.
Selain ruang menunggu yang selesa, bengkel itu turut dilengkapi surau untuk kemudahan pelanggan.
Pasangan itu percaya rezeki akan terus mengalir selagi mereka memberi manfaat kepada orang lain.
“Prinsip kami mudah, apa yang kita beri itu milik ALLAH. Rezeki yang keluar akan digantikan dengan cara lain. Selagi boleh, kami teruskan usaha ini,” bicaranya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram