
SEORANG wanita meluahkan pengalaman getir dilalui selepas perniagaan miliknya jatuh sehingga menjejaskan kehidupan seharian termasuk berdepan masalah kewangan, tekanan perasaan dan kegelisahan melampau.
Menerusi satu hantaran di akaun Threads milik eleen_hash, wanita berkenaan menceritakan bagaimana hidupnya pernah berada pada titik paling rendah apabila perniagaan tidak lagi mendatangkan hasil.
“Kemurungan, kebimbangan semua saya dah rasa. Tak ada duit langsung? Kereta kena tarik? Sewa rumah tak bayar? TNB (Tenaga Nasional Berhad) nak potong api? Duit sekolah anak tertunggak? Apa lagi?” tulisnya pada Ahad.
BACA LAGI: Hidap bipolar, depresi akibat keguguran bukan penghalang Nur Aini cipta nama
Beliau mengakui pernah berdepan saat getir apabila tangki minyak keretanya kosong dan hanya mampu mengisi bahan api setelah ada wang masuk pada saat akhir.
Namun, dalam kesusahan itu, beliau tetap bersyukur kerana masih dikurniakan kesihatan, iman dan kewarasan akal untuk terus melangkah.
“Kalau tidak ada iman, kita akan rasa hidup ini tidak bermakna, sangat memenatkan,” ujarnya.
Wanita itu turut mengimbas kembali rasa kesal pernah wujud apabila terfikir sama ada beliau sepatutnya memilih bidang perniagaan lain yang lebih mudah menjana keuntungan.
“Dulu saya selalu rasa, kalaulah saya pilih buat produk kecantikan atau kesihatan, mungkin hidup lebih senang.
"Namun sebenarnya, tak perlu lagi toleh ke belakang. Semua yang berlaku ada pelajaran yang sangat mahal. Tiada siapa boleh bagi ilmu yang silibusnya Tuhan ‘custom made’ untuk kita,” katanya lagi.
Dalam perkongsian itu, beliau turut menitipkan nasihat agar orang ramai menjaga kesihatan mental ketika melalui fasa sukar.
“Kena kosongkan minda, benda-benda sampah yang buat awak rasa rendah diri dan salah bertindak, kena buang. Apabila hati tenang, kita boleh fikir dengan jelas. Buat satu persatu.
“Masa down, ambil perkara dengan perlahan. Jangan buat banyak serentak. Duduk, tarik nafas, istighfar dan ucapkan Alhamdulillah sebanyak-banyaknya,” pesan wanita itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram