
DALAM kalangan peminat seni mempertahankan diri seperti seni bela diri campuran (MMA) dan juga muay thai, nama Johan Ghazali atau lebih mesra ‘Jojo’ pastinya tidak perlu diperkenalkan lagi.
Walaupun baharu berusia 18 tahun, namun anak muda itu jauh melangkah melakar nama di persada dunia.
Pun demikian, di sebalik kejayaan Jojo, ada dalam kalangan wanita juga yang pernah mencipta rekod menempa nama dalam arena sukan MMA.
Malah, penglibatan atlet wanita dalam seni bela pertahankan diri bukanlah sesuatu yang luar biasa pada zaman kini apabila prestasi golongan itu dalam pelbagai jenis sukan tempur dilihat memberangsangkan sehingga mampu mengharumkan nama negara di seantero dunia.
1. Colleen Augustin
Sebelum mengenakan sarung tangan MMA, Colleen menghabiskan enam tahun belajar balet semasa kecil.
Colleen Augistin mencipta sejarah dalam arena sukan tempur antarabangsa dengan meraih pingat emas pada Kejohanan Asian IMMAF dan pingat gangsa pada Kejohanan Dunia IMMAF pada 2019.
Prestasi cemerlangnya itu, sekali gus membuktikan bakat dan dedikasinya yang tidak dapat dipertikaikan.
Lebih menarik lagi, anak jati Pulau Pinang itu pernah mendedahkan pada media di sebalik kehebatan beliau sebagai bintang sukan tempur, terdapat kisah unik tentang permulaannya dalam dunia seni tari iaitu balet.
Sebelum mengenakan sarung tangan MMA, Colleen menghabiskan enam tahun belajar balet semasa kecil.
Namun, minatnya terhadap seni tari bertukar kepada sukan tempur apabila beliau menemui passion sebenar dalam MMA, membawanya ke satu babak baru dalam hidup.
Walaupun jarang mendapat liputan media, Colleen masih lagi bergiat aktif dalam sukan tempur dalam dan luar negara.
2. Ann Osman
Anne wanita pertama Malaysia bertarung secara profesional dalam kejohanan MMA, ONE Fighting Championship (ONE FC) pada 2015.
Anak jati Kota Kinabalu Sabah, Anne Osman merupakan atlet wanita Malaysia yang menjadi atlet seni bela diri gabungan wanita pertama Malaysia.
Beliau merupakan wanita pertama Malaysia yang bertarung secara profesional dalam kejohanan MMA, ONE Fighting Championship (ONE FC) pada 2015 sehingga diberi gelaran The Wonder Women Malaysia.
Prestasi beliau di ONE Championship bukan sahaja membawa nama Malaysia ke persada antarabangsa, tetapi juga menginspirasi ramai wanita muda untuk menceburi dunia MMA.
Selepas bersara dari arena pertandingan pada 2017, Anne terus aktif dalam mempromosikan MMA, terutamanya dalam kalangan wanita.
Beliau sering menjadi mentor dan penasihat kepada atlet muda, serta aktif dalam program-program yang mendidik masyarakat tentang kepentingan sukan tempur.
Legasi beliau sebagai seorang perintis dan pejuang wanita dalam MMA terus dikenang, menjadikan beliau salah satu ikon sukan tempur di Asia Tenggara.
3. Jihin Radzuan
Selain MMA, Jihin juga merupakan juara dunia Wushu FIOGA dan juara MIMMA kategori wanita flyweight.
Jihin Radzuan atau lebih dikenali dengan nama Jihin 'Shadow Cat' Radzuan bukanlah yang asing dalam gelanggang One Championship.
Masakan tidak, anak jati Johor berusia 26 tahun itu merupakan salah seorang atlet mempunyai tumbukan padu dan stamina yang kuat dalam gelanggang walaupun bertubuh kecil.
Jihin bukan sahaja melakar nama di pentas MMA, bahkan merupakan juara dunia Wushu FIOGA dan juara MIMMA kategori wanita flyweight.
Dalam kerjaya profesionalnya, Jihin telah mencatat rekod sembilan kemenangan dan empat kekalahan.
Beliau telah bertanding dalam organisasi ONE Championship, di mana beliau dikenali dengan kemahiran submission yang cemerlang.
Selain kecemerlangan di gelanggang, beliau juga aktif di media sosial, sering berkongsi perjalanan karier serta memberi inspirasi kepada generasi muda yang ingin menceburi sukan tempur itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram