
KEHILANGAN insan tersayang sering meninggalkan ruang kosong yang sukar diisi, apatah lagi jika ia berlaku pada waktu sama.
Itulah dialami Yasmin Raihan apabila ibu dan neneknya kembali ke rahmatullah hanya sehari berselang.
Sebuah perkongsian yang meruntun jiwa, penuh ketabahan, kasih sayang dan aturan ALLAH SWT yang begitu indah.
BACA LAGI: Menara Eiffel bakal ukir nama 72 tokoh wanita berjasa dalam bidang sains, teknologi
Menurut Yasmin, pada Mei 2016, ibunya disahkan menghidap kanser mulut.
Ketika itu, seketul tumor sebesar tiga sentimeter ditemui di lelangit mulutnya dan perlu dibuang melalui pembedahan.
Pasca pembedahan, pemulihan bukanlah sesuatu yang mudah dengan lubang besar di mulut, ibunya bakal berdepan kesukaran untuk makan dan minum.
Radioterapi yang dijalani pula merosakkan kelenjar air liur, menjadikan mulutnya kering, penuh ulser, bahkan meneguk air kosong pun terasa pedih.
Tubuhnya merosot, wajahnya merah akibat rawatan, namun sedikit demi sedikit Allah izinkan beliau kembali pulih.
Yasmin masih mengingati saat pertama kali ibunya mampu menikmati makanan pejal semula dengan hanya sekeping ikan membuatkannya menangis kegembiraan.
Syukur, selepas itu kehidupan kembali ceria dan bertahun-tahun ujian dilalui dengan keputusan imbasan yang baik, berat badan bertambah semula, serta ibunya kembali aktif sebagai guru bahasa Inggeris, fasilitator kem motivasi, serta pengusaha tadika.
Kehidupan terasa hampir normal, sehinggakan keluarga kadangkala terlupa ibunya pernah menjadi pesakit kanser.
Beliau juga sempat menghadiri majlis graduasi Yasmin di luar negara, hadir hari pernikahan anak tunggalnya, malah menjadi penyokong paling kuat ketika Yasmin melahirkan anak pertama pada 2021, saat dunia dilanda pandemik.
Kasih seorang ibu yang tidak pernah padam walau diuji kesakitan. — Gambar hiasan/AI
Penghujung 2022, ujian sekali lagi mengetuk pintu keluarganya semula.
Hasil imbasan menunjukkan sel kanser kembali muncul berhampiran kawasan asal, malah merebak ke paru-paru dan tulang belakang.
Kanser itu telah dikategorikan sebagai tahap empat selepas keputusan imbasan keluar.
Berita itu menjadi tamparan hebat buat Yasmin serta ahli keluarganya selepas menjalani kehidupan normal beberapa tahun kebelakangan itu.
Yasmin dan ibunya menangis bersama, namun selepas itu mereka memilih untuk terus tabah dan berjuang kembali.
Segala rawatan dicuba seperti terapi, ubat-ubatan, bahkan pelbagai kaedah alternatif yang disarankan orang sekeliling.
Doktor juga membekalkan morfin untuk menahan kesakitan yang semakin mencengkam.
Walau tubuh semakin lemah, ibunya tetap gagah.
Seolah-olah beliau menahan diri kerana mahu bertemu dengan cucu kedua.
Yasmin mengandung lagi pada 2023 dan perkara itu benar kerana sebaik sahaja bayi keduanya lahir pada Julai 2024, keadaan ibunya mulai merosot dengan sangat cepat.
Senyumannya masih ada, walaupun sebelah wajah sudah lumpuh.
Kadangkala beliau menolak pipinya sendiri dengan jari agar senyuman kelihatan penuh di depan kamera.
Sungguh menghibakan tetapi dalam masa yang sama penuh comel dan menyentuh hati.
Akhirnya, doktor memulakan rawatan paliatif dan penjagaan hospis.
Yasmin mula memahami, ibunya semakin hampir menuju penghujung.
Malam-malam menjadi panjang kerana beliau sering berjaga hanya untuk memastikan ibunya masih bernafas.
Senyuman tabah walaupun tubuh semakin lemah dilanda kanser. — Gambar hiasan/AI
Menjelang November 2024, ibunya sudah tidak mampu menelan sebarang makanan.
Makanan lembut, bubur, malah tauhu tidak mampu ditelan.
Segala nutrisi hanya boleh dimasukkan melalui tiub hidung.
Tubuhnya semakin kurus, wajahnya cengkung, namun semangatnya tidak pernah padam.
Pada 7 Disember 2024, dugaan berganda menimpa apabila anak Yasmin yang berusia tiga tahun dimasukkan ke hospital kerana influenza, diikuti neneknya yang tiba-tiba sesak nafas.
Dalam keadaan seluruh ahli keluarga jatuh sakit akibat virus itu, ibunya turut dijangkiti.
Yasmin mula merasa bimbang, hatinya tidak sedap.
Tanggal 11 Disember, ibunya mula berhalusinasi akibat oksigen yang terlalu rendah.
Beliau bercakap perkara yang tidak masuk akal, kadangkala memanggil kucing yang tiada.
Hati Yasmin luluh apabila doktor mengesahkan kanser sudah merebak ke otak.
Malam berikutnya, Yasmin dikejutkan dengan berita mengejutkan apabila neneknya meninggal dunia secara tiba-tiba, meskipun sehari sebelumnya kelihatan sihat dan ceria.
Keluarga sepakat tidak memberitahu ibu Yasmin tentang perkara itu kerana keadaannya sudah terlalu tenat.
Namun sesuatu yang aneh berlaku, ketika berada di hospital, ibunya meminta badan dipusingkan menghadap tingkap, lalu melambai-lambai sambil memanggil, "Mak…".
Sehari selepas pengebumian nenek, Yasmin melawat ibunya di wad.
Beliau sudah tidak mampu bercakap, hanya mengenggam tangan anaknya, memandang dengan penuh kasih, lalu meletakkan tangan itu di pipinya.
Yasmin membaca selawat dan doa, memohon agar ALLAH meringankan penderitaan ibunya.
Malam itu, Yasmin terpaksa pulang demi anak-anak kecilnya, meski berat hati meninggalkan ibu yang sedang nazak.
Beberapa jam selepas itu, pada 14 Disember 2024, panggilan telefon daripada ayahnya mengesahkan segalanya.
"Yasmin, Innalillah, mak dah tak ada."
Pemergian dua insan kesayangan hanya sehari berselang benar-benar meruntun hati Yasmin.
Ibunya, Allahyarhamah Alma Ahmad dan neneknya, Allahyarhamah Zainun Ahmad, merupakan pasangan ibu dan anak yang terlalu rapat sepanjang hayat.
Kini ALLAH memberi ruang mereka bersama juga di alam abadi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram