Walau tawar hati isteri reda bertahan demi anak-anak, selagi suami masih jalankan tanggungjawab


  • Cinta
  • Selasa, 09 Sep 2025

Ramai pasangan memutuskan untuk bercerai kerana sudah tawar hati. — Gambar Hiasan

SETIAP rumah tangga pasti ada pasang surutnya. Kadang cinta membara, kadang rasa tawar hati muncul tanpa diduga.

Namun, adakah situasi itu menyebabkan penceraian menjadi jalan penyelesaian?

Seorang wanita, Zattychabell berkongsi pesanan Ustazah Asma Harun di media sosial.

"Walaupun kamu dah tawar hati dengan suami dalam pernikahan, teruskanlah. Jangan minta penceraian hanya kerana tawar hati. 

"Kalau kamu tak boleh teruskan kerana cinta, teruskan pernikahan itu kerana ALLAH S.W.T, lebih-lebih lagi jika sudah ada anak," tulisnya di media sosial memetik kata-kata Ustazah Asma.

BACA LAGI: 'Doktor gagal kesan denyutan jantung twin A, twin B berpusing dalam rahim', ibu kongsi detik cemas ketika bersalin kembar

BACA LAGI: 'Bukan setakat kursus kahwin saja, fahami ilmu faraid, hibah', ADUN Duyong dedah kes dialami wanita selepas kematian suami

Hantaran itu mendapat pelbagai reaksi warga maya, yang masing-masing berkongsi pengalaman dan pandangan peribadi mereka.

Syazzwanie berkata, tawar hati hanya kerana cinta sudah tiada mungkin masih boleh diatasi jika suami bertanggungjawab. 

Namun, apabila tekanan mental dan emosi menjejaskan kehidupan seharian terutama sehingga membuatkan seseorang menangis setiap hari, bertahan bukanlah sesuatu perkara yang mudah. 

"Risau kesan pada anak-anak. Emosi seorang ibu yang tidak stabil akan dirasai oleh anak-anak," katanya.

Sementara itu, Nur Zahiella berkongsi pengalamannya sendiri.

Walaupun pada perkahwinan pertama dia pernah berasa tawar hati terhadap sikap suami, dia memilih untuk bertahan selagi tiada mudarat. 

"Saya diam dan sabar, tak pernah cerita kat sesiapa. Tuntutan cerai hanya apabila ada kelakuan buruk yang menjejaskan anak dan kesetiaan," jelasnya.

Pendapat yang seakan sama dikongsi Eyda, yang menekankan kepentingan memastikan tanggungjawab suami dipenuhi. 

Baginya, hubungan suami isteri bukan sahaja soal cinta, tetapi juga persahabatan dan kerjasama dalam rumah tangga. 

"Selain banyakkan doa, fikirkan anak. Jika emosi anak terganggu, berpisah mungkin jalan terbaik," katanya.

Arshida pula percaya kesabaran adalah kunci. 

"Pernah tawar hati dan bertahan demi anak. Mungkin ALLAH uji, dan melalui kesabaran, rasa cinta dan kasih sayang kembali hadir," ujarnya.

Begitu juga Haniez7875 yang berkongsi pengalamannya bertahan selama 22 tahun. 

"Agak susah pada awalnya, berkali-kali buat istikharah, akhirnya belajar redha. Pilih untuk bahagiakan anak-anak dan utamakan kerjaya. Jika suami tidak melampaui batas, pejam mata dan serahkan pada ALLAH," katanya.

Tidak kurang juga pandangan Anggunamethyst, yang menekankan syariat dan tanggungjawab. 

"Kalau makan pakai, tempat tinggal cukup, dan dia tak mencederakan fizikal, saya akan terus tinggal dalam rumah tangga. Soal hati bukan hak wajib suami; cukup penuhi tuntutan syariat," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram