Menara Eiffel bakal ukir nama 72 tokoh wanita berjasa dalam bidang sains, teknologi


  • Sukses
  • Isnin, 08 Sep 2025

Paris berhasrat mengabadikan nama 72 tokoh wanita ilmuwan pada Menara Eiffel sebagai simbol penghormatan dan kesetaraan jantina.

LEBIH 130 tahun selepas Gustave Eiffel menulis nama 72 tokoh ilmuwan lelaki pada bahagian bawah Menara Eiffel, pihak berkuasa Paris kini berusaha menebus semula sejarah dengan mengabadikan nama 72 tokoh wanita yang berjasa dalam bidang sains dan teknologi.

Langkah itu diambil bagi mengiktiraf sumbangan wanita yang sebelum ini dinafikan atau dipinggirkan, satu keadaan yang dikenali sebagai 'Kesan Matilda'.

Istilah yang diperkenalkan oleh ahli sejarah Amerika, Margaret Rossiter pada 1993, merujuk kepada kecenderungan menenggelamkan sumbangan wanita dalam kemajuan saintifik.

BACA LAGI: Stadium kayu pertama Jepun simbol kebangkitan komuniti, bumbung inspirasi rumah tradisional Ouchi-juku

BACA LAGI: Mangkuk, cawan tanah liat artisan pelengkap dekorasi kediaman lelaki moden, bukan sekadar perkakas di rak dapur

Menurut suruhanjaya pakar yang dipengerusikan oleh ahli astrofizik, Isabelle Vauglin bersama Jean-Francois Martins, nama-nama wanita hebat itu akan dipilih dalam kalangan tokoh yang hidup antara 1789 hingga masa kini, dengan syarat mereka telah meninggal dunia dan majoritinya berwarganegara Perancis.

Senarai tersebut akan dikemukakan kepada Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo, untuk pengesahan sebelum hujung tahun ini.

Bagi memastikan keseimbangan jantina, suruhanjaya mencadangkan agar nama-nama wanita itu diukir di atas friz sedia ada yang memaparkan nama-nama lelaki.

Sebagai perbandingan, ketika monumen ikonik itu siap dibina pada 1889, Eiffel menulis nama tokoh seperti Louis Daguerre (pencipta daguerreotype), ahli fizik Andre-Marie Ampere dan ahli astronomi Francois Arago.

Semua yang dipilih ketika itu ialah lelaki.

Menara Eiffel, yang dimiliki oleh bandar Paris, kekal sebagai salah satu tarikan pelancong paling popular di dunia dengan kira-kira tujuh juta pengunjung setiap tahun, tiga perempat daripadanya pelawat antarabangsa.

Antara tokoh wanita sering disebut-sebut untuk diabadikan termasuk:

1. Marie Curie - Saintis fizik dan kimia yang menemui radium serta polonium dan menjadi wanita pertama memenangi Hadiah Nobel.

2. Sophie Germain - Ahli matematik yang terkenal dengan sumbangan dalam teori nombor dan keanjalan.

3. Émilie du Châtelet - Tokoh abad ke-18 yang menterjemahkan karya Newton ke bahasa Perancis dan menyebarkan ilmu fizik ke seluruh Eropah.

4. Irène Joliot-Curie - Anak perempuan Marie Curie yang turut memenangi Nobel kerana penemuannya dalam radioaktiviti buatan, juga dilihat sebagai calon berpotensi.

5. Jeanne Villepreux-Power - Saintis marin yang mencipta akuarium penyelidikan pertama dan dikenali sebagai 'Ibu Sains Akuarium'.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Perancis, Elisabeth Borne, turut mencadangkan agar wacana sama dibuka untuk Panteon Paris iaitu sebuah monumen peringatan kebangsaan supaya lebih ramai tokoh wanita diberi penghormatan setimpal di sana. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram