
JARANG-JARANG sekali dapat menyaksikan majlis akad nikah berlangsung di dalam hospital, namun itulah yang berlaku di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, Kelantan pada 5 September lalu.
Pasangan mempelai, Che Muhammad Rifqi Danial Che Alias, 25, dan Nur Sufia Amalin Che Ramli, 26, selamat disatukan sebagai suami isteri di Wad 6C Ortopedik HSIP sewaktu pengantin lelaki menerima rawatan selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 1 September.
Perkara itu turut dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook rasmi Hospital Sultan Ismail Petra pada Jumaat.
Difahamkan, memandangkan persiapan pernikahan telah dirancang sejak sekian lama, kedua-dua keluarga sepakat untuk meneruskan majlis walaupun dalam suasana yang berbeza daripada kebiasaan.
"Pihak hospital menerusi Inisiatif Hospital Mesra Ibadah (HMI) berbesar hati membenarkan dan menyediakan ruang khas agar majlis akad nikah berlangsung dengan lancar.
"Pengurusan HSIP turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Ortopedik, warga kejururawatan, Jawatankuasa HMI, Unit Komunikasi Korporat, Unit Keselamatan dan Radicare HSIP yang berganding bahu menjayakan majlis ini.
“Semoga pasangan mempelai berbahagia dan kekal diberkati hingga ke jannah,” kata pihak HSIP.
Sekitar suasana pernikahan antara Che Muhammad Rifqi Danial dan Nur Sufia Amalin di HSIP pada Jumaat lalu. — Facebook/Hospital Sultan Ismail Petra
Sementara itu, difahamkan ibu kepada pengantin turut berterima kasih kepada pihak hospital yang membantu secara langsung dan tidak langsung untuk merealisasikan majlis berkenaan.
"Budi tuan puan sangat saya hargai, anda semua memang terbaik," tulis pengguna Facebook Bernama Zaiman Mat Saman di ruangan komen. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram