
PERJANJIAN pra-nikah atau prenup semakin menjadi topik hangat dalam kalangan pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga, khususnya wanita yang ingin memastikan hak mereka kekal terjamin selepas bergelar isteri.
Kebiasaannya, syarat yang dimasukkan dalam perjanjian ini melibatkan isu poligami, kewangan serta pembahagian harta.
Peguam syarie, Nur Ramizah Kasbi menjelaskan bahawa perjanjian pra-nikah berperanan sebagai dokumen rasmi yang mengikat janji antara bakal suami dan isteri.
“Dalam Islam, amalan ini dibenarkan selagi syarat-syarat yang dibuat tidak bercanggah dengan hukum syarak.
"Ia tidak boleh menghalalkan perkara yang haram atau mengharamkan perkara yang halal. Selagi ia dalam kerangka syariat dan dipersetujui bersama, ia sah dan boleh digunakan,” katanya kepada Majoriti.
Nur Ramizah merupakan peguam syarie yang berkhidmat bagi kes di Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak.
Isu Poligami: Boleh atau Tidak Dalam Prenup?
Antara persoalan yang sering timbul ialah sama ada syarat melarang suami berpoligami boleh dimasukkan dalam akad nikah.
Menurut Nur Ramizah, poligami tetap dibenarkan oleh undang-undang Islam, tetapi setiap permohonan perlu melalui proses dan kebenaran Mahkamah Syariah.
“Keizinan isteri bukanlah rukun dalam permohonan poligami. Jadi walaupun ada syarat dalam prenup, mahkamah masih boleh meluluskan poligami jika suami layak,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, kekuatan sesuatu syarat yang ditetapkan bergantung kepada bentuk lafaz yang digunakan dalam perjanjian.
“Jika ia dinyatakan dalam bentuk taklik... contohnya termaktub dalam perjanjian ayat, ‘sekiranya suami berpoligami tanpa izin isteri, jatuh talak satu’ maka syarat itu boleh dikuatkuasakan di mahkamah.
“Tetapi jika hanya berbentuk syarat umum seperti isteri berhak menuntut cerai sekiranya suami berpoligami, maka ia tidak menjatuhkan talak secara automatik. Sebaliknya, isteri perlu memfailkan tuntutan di mahkamah,” katanya.
Beliau menambah, selain prenup, setiap perkahwinan sebenarnya sudah dilindungi melalui lafaz taklik yang digazetkan oleh pihak berkuasa agama negeri selepas akad nikah, yang turut memberi jaminan kepada hak-hak isteri.
Mengelak pertikaian harta
Selain isu poligami, perjanjian pra-nikah juga penting untuk mengelakkan pertikaian harta, khususnya bagi pasangan yang sudah memiliki aset sebelum perkahwinan.
“Contohnya, jika kedua-duanya sudah ada rumah, kereta atau simpanan sendiri, mereka boleh membuat perjanjian pra-nikah supaya harta itu tidak bercampur dengan harta sepencarian.
“Ini penting kerana jika berlaku perceraian, hanya harta yang diperoleh sepanjang tempoh perkahwinan boleh dituntut. Harta yang dimiliki sebelum perkahwinan kekal hak masing-masing,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram